Pemimpin Pembangkang Anwar Ibrahim Dakwa Punya Majoriti Bentuk Kerajaan
2020.09.23
Kuala Lumpur, Malaysia
Pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim pada Rabu mendakwa memperolehi majoriti ‘kukuh’ di Parlimen untuk membentuk kerajaan baru, tetapi Perdana Menteri menolak tuntutan mengejutkan itu, yang hadir hanya beberapa hari menjelang pilihan raya negeri yang penting bagi pentadbiran Muhyiddin Yassin.
Anwar pada satu sidang media tergempar yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, bagaimanapun enggan mengatakan jumlah sokongan yang diterima beliau daripada 222 Anggota Parlimen sebaliknya menegaskan mempunyai majoriti kukuh sehingga Muhyiddin Yassin tidak lagi dapat menjadi perdana menteri.
"Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh," umum Anwar kepada media.
"Saya akan bertemu dengan Yang Di-Pertuan Agong ketika baginda kembali sihat dan akan memberikan lebih banyak maklumat kepada orang ramai mengenai apa yang akan terjadi seterusnya."
Istana Negara dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Anwar diundang untuk menghadiri pertemuan dengan Yang Di-Pertuan Agong pada Selasa tetapi pertemuan itu ditangguhkan kerana baginda sedang mendapatkan rawatan di Institusi Jantung Negara.
Menurut kenyataan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai.
Muhyiddin, yang pemerintahannya tidak dipilih menerusi pilihan raya telah berkuasa sejak enam bulan lalu, telah bertahan dengan majoriti tipis. Namun, semasa menolak tuntutan Anwar, Muhyiddin berkata pemerintahan yang dipimpinnya tetap teguh.
Beliau berkata Anwar perlu membuktikan dakwaannya menerusi proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembangaan Persekutuan bahawa beliau memperolehi sokongan majoriti.
“Sehingga dibuktikan sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan pendek kepada media lewat petang Rabu.
‘Bukan majoriti kecil’
Anwar mengadakan sidang media tergempar itu bersama isterinya, bekas Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, dan Saifuddin Nasution, setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan beliau.
Pemimpin pembangkang itu berkata beliau mendapat sokongan Anggota Parlimen (MP) dari beberapa parti politik selain mereka yang berada dalam gabungan lama Pakatan Harapan, yang mula berkuasa dan mentadbir Putrajaya melalui kemenangan mengejutkan semasa pilihan raya 2018 tetapi runtuh pada akhir Februari.
"Saya tidak bercakap mengenai majoriti sebanyak empat, lima atau enam sahaja... Saya maksudkan lebih banyak. Mereka ini Ahli Parlimen daripada pelbagai parti. Kita mempunyai majoriti yang kuat,kukuh dan meyakinkan. Bukan majoriti yang kecil," tambah Anwar.
Anwar memerlukan 112 kerusi untuk membentuk kerajaan. Sekutunya yang lama dalam Pakatan Harapan adalah Parti Amanah Negara dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), telah menyatakan sokongan mereka terhadap beliau sebagai perdana menteri.
Pakatan Harapan mempunyai 91 kerusi di parlimen, yang bermaksud Anwar pada masa ini masih kekurangan 21 majoriti.
Pada Jun, Muhyiddin melepasi ujian di Parlimen dengan menerima kemenangan pertama melalui majoriti tipis bagi usul yang dikemukakannya untuk menukar Speaker Dewan Rakyat. Ahli Parlimen mengundi 111-109 bagi usul menukar speaker itu dengan seorang tidak hadir manakala seorang lagi tidak mengundi.
Parti PKR Anwar adalah anggota utama Pakatan Harapan, atau gabungan yang berjaya mencatatkan kemenangan yang menakjubkan pada pilihan raya umum Mei 2018 tetapi runtuh pada Februari lepas.
Gabungan itu juga terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang diasaskan secara bersama oleh Muhyiddin dan Mahathir Mohamad. Mahathir adalah calon yang dipilih gabungan itu bagi jawatan perdana menteri.
Menjelang pilihan raya umum itu, Mahathir telah bergabung dengan Anwar, yang pernah beliau sumbatkan ke penjara atas tuduhan liwat.
Dalam perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua pemimpin itu, Mahathir bersetuju untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Anwar setelah dua tahun berkuasa – satu perjanjian yang disokong oleh pengundi sehingga membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan.
Tetapi peralihan kuasa tidak pernah terjadi dan kerajaan Mahathir tidak memikirkan mengenai siapa yang harus menggantikannya.
Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri baharu oleh Agong setelah beliau menarik diri dari Pakatan Harapan bersama beberapa lagi Ahli Parlimen n dan bersekutu dengan parti-parti yang kalah dalam pemilihan 2018.
Pada masa pelantikannya sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mengatakan beliau disokong oleh Ahli Parlimen "Perikatan Nasional" satu gabungan baharu anggota parlimen dari Bersatu, Barisan Nasional yang pernah memerintah, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan anggota parlimen dari Sarawak dan bebas.
Anggota Parlimen UMNO sokong Anwar
Sebilangan Anggota Parlimen yang mempunyai afiliasi dengan Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), rakan kongsi dalam gabungan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, mungkin cenderung menyokong Anwar, kata pemimpin parti itu pada Rabu.
"Sokongan kepada kerajaan PN [Perikatan Nasional] hanya merupakan sokongan daripada [individu] Ahli Parlimen sahaja," kata Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu yang beliau telah dimaklumkan bahawa banyak Ahli Parlimen UMNO telah menyatakan sokongan mereka terhadap Anwar dan beliau "menghormati" pendirian mereka itu.
UMNO "tidak dapat menghalang Ahli Parlimennya yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim," kata Ahmad Zahid.
Sementara itu, pihak-pihak yang bersekutu dengan kerajaan menegaskan sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan menolak tuntutan Anwar, dengan berkata langkah tersebut adalah "publisiti murahan."
“Semua parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) hari ini kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” kata parti-parti itu dalam satu kenyataan media bersama.
Tindakan terbaru Anwar itu membuktikan sikap tamak dan gila kuasa yang tidak menghiraukan mengenai kestabilan politik dan ekonomi negara, atau nasib orang-orang yang terjejas teruk oleh COVID-19," tambah kenyataan tersebut.
Terdahulu itu, sebelum sidang media oleh Anwar, Mahathir, bekas perdana menteri berusia 95 tahun, telah ditanya mengenai dakwaan oleh bekas timbalannya itu.
"Kita harus menunggu untuk melihat apakah ini adalah episod lain dari membuat dakwaan yang tidak dapat dibuktikan," katanya kepada wartawan, menurut laporan berita The Edge.
Pilihan raya Sabah
Pengumuman Anwar pada Rabu mengenai beliau mendapat sokongan majoriti datang tiga hari sebelum pilihan raya negeri di Sabah, salah satu daripada dua negeri yang terletak di Kepulauan Borneo di sebelah timur Malaysia.
Pilihan raya itu merupakan pilihan raya Dewan Undang Negeri pertama sejak Muhyiddin menguasai Putrajaya.
Minggu lalu, Muhyiddin mengatakan bahawa gabungan Perikatan Nasionalnya perlu "cepat mengadakan" pilihan raya umum sekiranya parti-parti yang berpihak kepada gabungan perikatannya di Sabah memenangi pilihan raya negeri pada 26 September ini.
"Apa yang penting dalam pemilihan Sabah adalah isyarat yang dapat kita perolehi sama ada mereka menyokong Perikatan Nasional atau mahu saya terus menjadi perdana menteri, kerana kita mahu Malaysia terus maju dan berjaya. Salah satu cara untuk berjaya adalah bersama dengan saya,” kata akhbar Straits Times Singapura memetik perdana menteri itu sebagai berkata.
Pilihan Raya Negeri itu dicetuskan oleh langkah serupa yang dibuat di peringkat Dewan Undangan Negeri Sabah apabila beberapa ahlinya yang menyokong kepimpinan parti Warisan menukar arah dengan menyokong kepimpinan seorang pemimpin pembangkang sehinggam endorong Ketua Menteri Shafie Apdal, yang bersekutu dengan Pakatan Harapan, untuk membubarkan DUN.
Bercakap kepada BeritaBenar, penganalisa politik Tunku Mohar Mokhtar, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata Anwar mungkin menggunakan pengumuman itu untuk menarik Ahli Parlimen untuk menyebelahi beliau, atau bagi memberikan kesan kepada keputusan Pilihanraya Negeri Sabah.
"Beliau mempertaruhkan reputasinya dengan tindakan berani ini,"
Hanya Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membubarkan parlimen dan baginda boleh berbuat demikian dengan nasihat dari Perdana Menteri, kata Tunku Mohar.
"Sekiranya Anwar mempunyai jumlah yang mencukupi, tetapi Agong memutuskan untuk membubarkan parlimen, maka pengumuman Anwar itu tidak membawa apa-apa makna,"
Menurut laporan berita Reuters, "Agong boleh menjadikannya perdana menteri jika baginda yakin Anwar menguasai majoriti."
Seorang lagi penganalisa memberitahu BeritaBenar pengumuman Anwar itu mungkin juga sebagai taktik dalam menambah tekanan kepada Muhyiddin untuk bersama beliau dalam gabungan Pakatan Harapan.
"Ianya adalah ketara bahawa mereka masih dalam rundingan, tetapi Anwar telah membuat pengumuman itu bagi memberi tekanan kepada Muhyiddin untuk menyertai beliau dalam satu gabungan," kata James Chin dari Universiti Tasmania.
Chin yakin perkembangan terbaru itu mungkin akan mendorong kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk memanggil supaya pilihanraya diadakan.
"Senario seterusnya bagi Muhyiddin dan Anwar adalah pilihanraya tergempar,"