Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin mengaku tidak bersalah tipu dana
2024.02.15
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 3 petang waktu tempatan ETS - 2024-02-21
Dua anggota pengurusan tertinggi badan bantuan kemanusiaan pro-Palestin tempatan didakwa di sebuah Mahkamah Malaysia pada Khamis atas kesalahan kes pecah amanah aset bernilai RM39.15 juta (AS$8 juta) hasil sumbangan orang ramai.
Kes tersebut membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam dan penyokong kuat isu Palestin menentang Israel yang menduduki wilayah tersebut.
Eksekutif tertinggi Aman Palestin Abdullah Zaik Abdul Rahman dan Awang Suffian Awang Puit mengaku tidak bersalah atas lebih 100 pertuduhan pecah amanah yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun.
"Saya mengaku tidak bersalah," kata mereka di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor selepas setiap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Anita Harun.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat BenarNews, dua pegawai tinggi Aman Palestin itu didakwa secara bersama atas 19 pertuduhan memperdaya Lembaga Amanah Aman Palestin untuk membeli emas pada harga lebih tinggi daripada Samudra Champa Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mana mereka juga mempunyai kepentingan sama ada sebagai pengarah atau pemegang saham.
Kesemua emas itu telah dijual pada harga kira-kira RM39.15 juta (AS$8.18 juta) dengan bayaran lebihan dianggarkan sebanyak RM5.75 juta (AS$1.2 juta) berbanding harga pasaran.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 1 dan 10 tahun serta sebatan bagi setiap kesalahan.
Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing turut menghadapi 52 pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah membabitkan dana sejumlah kira-kira RM20 juta (AS$4.18 juta) dan berdepan hukuman penjara antara dua tahun hingga 20 tahun serta sebatan bagi setiap kesalahan.
Mereka juga masing-masing didakwa dengan 19 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan membeli pelbagai aset hartanah serta kenderaan bagi pihak Samudra Champa, membabitkan sejumlah wang kira-kira RM13 juta (AS$2.71 juta).
Selain Abdullah Zaik dan Awang Suffian, pendakwa raya juga membuat tiga pertuduhan pengubahan wang haram keatas seorang lagi pengarah Samudra Champa, Khairudin Mohd Ali atas pembelian beberapa premis bangunan di negeri Johor, Sabah dan Selangor membabitkan nilai kira-kira RM6 juta (AS$1.25 juta).
Khairudin juga mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.
Guna syarikat beli aset
Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu media Samudra Champa terkait kerana syarikat itu telah digunakan dalam urus niaga pembelian aset.
“Samudra Champa terlibat kerana Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin merupakan pengarah syarikat tersebut bersama-sama Khairudin dan syarikat itu telah digunakan sebagai perantara untuk melakukan pembelian ke atas aset terbabit,” kata Ahmad Akram.
Susulan pengakuan tidak bersalah mereka, Hakim Anita telah membenarkan Abdullah Zaik serta Awang Suffian diikat jamin RM1 juta (AS$209,200) setiap seorang dengan seorang penjamin selain mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.
“Mahkamah menetapkan jumlah pembayaran wang jaminan sebanyak RM500,000 (AS$104,600) pada hari ini (Khamis) manakala baki perlu dibayar sebelum 13 Mac 2024,” tambah Ahmad Akram.
Khairudin pula dikenakan ikat jamin sebanyak RM200,000 (AS$41,800) dengan seorang penjamin serta turut diarah menyerahkan pasport.
Pendakwaan terhadap ketiga-tiga individu itu dibuat beberapa bulan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap dakwaan bahawa Aman Palestin menyalahgunakan wang derma orang ramai untuk membantu warga Palestin.
Menurut laporan media tempatan, agensi anti-rasuah tersebut telah membekukan 41 akaun bank berkaitan organisasi bantuan kemanusiaan itu serta beberapa entiti lain pada November tahun lepas bagi membantu siasatan membabitkan dana sejumlah RM70 juta.
SPRM dalam satu kenyataan pada November lalu berkata suruhanjaya itu telah membuat serbuan ke atas pejabat Aman Palestin dan merekodkan keterangan beberapa saksi penting.
Sebelum itu, SPRM membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
"Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574)," kata SPRM.