Prinsip tidak campur tangan ASEAN bukan lesen tidak peduli isu Myanmar - Anwar

Keputusan secara konsensus tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mempedulikan pencabulan oleh junta Myanmar, kata Perdana Menteri Malaysia.
Muzliza Mustafa & Shailaja Neelakantan
2023.03.02
Kuala Lumpur & Washington
Prinsip tidak campur tangan ASEAN bukan lesen tidak peduli isu Myanmar - Anwar Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan selepas dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Undang-undang di University of Philippines di Quezon City, Manila, Filipina, 2 Mac 2023.
[Ted Aljibe/AFP]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Khamis membidas ASEAN susulan ketiadaan tindakan oleh blok serantau itu dalam isu Myanmar dan menegaskan bahawa prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota bukan bermakna mereka harus mengambil sikap tidak peduli.

Walaupun ASEAN mengamalkan sikap membuat keputusan secara konsensus, blok itu tidak seharusnya berdiam diri apabila berlaku pelanggaran terhadap prinsip asas demokrasi dan rasa hormat kepada hak asasi manusia serta kebebasan, katanya ketika berucap di Universiti Filipina di Metro Manila.

Anwar, yang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Filipina, turut membincangkan isu Myanmar dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr dan menyarankan agar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mencari pendekatan baharu bagi menyelesaikan krisis yang timbul susulan rampasan kuasa di negara itu.

Tentera Myanmar, yang menggulingkan kerajaan pilihan rakyat pada 1 Feb 2001, telah mengingkari konsensus mengenai usaha mengembalikan keamanan dan demokrasi yang telah dipersetujui bersama dengan negara anggota ASEAN yang lain pada bulan April tahun yang sama.

Bagaimanapun, selain melarang wakil junta Myanmar menghadiri sidang kemuncak ASEAN dan mesyuarat peringkat menteri, blok serantau itu tidak menghukum tentera Myanmar kerana mungkir janji.

Penganalisis sebelum ini berkata perkara itu berlaku kerana wujud perpecahan dalam kalangan negara ASEAN mengenai isu tersebut dengan Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura mengambil sikap menentang keras tindakan junta Myanmar manakala yang lain, terutama Thailand, memiliki pandangan berbeza.

Para pengkritik berkata dalam senario sedemikian, prinsip membuat keputusan secara konsensus telah menghalang ASEAN daripada bertindak namun menurut Anwar, ia masih tetap menjadi pegangan utama blok tersebut.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna ASEAN harus terus berdiam diri terhadap perkara yang berlaku di negara-negara anggotanya yang memberi kesan serantau, atau pelanggaran Piagam ASEAN secara teruk oleh negara anggota," kata beliau.

"Secara terus-terang, saya percaya sikap tidak campur tangan bukan satu lesen untuk tidak ambil peduli," katanya ketika berucap selepas menerima Ijazah Kedoktoran Undang-Undang daripada universiti itu.

'Punca keadilan'

Anwar turut memaklumkan wartawan di Manila pada Rabu bahawa pergolakan di Myanmar, yang menyaksikan lebih 3,000 orang terbunuh sejak rampasan kuasa berlaku, telah memberi kesan buruk kepada negaranya "kerana sejumlah besar pelarian melebihi 200,000 orang kini berada di Malaysia."

Beliau berkata isu Myanmar "tidak boleh dilihat sebagai hanya satu isu dalaman kerana ia memberikan kesan terhadap keselamatan dan kebajikan serantau."

Dalam lawatan rasmi beliau ke Thailand tahun lepas, Anwar telah membuat kenyataan berani iaitu "kita patut mengeluarkan Myanmar dahulu buat masa ini," menurut laporan media. Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut perkara itu.

Pada Khamis, Perdana Menteri Malaysia itu sekali lagi mengulangi pendirian serupa.

"Apabila saya menyatakan di Bangkok baru-baru ini mengenai keperluan untuk mengeluarkan Myanmar buat sementara waktu berdasarkan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan secara terang-terangan, kenyataan itu dibuat dalam konteks lebih besar iaitu adalah mustahak untuk kita berpegang teguh pada satu daripada cita-cita utama ASEAN dan kita tidak boleh berganjak daripada mempertahan keadilan dan prinsip perundangan," katanya.

Pada Februari lepas, Anwar turut memaklumkan rakan sejawatnya dari Thailand, Prayuth Chan-o-cha, yang mempunyai hubungan rapat dengan tentera Myanmar, bahawa Perdana Menteri Thailand itu "berada dalam posisi lebih baik untuk menyuarakan kegusaran kita mengenai isu dalaman Myanmar yang harus diselesaikan secara dalaman," menurut laporan media.

Malaysia merupakan negara anggota ASEAN paling lantang mendesak blok serantau itu supaya mencari jalan baharu dan mengambil tindakan tegas terhadap tentera Myanmar.

Sebelum Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan pada November 2022, kerajaan awam Myanmar mempunyai sekutu terkuat mereka dari Malaysia iaitu bekas Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Susulan rampasan kuasa di Myanmar, Saifuddin menjadi Menteri Luar pertama ASEAN yang mengadakan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan Negara itu serta bertemu menteri luarnya selain mendesak blok serantau itu agar melibatkan Myanmar secara aktif.

Saifuddin turut menyuarakan pandangan agar konsensus lima perkara yang dipersetujui dengan Myanmar dibatalkan.

Indonesia selaku Pengerusi ASEAN bagaimanapun masih berpegang teguh kepada konsensus lima perkara itu sebagai sesuatu yang perlu diusahakan oleh mereka.

Ketika Indonesia mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN pada Januari lepas, harapan tinggi diletakkan kepada negara itu terutama dalam mencari penyelesaian kepada krisis Myanmar.

Indonesia adalah antara negara pengasas ASEAN. Ia merupakan negara terbesar di Asia Tenggara serta negara demokrasi ketiga terbesar di dunia dan berpengalaman dari segi peralihan daripada pemerintahan diktator kepada amalan demokrasi.

Bagaimanapun, Jakarta berkata ia tidak akan menggunakan kaedah diplomasi megafon dan adalah mustahil untuk Indonesia menyelesaikan krisis Myanmar dalam tempoh ia menjadi Pengerusi ASEAN.

Sementara itu, Anwar memetik kata-kata hero Filipina Jose Rizal "Keadilan adalah sifat baik yang terulung dalam bangsa bertamadun.

"Ia menundukkan negara-negara biadab, manakala ketidakadilan pula membangkitkan yang paling lemah."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.