Malaysia Terus Kenakan Tindakan Keras Terhadap Hak Asasi Manusia: Amnesty International
2017.02.22
Kuala Lumpur
Sebuah pergerakan global, Amnesty International, dalam satu laporan tahunannya yang bertajuk Laporan Antarabangsa AI 2016/17 dan dikeluarkan pada Rabu meluahkan kebimbangannnya mengenai tindakan kerajaan yang telah mencabul hak kebebasan bersuara; dan kekurangan akauntabiliti terhadap pasukan polis diraja Malaysia.
Laporan 408 muka surat itu mencatatkan enam bidang utama di Malaysia yang perlu diberikan perhatian serius oleh pentadbiran negara itu, yang melibatkan kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan, penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya oleh polis atau pihak berkuasa negara itu termasuk keselamatan pelarian dan pencari suaka, serta hukuman mati.
Pengarah Eksekutif Amnesty Malaysia, Shamini Darshni Kaliemuthu berkata, pada 2016, tindakan yang menindas seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah berulang kali digunakan untuk menutup mulut pengkritik kerajaan yang diganggu, menakut-nakutkan dan kerap kali ditahan, selaras dengan trend yang dilihat di Asia Tenggara mengenai ancaman terhadap Hak Asasi Manusia di rantau ini. "
Laporan itu juga memberi penekanan terhadap penyekatan dan penutupan portal berita bebas The Malaysian Insider, serangan terhadap aktivis Fahmi Reza dan Haris Ibrahim, serta larangan perjalanan
Terhadap kartunis politik Zunar.
Selain itu, ia juga melaporkan tentang serangan terhadap kebebasan berpersatuan apabila konvoi keamanan menyokong reformasi pilihan raya dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai perhimpunan Bersih 5 pada Oktober lepas, telah dicemar oleh serangan fizikal dan ugutan, manakala pemimpinnya menerima ancaman bunuh.
Berlaku juga tangkapan dan tahanan dengan sewenang-wenangnya di Malaysia dengan penyalahgunaan undang-undang penahanan dan pencegahan seperti Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).
Selain itu, laporan berkenaan juga memaklumkan mengenai penahanan 11 hari aktivis Maria Chin Abdullah,iaitu Pengerusi Bersih 2.0 sehari, sebelum perhimpunan Bersih 5 atas alasan "cuba melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen", dan kes 13 orang yang ditangkap di bawah SOSMA didakwa telah diseksa dalam tahanan polis seperti yang dilaporkan oleh badan bukan kerajaan bagi hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
"Satu dekad telah berlalu sejak United Nations Convention Against Torture (UNCAT) mula berkuatkuasa, namun penyeksaan berterusan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, satu daripada beberapa negara yang masih belum tunduk kepada konvensyen tersebut. Walaubagaimanapun, dengan menyertai 161 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] yang menyokong UNCAT, Malaysia akan membuat komitmen ke arah menghapuskan penyeksaan, "kata Shamini.
Malaysia adalah salah sebuah daripada 32 negara anggota PBB masih belum mengesahkan UNCAT.
"Sementara itu, Akta Majlis Keselamatan Negara, yang berkuatkuasa pada bulan Ogos, menyediakan kuasa eksekutif yang lebih luas termasuklah hak untuk menangkap, menggeledah dan menyita tanpa waran, serta mengenakan perintah berkurung secara sewenang-wenangnya, dan mempunyai kuasa untuk memintas langkah-langkah akauntabiliti utama. Akta ini adalah satu lagi contoh undang-undang yang menindas dan melanggar hak-hak asasi kemanusiaan, "kata Shamini.
Laporan itu juga menyebut berlakunya kematian dalam tahanan polis dengan menggunakan kekerasan secara sewenang-wenangnya yang terus berlaku pada tahun lepas.
Dalam laporan itu, Amnesty International berkata lebih 400 pelarian Rohingya yang ditahan di Depot Belantik di Kedah selama lebih setahun telah dilepaskan.
Mengenai pemansuhan hukuman mati, pengumuman oleh kerajaan mengenai isu berkenaan pada 2015, masih lagi belum menjadi kenyataan manakala hukuman mati terus berlaku.
"Kerajaan perlu menunjukkan komitmen mereka ke arah memansuhkan hukuman mati dengan meletakkan moratorium secepat mungkin terhadap semua kes yang melibatkan hukuman mati."