Malaysia gagal penuhi komitmen hapus undang-undang menindas
2024.04.24
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan janjinya untuk melakukan reformasi terhadap undang-undang menindas termasuk menghalang hak kebebasan bersuara dan berhimpun dalam tempoh dua tahun berkuasa, kata Amnesty International yang berpangkalan di London dalam laporan tahunan berkaitan hak asasi manusia.
Ketika memberikan maklum balas kepada laporan tersebut, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Putrajaya bersedia berdepan dengan kritikan namun sebarang fitnah termasuk terhadap Perdana Menteri adalah tidak dapat diterima.
Amnesty International dalam Laporan Hak Asasi Manusia Dunia 2023-2024, dengan 418 muka surat bertajuk “The State of The World’s Human Right” yang diterbitkan pada Selasa itu melaporkan yang kerajaan Malaysia gagal melaksanakan janji untuk memperbaharui undang-undang yang menindas termasuk menyekat kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan menjamin hak pelarian serta migran.
Kebimbangan yang dibangkitkan bagi Malaysia membabitkan keganasan polis, kematian dalam tahanan, hak masyarakat Orang Asli dan hak untuk persekitaran yang sihat di tengah-tengah kebimbangan global tentang kemerosotan demokrasi dan penyalahgunaan hak asasi manusia.
“Kerajaan [Malaysia] gagal memenuhi komitmen untuk memperbaharui undang-undang yang menyekat hak kebebasan bersuara dan terus menggunakan undang-undang yang menindas untuk mendiamkan suara kritis dan menghalang perhimpunan aman.
“Layanan berbentuk hukuman terhadap pelarian dan pendatang diteruskan termasuk penahanan tanpa had dan penghantaran pulang yang melanggar prinsip "tiada pemulangan paksa'. Kematian dalam tahanan turut direkodkan,” kata laporan itu.
Pada tahun 2023, badan pemerhati hak asasi manusia antarabangsa tersebut telah merekodkan beberapa kes di mana kerajaan menyekat kebebasan bersuara termasuk pengharaman filem, buku yang dianggap "memudaratkan moral rakyat Malaysia" dan juga jam tangan berwarna pelangi yang didakwa mempromosikan "gaya hidup LGBTQ+" menggunakan undang-undang era kolonial.
Unit Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri menyita 25 buah jam tangan jenama Swatch berwarna pelangi dari siri “Pride Collection” yang dikaitkan dengan pergerakan LGBTQ+ di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor, 13 Mei 2023. [Ihsan Swatch Malaysia]
Gagal penuhi komitmen
Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Jorene Maliamauv berkata kerajaan terus menggunakan undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat perbezaan pendapat dan kebebasan bersuara pada 2023.
“Apa yang amat mengecewakan ialah kerajaan gagal memenuhi komitmennya untuk memperbaharui undang-undang yang menyekat hak kebebasan bersuara seperti dijanjikan dalam manifesto sebelum pilihan raya.
“Setelah berundur sepenuhnya daripada komitmen mereka, kerajaan sebaliknya terus menggunakan undang-undang berkenaan untuk mendiamkan suara kritis dan menghalang perhimpunan secara aman,” kata Maliamauv.
Selanjutnya, Maliamauv berkata kerajaan malah cuba memadamkan semua aspek budaya LGBTQ+ di Malaysia apabila mengharamkan jam tangan berwarna pelangi jenama Swatch buatan Switzerland.
Anwar pada Januari tahun lepas berkata bahawa kerajaan tidak akan mengiktiraf komuniti LGBTQ+ di negara itu.
“Ini menjadi sangat jelas apabila Malaysia menjadi tajuk utama global atas sebab yang salah pada 2023 kerana merampas serta melarang jam tangan berwarna pelangi yang dijual oleh Swatch dan memperkenalkan penalti baharu sehingga tiga tahun penjara kerana menjual atau memakainya.
“Sebuah kerajaan yang mengatakan ia “mempunyai minda reformasi” perlu jujur tentang bagaimana undang-undang telah digunakan untuk menyekat hak bersuara dan penyertaan politik serta mempunyai integriti bagi memenuhi komitmennya sendiri bagi memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” tambahnya.
Sebelum Pilihan Raya Umum 2022, gabungan politik Pakatan Harapan pimpinan Anwar telah berkempen atas agenda progresif dan reformasi tetapi pengkritik mendapati pembaharuan tersebut hanyalah janji yang dimungkiri.
Pada tahun lepas, dua pemimpin tertinggi pembangkang seperti Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang disiasat di bawah Akta Hasutan manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa mengikut akta yang sama pada Julai kerana kenyataan berbaur hasutan membabitkan penghinaan terhadap raja.
Media tempatan bulan lalu melaporkan polis Malaysia telah memanggil penganjur perhimpunan Hari Wanita Antarabangsa untuk disoal siasat menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membabitkan "tingkah laku menghina".
Pendatang yang tidak mempunyai dokumen digari selepas ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di rumah kongsi pekerja pembinaan di Cyberjaya, Selangor, 7 Jun 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]
Terima kritikan
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan ketika menepis dakwaan dalam laporan Amnesty International berkata kerajaan tidak mempunyai masalah dengan kritikan tetapi menolak sebarang cerita fitnah yang direka termasuk berkaitan dengan perdana menteri.
Jelasnya sepanjang pentadbiran kerajaan sekarang tidak ada seorang pun wartawan telah ditahan oleh pihak berkuasa.
"Walaupun kita terima pandangan daripada Amnesty (International), pada masa yang sama ada perbezaan cukup jelas antara hak kebebasan bersuara dan kebebasan memfitnah, fitnah itu merosakkan masyarakat dan negara," kata Fahmi.
"Setakat ini tidak ada satu akhbar ditutup oleh pihak kerajaan, mana-mana wartawan menulis laporan terus (bebas) menulis, kita membezakan antara kebebasan bersuara dan kebebasan memfitnah."
Negara Asia Tenggara itu juga baru-baru ini mempergiatkan usahanya melalui agensi kawalan komunikasi untuk membanteras kenyataan dan tingkah laku berniat jahat yang disiarkan dalam talian yang menyentuh kaum, agama dan raja (3R).
Pada Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan bertoleransi dengan pihak yang memainkan isu 3R.
“Saya juga menyeru semua lapisan masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan nasional dan mengelak daripada menghasut rakyat dengan memainkan isu berkaitan 3R [kaum, agama, dan raja].
“Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan akan terus dipertahankan. Bagaimanapun, agama lain dibenarkan diamalkan secara aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
“Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas-asas perlembagaan ini,” titah beliau.
Sementara itu, laporan berkenaan turut menyentuh layanan Malaysia terhadap pendatang dan migran setelah negara itu baru-baru ini menarik perhatian antarabangsa berikutan dakwaan Human Rights Watch bahawa mereka tidak diberikan keperluan asas dan kadang-kala mengalami penyeksaan dalam tahanan.
Meskipun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan tersebut, Amnesty International menuntut keperluan mendesak untuk dilakukan pembaharuan menyeluruh bagi melindungi hak dan maruah tahanan.
Pada masa yang sama Amnesty International berkata, pengusiran paksa terus berlaku apabila individu dan seluruh komuniti migran berisiko dihantar pulang ke tempat di mana mereka mungkin menghadapi masalah pencabulan hak asasi manusia yang serius seperti Myanmar.
Pada Januari 2023, Malaysia telah menghantar pulang 114 orang pelarian dari Myanmar termasuk kanak-kanak, sedangkan mereka terlibat dalam kes yang dicabar oleh Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia di mahkamah bagi menghalang tindakan penghantaran pulang.
Helmi Foad di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.