Malaysia Janjikan Bantuan Bernilai AS$1 Juta Bagi Kawasan Bebas IS
2017.03.22
Washington DC
Malaysia akan memberi sumbangan AS$1 juta (RM4.4 juta) untuk bantuan kemanusiaan bagi kawasan yang dibebaskan dari tawanan militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria, Menteri Luar Malaysia memberitahu mesyuarat yang dihadiri oleh 68 negara yang bekerjasama untuk mengalahkan kumpulan pengganas, di Washington pada Rabu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson merasmikan mesyuarat itu dengan berikrar bahawa pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi akan menemui nasib yang sama seperti perancang serangan pengganas IS yang menyerang di Paris dan Brussels, yang akhirnya menemui maut di tangan tentera bersekutu.
"Cuma masa akan menentukan bila Baghdadi sendiri akan menerima nasib yang sama," kata Tillerson.
Persidangan sehari menteri-menteri luar adalah mesyuarat peringkat tinggi pertama Gabungan Anti-ISIS (atau IS) Global yang diterajui oleh Amerika Syarikat.
Malaysia dan Singapura adalah dua negara dari Asia Tenggara yang menyertai gabungan itu, yang ditubuhkan pada September 2014 oleh pentadbiran Presiden Obama.
Mengumumkan sumbangan Malaysia untuk bantuan kemanusiaan, Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berkata, "Malaysia menyokong penuh gesaan gabungan global itu untuk pembiayaan kawasan yang baru dibebaskan di Iraq dan Syria."
Anifah menekankan ketegasan Malaysia mengenai persefahaman, toleransi, saling menghormati dan keterangkuman dalam menangani ancaman global yang ditimbulkan oleh IS.
"Ini adalah nilai yang sangat mulia yang tidak wujud dalam ideologi sesat Daesh," kata Anifah yang merujuk kepada IS dengan nama lain. "Penceritaan semula naratif Islam yang sebenar yang merangkumi sifat-sifat itu adalah sangat penting dalam menangani ekstremisme kerana ia dapat menghentikan perlakuan songsang oleh mereka yang sesat."
Pihak berkuasa Malaysia telah memberi amaran mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pelampau di tanahairnya, di mana IS mendakwa melakukan serangan bom sehingga mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur tahun lepas. Sejak tahun 2013, polis tempatan telah menahan sekurang-kurangnya 278 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, menurut perangkaan kerajaan.
Menteri Luar Malaysia juga menyebut mengenai de-radikalisasi sebagai satu komponen penting dalam strategi memerangi keganasan Malaysia.
"Kami berpegang kepada kepercayaan bahawa mereka yang disabitkan di bawah undang-undang berkaitan keganasan kami telah diperdaya agar mengamal versi yang tidak selari dengan Islam," kata Anifah, menurut salinan ucapannya, menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kejayaan 97.5 peratus dalam usaha de-radikalisasi dan pemulihan.
"Malaysia bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan negara-negara lain.”
Pusat menangkis mesej
Satu kenyataan daripada gabungan itu menyatakan bahawa mesej anti-keganasan adalah penting dalam usaha untuk mengalahkan IS, dan kandungan mesej melalui talian itu kinibtersebar luas ketika mesej pro-IS semakin munurun.
"Ini adalah kumpulan pengganas yang kini menghadapi cabaran dalam menentang inisiatif yang canggih dan teratur daripada gabungan global tersebut,"menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS.
Kumpulan kerja komunikasi gabungan tersebut yang diketuai oleh Emirat Arab Bersatu, Britain dan AS, bersama lebih 30 negara telah mengadakan pertemuan bersama media dan syarikat teknologi untuk berkongsi maklumat dan strategi dalam usaha melawan mesej pengganas melalui talian dengan membentangkan naratif yang positif, menurut kenyataan.
Malaysia, ahli gabungan sejak September 2016, telah menubuhkan pusat mesej digital menangkis propaganda serantau dan negara.
Malaysia juga adalah tuan rumah kepada pusat mesej digital menangkis propaganda dalam talian yang di kawalselia oleh Polis Diraja Malaysia dan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan, beroperasi di bawah Kementerian Luar Negeri dengan bantuan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Pusat ketiga telah ditetapkan untuk dibuka pada musim bunga ini. Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman akan mengambil pendekatan akademik dalam menjalankan kajian dan menangani penyebaran ideologi oleh IS dan kumpulan pelampau lain.
"Kami telah membalas mesej keganasan dengan produk kreatif digital yang meliputi pelbagai tema yang sangat relevan untuk menangani keganasan," kata Anifah dalam ucapan beliau.
"Ini termasuk membangkitkan kesedaran di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang terdedah kepada radikalisme, melawan tanggapan bahawa berjihad itu berkaitan dengan 'kejantanan' dan menggunakan tokoh popular serta puisi tradisional untuk menyindir dan melemahkan usaha Daesh."
Penglibatan tentera
Selain daripada usaha de-radikalisasi dan melawan mesej IS, gabungan itu melaporkan bahawa 33 daripada 68 negara anggota mempunyai lebih daripada 9,000 tentera di Iraq dan Syria, iaitu sebahagian daripada kempen ketenteraan untuk mengalahkan IS di Iraq dan Syria yang kini dikepung oleh tentera berkuasa.
Malaysia tidak termasuk di antara negara-negara yang telah menyumbang tentera kepada kempen tersebut.
"Operasi Gabungan telah membebaskan 62 peratus daripada kawasan yang pernah dikuasai ISIS di Iraq dan 30 peratus di Syria, termasuk bandar-bandar utama di kedua-dua negara. Bilangan pejuang ISIS di Iraq dan Syria adalah pada tahap terendah sejak, kumpulan yang cuba mendirikan khalifa itu, kemuncaknya pada 2014, " kata kenyataan itu.
Di samping itu, ahli-ahli gabungan telah menyediakan lebih AS$22.2 bilion (RM98.3 bilion) bagi menyokong ekonomi dan memberi bantuan kemanusiaan di Iraq dan Syria.
"Kemenangan sengit di Iraq dan Syria telah memberi momentum kepada gabungan kita, tetapi kita mesti meningkatkan usaha kita untuk mengukuhkan perjuangan untuk melawan ISIS," Tillerson memberitahu persidangan itu, yang mengambil tempat di Jabatan Negara.
"Melemahkan ISIS bukan matlamat mutakhir, kita mesti mengalahkan ISIS," kata Ketua Diplomat AS itu.