Ketua Polis Filipina: Warga Malaysia Amin Baco Pimpin IS Asia Tenggara

Staf BeritaBenar
2017.11.06
Washington DC
171106-Marawi-620.jpg Tentera Filipina mengawasi bangunan yang musnah akibat pertempuran di Marawi, selatan Filipina selepas kerajaan negara itu mengisytiharkan berakhirnya pertempuran antara militan Negara Islam dan tentera, 25 Oktober 2017.
[AFP]

Pihak berkuasa Filipina percaya rakyat Malaysia, Amin Baco adalah pemimpin terbaru kumpulan militan Negara Islam [IS] bagi Asia Tenggara berdasarkan laporan risikan, kata Ketua Polis Negara itu Ronald dela Rosa pada Isnin.

Amin yang berasal dari Tawau, bandar ketiga terbesar di Sabah, Malaysia mengetuai kumpulan pejuang Maute di bandar Marawi, dan maklumat mengenai perlantikannya sebagai pemimpin terbaru kumpulan berkenaan diperolehi selepas penahanan seorang rakyat Indonesia di Marawi pada minggu lepas, demikian menurut dela Rosa seperti dilaporkan oleh agensi berita Reuters.

Dia didakwa mengambil alih sebagai ‘emir’ IS bagi rantau itu selepas Isnilon Hapilon, yang merupakan dalang pengepungan Marawi, maut dalam pertempuran di bandar itu pada 16 Oktober lepas.

Pertempuran Marawi meletus pada 23 Mei lalu apabila polis dan tentera melakukan gerakan untuk menangkap Isnilon, pemimpin yang diakui mengetuai cawangan IS di Asia Tenggara dan berada dalam senarai orang paling dikehendaki oleh FBI.

Isnilon bersama-sama Omarkhayam Maute, seorang daripada dua beradik yang memimpin puak militan Maute bersama Mahmud Ahmad, seorang bekas profesor universiti dari Malaysia yang didakwa membiayai serangan Marawi dilaporankan terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina.

Sementara itu, agensi berita berkenaan juga melaporkan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana berkata, pihak berkuasa negara itu sedang mencari Amin yang dipercayai menjadi pemimpin baharu atau ‘emir’ kepada kumpulan militan di seluruh Asia Tenggara.

Kumpulan pakar pula menjelaskan Amin sebelum ini dilatih oleh anggota militan warga Malaysia iaitu Zulkifli Hir atau dikenali sebagai Marwan sebelum dia terbunuh dalam satu pertempuran di wilayah Maguindanao pada tahun 2015 dan turut menyaksikan seramai 44 anggota polis terkorban.

Dalam pada itu, berdasarkan sumber ketenteraan Filipina, Amin mungkin berada di pulau Jolo atau berhampiran Maguindanao dan menyatakan lelaki yang sudah lama memasuki negara berkenaan dan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah.

“Amin dilaporkan telah berkahwin dengan anak perempuan pemimpin kumpulan militan tempatan dan dipercayai sebelum ini pernah menyalurkan dana, senjata api dan merekrut ahli baharu dari Indonesia dan Malaysia.

"Amin dikatakan menjadi pemimpin baharu rangkaian kumpulan militan berdasarkan hubungan baiknya dengan beberapa puak pelampau daripada pelbagai kumpulan di Mindanao,” jelas sumber tersebut seperti dilaporkan oleh Reuters.

Dalam pada itu agensi berita Filipina (PNA) melaporkan, pihak tentera percaya Amin adalah antara mereka yang terbunuh dalan pertempuran di Marawi.

Ini didedahkan oleh jurucakap Angkatan Bersenjata Filipina (AFP), Major Jen. Restituto Padilla dalam satu mesej pada Isnin, bertentangan dengan kenyataan yang dibuat dela Rosa bahawa Amin  merupakan emir IS yang baru di Asia Tenggara .

"Bertentangan dengan kenyataan baru-baru ini, AFP percaya bahawa kumpulan itu kini tanpa pemimpin dan tanpa arahan. Amin dipercayai antara yang terbunuh di Marawi. Kubu Amin kini menjadi subjek pencarian agresif yang berterusan, "katanya.

Amin adalah bekas anggota rangkaian Darul Islam Sabah [DI] - sebuah kumpulan yang muncul selepas Darul Islam Indonesia berpecah daripada Jemaah Islamiyah pada tahun 1993, menurut  laporan oleh Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) pada tahun 2016.

Ketua Polis Negara Mohammad Fuzi Harun semasa dihubungi BeritaBenar baru-baru ini berkata, "Amin Baco dan anaknya telah pergi ke Marawi, tetapi setakat ini, tidak ada maklumat jika mereka adalah antara mereka yang telah dibunuh oleh tentera Filipina semasa pertempuran di Marawi."

Sementara itu, media Singapura, Channel News Asia melaporkan, Amin yang dikatakan mampu membuat bom Improvised Explosive Device (IED), ada menghubungi tentera Filipina bagi proses rundingan penyerahan diri namun tiada maklumat lanjut mengenainya.

Amin juga dipercayai memainkan peranan utama dalam penyeludupan militan Indonesia ke selatan Filipina bagi menjalani latihan, selain bertindak untuk menyeludup senjata ke Indonesia.

Hareez Lee di Kuala Lumpur, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.