Parlimen Malaysia lulus Rang Undang-Undang anti menghendap

Individu yang didapati bersalah di bawah akta itu boleh dikenakan tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Noah Lee & Ili Shazawani Ihsan
2023.03.29
Kuala Lumpur
Parlimen Malaysia lulus Rang Undang-Undang anti menghendap Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, 22 Julai, 2022.
Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, 22 Julai, 2022.

Parlimen Malaysia pada Selasa meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) yang buat pertama kalinya menjadikan perbuatan menghendap atau 'stalking' satu jenayah. Di bawah peruntukan baharu itu, individu yang didapati bersalah boleh dihukum dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Aktivis di negara itu telah memperjuangkan sejak berpuluh tahun supaya perbuatan menghendap dijadikan satu kesalahan jenayah, dengan satu tinjauan yang dibuat pada 2020 menunjukkan lebih satu pertiga (36 peratus) rakyat Malaysia pernah dihendap.

Perlakuan menghendap merupakan satu masalah yang mempunyai implikasi serius terhadap kesihatan mental mangsa dan kadang kala boleh menjadi lebih buruk membabitkan serangan ganas.

Menurut dokumen RUU berkenaan yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, ia bertujuan melakukan pindaan ke atas Kanun Keseksaan bagi memasukkan satu peruntukan baharu dipanggil Seksyen 507A yang menghuraikan jenayah menghendap dengan lebih spesifik.

"Pindaan kepada Akta 574 (Kanun Keseksaan) dengan memasukkan peruntukan baharu iaitu Seksyen 507A berhubung perlakuan menghendap adalah lebih spesifik dan memudahkan siasatan pihak berkuasa.

"Berdasarkan rasional yang telah pun dinyatakan, adalah menjadi hasrat kerajaan melalui peruntukan undang-undang yang jelas ini agar dapat melindungi mangsa dan dapat mengurangkan risiko pelaku bertindak secara lebih agresif atau ganas," kata Ramkarpal dalam pembentangannya di Dewan Rakyat.

Cadangan pindaan berkenaan kemudiannya telah dibahas oleh lapan orang Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang, sebelum satu undian secara suara dibuat dan mendapat sokongan sebulat suara daripada wakil-wakil rakyat yang hadir.

"Lebih suara yang bersetuju," kata Alice Lau Kiong Yieng, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, yang mempengerusikan sidang tersebut pada Rabu.

Penambahan Seksyen 507A di dalam Kanun Keseksaan itu memperuntukkan bahawa sesiapa yang berulang kali melakukan gangguan dalam apa-apa bentuk secara berulang kali dengan tujuan menyebabkan ketakutan atau kesusahan (distress), atau mengetahui bahawa perbuatannya akan menyebabkan sedemikian, telah melakukan kesalahan menghendap.

Ia merangkumi empat jenis perbuatan, termasuk mengekori seseorang itu dengan apa saja cara; berhubung atau cuba menghubungi seseorang itu dengan apa saja cara; merayau-rayau (loitering) di kawasan kediaman atau tempat kerja seseorang; dan menghantar apa-apa sahaja barang kepada seseorang dalam apa saja cara.

Rang Undang-Undang berkenaan bagaimanapun masih belum boleh berkuatkuasa. Ia perlu terlebih dahulu dibawa ke Dewan Negara untuk dibahas dan diluluskan, sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan dan kemudiannya digazetkan oleh kerajaan.

Sebelum ini, cadangan serupa untuk menjenayahkan perbuatan menghendap pernah dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Oktober 2022. Ia bagaimanapun tidak berjaya dijadikan undang-undang selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober, dan menyebabkan RUU tersebut tidak dapat dibentangkan di Dewan Negara pada sesi yang sama.

Perjuangan sedekad

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) bersama syarikat penyelidikan Vase.ai pada 2020, ia mendapati 36 peratus daripada 1,008 orang responden rakyat Malaysia menyatakan bahawa mereka pernah menjadi mangsa perbuatan menghendap yang menyebabkan mereka ketakutan.

Daripada bilangan itu, 12 peratus responden pernah menjadi mangsa perbuatan menghendap membabitkan ancaman dicederakan, manakala 17 peratus pernah menjadi mangsa menghendap yang melibatkan kecederaan pada mereka, menurut dapatan kajian itu yang diterbitkan di laman web WAO.

"Hasil tinjauan ini menyokong gesaan supaya perbuatan menghendap dijadikan kesalahan jenayah dan supaya perlindungan diberikan kepada mangsa," kata pertubuhan itu.

Sementara itu, kelulusan undang-undang baharu terhadap menghendap itu mendapat pujian daripada aktivis kemanusiaan dan penganalisis.

Aktivis veteran Ivy Josiah dari WAO dalam komen beliau di Twitter mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan.

"Tahniah kepada Ramkarpal, Azalina Othman Said (menteri undang-undang), WAO dan kumpulan-kumpulan wanita lain. Advokasi untuk ini telah bermula sejak 2014.

"Parlimen telah meluluskan secara sebulat suara undang-undang anti menghendap, satu undang-undang yang akan memberikan perintah perlindungan dan pencegahan. Terima kasih pada semua mangsa (survivors) yang memberikan bukti melalui keterangan mengenai pengalaman mereka," kata beliau.

Seorang lagi aktivis Yu Ren-Chung berkata undang-undang tersebut akan dapat menghalang perbuatan menghendap daripada menjadi sesuatu yang lebih buruk.

"Selepas bertahun-tahun ia melalui proses pembuatan polisi, undang-undang anti-menghendap telah diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

"Undang-undang ini akan membantu para mangsa mendapatkan perlindungan undang-undang dan menghalang perbuatan menghendap daripada menjadi bertambah buruk sehingga menyebabkan kemudaratan," kata beliau dalam ciapan di Twitter.

Bridget Welsh, penganalisis politik dari Universiti Nottingham-Malaysia, pula menyatakan harapan supaya "undang-undang tersebut akan dilaksanakan dengan betul bagi melindungi mangsa-mangsa".

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.