Warga Emas Didakwa Bunuh Pembantu Rumah Indonesia

Fairul Mazlan
2018.02.21
Bukit Mertajam, Pulau Pinang
180221-MY-death620.jpg Ambika M. A Shan (baju biru) ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan anak perempuannya R. Jayavartiny (baju hitam) untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah tersebut, Februari 21, 2018.
[Fairuz Mazlan/BeritaBenar]

Majikan warga emas didakwa di sebuah mahkamah di negeri utara Malaysia pada Rabu atas pertuduhan mendera pembantu rumahnya dari Indonesia sehingga mati pada minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan terhadap suri rumah Ambika M.A Shan, 60,   di hadapan Majistret Mahkamah Bukit Mertajam, Muhamad Anas Mahadzir yang tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian pembantu rumahnya Adelina Lisao, 26, di sebuah rumah beralamat di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam pada 10 Februari, kira-kira jam 4 petang.

Bagi kesalahan itu, Ambika didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Majistret kemudiannya menetapkan tarikh 19 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan kimia.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Hamzah Azhan manakala Ambika tidak diwakili peguam.

Kematian Adelina yang mengalami kecederaan teruk serta dipaksa tidur di perkarangan rumah dengan anjing peliharaan keluarga itu telah menimbulkan kerumitan di dalam hubungan Malaysia dengan negara jirannya Indonesia.

Portal berita Indonesia, Sindonews.com melaporkan cadangan Jakarta untuk membekukan penghantaran tenaga kerja dan pembantu rumah ke Malaysia, susulan kematian Adelina yang didera majikannya itu.

Dalam laporannya, portal berita berkenaan memetik kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana, yang mencadangkan supaya negara itu melakukan moratorium mengenai penghantaran tenaga kerja dan pembantu rumah ke Malaysia untuk mencegah kejadian seperti yang ditimpa Adelina daripada berulang.

Rusdi dilaporkan oleh portal berkenaan sebagai mendakwa bahawa cadangan  moratorium itu bukan cadangan baharu sebalik sudah dibincangkan dengan Presiden Joko Widodo di pertemuan tahunan Malaysia- Indonesia, tahun lalu.

Tiada permit sah


Sementara itu di mahkamah yang sama, anak perempuan Ambika, R Jayavartiny, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi perlindungan kepada warga asing yang tidak mempunyai permit yang sah.

Tertuduh, R. Jayavartiny, didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Mac 2017 sehingga 10 Febuari 2018 di alamat sama di bawah Seksyen 55 B (1) Akta Imigresen 1959/63.

Akta itu memperuntukkan hukuman tidak kurang RM10, 000 dan tidak melebihi RM 50, 000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan Jayavartiny dibebaskan dengan ikat jamin RM15, 000.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Hamzah Azhan manakala tertuduh yang bekerja sebagai jurujual diwakili peguam Muhaimin Hashim.

Anak lelaki dibebaskan dan bakal jadi saksi

Polis Malaysia sebelum ini juga telah menahan anak lelaki Ambika untuk membantu siasatan terhadap kematian Adelina tetapi pada Rabu lelaki berusia 39 tahun itu dibebaskan di hadapan Muhamad Anas mengikut Bon 118 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau dibebaskan bagi membolehkannya menjadi saksi pihak pendakwaan.

Ketiga beranak itu yang juga majikan mangsa sebelum ini, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas cadangan Indonesia untuk membekukan warganya daripada bekerja sebagai pembantu rumah, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi menggesa Indonesia agar tidak berbuat demikian.

“Malaysia meminta kerajaan Indonesia agar tidak menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara ini hanya disebabkan oleh suatu kes terpencil yang berlaku membabitkan majikan di Pulau Pinang baru-baru ini,” katanya pada Selasa.

Ujar Ahmad Zahid lagi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia Muhammad Hanif Dhakiri untuk berunding tentang  soal keselamatan pekerja dan pembantu rumah Indonesia di Malaysia.

“Kita mempunyai SOP tertentu yang perlu dipatuhi majikan dan pihak Malaysia tidak akan melindungi mana-mana majikan yang melakukan kezaliman, dan turut mempunyai perjanjian antara majikan dan pekerja yang perlu ditandatangani supaya peraturan dan garis panduan diikuti sepenuhya” kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Adelina yang bekerja dengan majikan tersebut sejak 2014 meninggal dunia jam kira-kira jam 4.45 petang Ahad lalu di Hospital Bukit Mertajam selepas dijumpai di dalam keadaan parah sehari sebelumnya.

Adelina didapati lebam di bahagian muka dan kepala, serta kecederaan serius di bahagian lengan dan kedua-dua kakinya yang dipercayai dicurah air panas.

Menurut dakwaan jiran, Adelina turut tidur di luar rumah bersama anjing peliharaan majikannya sejak sebulan lalu selain tidak diberikan makanan secukupnya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Zahrin Mohamed Hashim berkata pampasan dan tunggakan gaji Adelina seperti yang diminta oleh keluarga pembantu rumah itu berjumlah RM63,900 telah dibayar kepada keluarga wanita itu.

Agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] melaporkan Zahrin sebagai berkata, pembayaran itu meliputi tunggakan gaji dari Januari 2015 hingga Februari 2018, berjumlah RM35,900 dan selebihnya pampasan untuk keluarganya termasuk kos penghantaran jenazah dan pengebumian.

"Bayaran itu dibuat pada 13 Februari lalu kepada Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang," kata Duta itu kepada pemberita di Jakarta pada Rabu.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan keluarga pembantu rumah  itu mahukan pampasan serta tunggakan gaji selama tiga tahun yang tidak dibayar majikannya.

"Kes kematian Adelina adalah satu kejadian yang amat menyayat hati, saya berasa kesal kerana ia berlaku di Malaysia," kata Zahrin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.