Anwar Suarakan Sokongan untuk Bekas PM Mahathir Dari Penjara
2016.03.03
Kuala Lumpur
Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menerima sokongan daripada sumber yang tidak mungkin dijangkanya dalam usaha beliau untuk mendapatkan perdana menteri masa kini meletakkan jawatan susulan skandal kewangan - ketua pembangkang yang kini dipenjarakan Anwar Ibrahim.
Dari sel penjaranya, Anwar mengeluarkan kenyataan dalam blog beliau dengan menyatakan sokongannya kepada bekas perdana menteri berusia 90 tahun itu serta pihak lain yang telah mengkritik Perdana Menteri Najib Razak atas tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan dana negara dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB).
"Saya menyokong rakan-rakan dalam masyarakat awam, parti-parti politik dan individu termasuk Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta yang lain bagi membina kekuatan dan kefahaman serupa secara bersama-sama ...," kata Anwar, yang merujuk kepada Mahathir dan bekas Muhyiddin iaitu Timbalan Perdana Menteri yang dipecat Najib pada Julai 2015 kerana mengkritiknya secara terbuka berhubung skandal tersebut.
"Skandal 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri adalah skandal yang paling buruk dalam sejarah kita dan telah merosakkan dengan teruk imej negara kita," menurut catatan Anwar, pemimpin pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Ini hanya boleh berlaku apabila kuasa tertumpu kepada seorang individu seperti Perdana Menteri, serta kegagalan institusi kewangan, kehakiman dan penguatkuasaan utama dalam melaksanakan tugas masing-masing secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih."
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan liwat pada 2008.
Beliau adalah bekas No. 2 Mahathir
Tetapi pada 1998, Perdana Menteri Mahathir ketika itu telah memecat beliau sebagai timbalannya. Pada tahun itu, Anwar juga disingkirkan daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang mengetuai kerajaan campuran yang memerintah Malaysia sejak 1957.
Tidak lama selepas itu, Anwar telah ditangkap, disabitkan kesalahan dan dipenjarakan atas pertuduhan berasingan rasuah dan liwat. Pada 2004, sabitan liwat itu dibatalkan tetapi kesalahan rasuah dikekalkan.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau juga menggesa supaya perubahan politik dilakukan di Malaysia.
Menurut Anwar, pemahaman bersama yang beliau harapkan untuk dibentuk dengan Mahathir, Muhyiddin dan yang lain akan "memberi tumpuan kepada tuntutan supaya Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau dengan jelasnya telah gagal memimpin negara ini.
Beliau bertanggungjawab untuk terus melibatkan diri dalam perbuatan politik yang mementingkan diri sendiri, menyebabkan kekalutan terhadap institusi pentadbiran dan membebankan Rakyat [orang ramai] dengan krisis ekonomi yang berterusan. "
"Kami juga telah belajar daripada sejarah bahawa peralihan kuasa yang bermakna tidak boleh berlaku hanya dengan perubahan kepimpinan tetapi ia juga menuntut perubahan sistemik," kata Anwar.
Najib telah menafikan semua dakwaan yang berkaitan dengan skandal yang berkaitan dengan 1MDB dan deposit RM 2.08 bilion (AS$681 juta) yang dimasukkan dalam akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya umum 2013.
Pada Januari lalu, Peguam Negara Malaysia, yang membersihkan nama Perdana Menteri daripada sebarang salah laku yang dikaitkan dengan deposit itu, berkata ia adalah sumbangan kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Muhyiddin, anak Mahathir kekal dengan UMNO
Kenyataan Anwar yang menyokong Mahathir dibuat tiga hari selepas bekas PM itu - yang lebih dikenali sebagai "Dr. M "- mengumumkan beliau keluar daripada UMNO sebagai memprotes skandal kewangan itu dan apa yang beliau sifatkan sebagai usaha parti itu untuk melindungi Najib daripada tuduhan rasuah.
Minggu lepas, parti itu menggantung Muhyiddin daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden, dengan menyatakan bahawa beliau telah melanggar perlembagaan UMNO kerana gagal membantu presidennya, Najib, dalam menjalankan tugasnya sebagai ketua parti.
Pada Khamis, Muhyiddin berikrar bahawa beliau tidak akan keluar daripada UMNO tetapi memberi amaran yang beliau akan menentang "jenayah terhadap parti."
"Saya bersama UMNO sejak 70-an lagi. Saya tidak pernah kata saya mahu meninggalkan parti. Jadi, hari ini saya mengambil keputusan untuk kekal dan berusaha memperbetulkan parti dari dalam, "katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.
Bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir - anak kepada bekas perdana menteri itu - bersama-sama Muhyiddin semasa mengumumkan hasratnya untuk kekal sebagai ahli parti.
Mukhriz, yang terpaksa meletakkan jawatan tertinggi bagi negeri Kedah itu bulan lepas, menyalahkan UMNO pada masa itu kerana mengetuai usaha untuk menyingkirkan beliau.
Mukhriz berkata, beliau tidak mengikut jejak langkah bapanya meninggalkan UMNO, namun mereka berusaha bagi objektif yang sama.
"Saya bersama-sama dengan Muhyiddin dan kekal sebagai ahli UMNO," kata Mukhriz. "Saya mengambil keputusan untuk mengkritik dari dalam dan ini tidak bercanggah dengan usaha Mahathir.
"Pendekatan ini mungkin berbeza, tetapi prinsipnya sama – mencari dan mendedahkan kebenaran dalam menangani kejahatan dan perkara salah," kata Mukhriz.
Haireez Azeem Azizi menyumbang kepada laporan ini.