Berita Kematian Faris Akhiri Kebimbangan Akan Kehilangannya, Kata Ayah
2015.12.08

Anuar Salleh terkejut apabila dimaklumkan bahawa anaknya Mohd Faris, seorang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS), telah terbunuh dalam pertempuran di Al-Anbar, Iraq pada 23 November lepas.
"Saya reda dengan apa yang berlaku kepada anak saya. Sebagai ayah, saya tetap mendoakan yang terbaik buat anak saya biar apa pun pandangan orang luar terhadapnya," katanya kepada BeritaBenar yang memaklumkan beliau mengenai kematian anaknya itu.
Anuar, 57, pesara kerajaan, tidak mengetahui tentang kematian Mohd Faris, anak ketiga dari enam beradik, sehinggalah dimaklumkan oleh BeritaBenar yang mengunjungi kediamannya di Kampung Jelatang, Gurun, Kedah pada Selasa.
Beliau tergamam dan sebak sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita itu, namun reda dengan pengakhiran hidup Mohd Faris seperti yang dilaporkan oleh BeritaBenar pada Sabtu.
Pada Sabtu, BeritaBenar melaporkan Mohd Faris telah terbunuh semasa bertempur sebagai pejuang kumpulan militan IS di Al-Anbar, Iraq.
Kematian Mohd Faris menjadikannya rakyat Malaysia yang ke-14 terbunuh di Syria dan Iraq, menurut seorang pegawai kanan antikeganasan Polis DiRaja Malaysia kepada BeritaBenar.
Pengumuman kematian Mohd Faris muncul dalam laman Facebook ‘Adam Harris’ pada 23 November, yang menyatakan bahawa “Abu Qudamah Al Malizi” telah syahid, dengan memuat naik gambar Mohd Faris yang sedang duduk di kerusi bersebelahan dengan senjatanya dengan berlatarbelakangkan bendera kumpulan militan IS dalam akaun Facebooknya.
“Ya benar… Mohd Faris Anuar terbunuh semasa bertempur di Al Anbar, Iraq, pada 23 November. Kematian Mohd Faris menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terkorban di Syria dan Iraq kepada 14 orang,” kata pegawai itu semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington.
Menurut sumber perisikan, Mohd Faris menggunakan nama samaran Abu Qudamah Al Malizi dan Mujahid Malay dalam laman Facebook.
Anuar berkata "Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Sekurang-kurangnya, keluarga saya kini ada penutup kepada kehilangan Mohd Faris, berbanding terus tertanya-tanya dengan nasibnya dari hari ke hari".
"Apa yang berlaku ke atas anak saya telah tertulis dan saya reda. Tiada apa yang mampu saya lakukan untuk mengubah ketentuan itu," katanya yang nyata sedih dengan berita kematian anaknya itu.
Pada Mac lepas, pihak berkuasa Malaysia telah mengenal pasti dua rakyatnya, yang dipercayai menyertai kumpulan militan IS, telah terlibat dalam insiden memenggal kepala seorang rakyat Syria yang ditawan di kem tahanan Raqqa, Syria.
Mereka dikenal pasti dalam sebuah video berdurasi 30 minit yang menunjukkan seorang lelaki warga Syria dipenggal kepalanya kerana didakwa menjadi pengintip kepada tentera Bashar al-Assad.
Selain Mohd Faris, turut berada dalam rakaman tersebut ialah rakannya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, 25, dari Durian Tunggal, Melaka.
Kepala yang dipenggal itu diangkat oleh seorang lagi anggota kumpulan militan itu, yang dipercayai berasal dari Indonesia, sambil melaungkan ‘Allahuakbar’ dengan Muhammad Wanndy bergambar bersama mayat tersebut manakala Mohd Faris merakamkan video berkenaan.
Hentikan spekulasi
Anuar berkata, sejak media melaporkan mengenai pengesahan pihak berkuasa mengenai dua rakyat Malaysia muncul dalam video yang melibatkan anaknya itu, keluarga mereka sangat tertekan dengan pandangan sinis masyarakat.
"Isteri saya menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan sejak berita mengenai anak kami terlibat dalam aktiviti militan, dia kerap menangis apabila mengenangkan nasib Mohd Faris.
“Kini saya sangat bimbang mengenai keadaan isteri saya, sekiranya dia tahu tentang berita kematian Mohd Faris,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Anuar sangat berharap agar berita kematian Mohd Faris akan menamatkan segala spekulasi dan pandangan negatif terhadap anaknya, yang telah memberi tekanan yang amat hebat kepada keluarga mereka.
"Apa pun yang terjadi…, kami tidak boleh menolak takdir dan saya akan terus mengenang Mohd Faris sebagai anak yang baik, biar apa pun pandangan pihak luar yang tidak mengenalinya," jelas Anuar.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai laporan penglibatan Mohd Faris dalam kumpulan militan, seperti yang disiarkan oleh media sebelum ini, kerana tidak mengetahui cerita sebenarnya tentang apa yang berlaku terhadap anaknya sejak doa meninggalkan rumah setahun yang lalu.
"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Mohd Faris sejak dia meninggalkan rumah kerana kami telah terputus hubungan dengannya... kami hanya memberi reaksi berdasarkan spekulasi oleh pihak-pihak lain," katanya.
Justeru itu, Anuar berharap semua pihak memberi ruang kepada keluarganya untuk menerima berita sedih mengenai kematian Mohd Faris.
Anuar juga enggan diambil gambar dan tidak mahu gambar rumahnya diambil kerana tidak mahu lagi berhadapan pengalaman pada Mac lepas.
‘Cari Ilmu’
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Anuar sebagai berkata bahawa Mohd Faris telah meninggalkan rumah mereka pada September tahun lalu dengan hanya memaklumkan mahu mencari pekerjaan dan mendalami ilmu agama.
Pada Mac lepas, akhbar The Star melaporkan Anuar sebagai berkata bahawa mereka tidak dapat menghubungi Mohd Faris sejak beliau meninggalkan rumah sehinggalah pihak berkuasa mengenal pasti dirinya sebagai rakyat Malaysia dalam video berkenaan.
Laporan media itu juga telah mengejutkan para penduduk kampung berkenaan, yang menganggap Mohd Faris sebagai anak muda yang baik dan pandai serta tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti tidak sihat.
Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, Mohd Faris tidak banyak bercampur dengan rakan-rakan sebaya di kampung itu namun dia sangat menghormati orang lain.