Belanjawan 2023: Malaysia kenakan cukai bagi golongan kaya, kekal bantu rakyat miskin
2023.02.24
Kuala Lumpur
Malaysia mahu menaikkan cukai bagi golongan berpendapatan tinggi dalam mengurangkan defisit Belanjawan negara sebagai usaha melindungi peruntukan insentif kepada golongan terjejas lebih teruk dari segi kewangan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa mengumumkan Belanjawan 2023 pada Jumaat, ketika negara itu berhadapan dengan krisis sara hidup dan kelembapan ekonomi.
Anwar, yang turut memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan, mengumumkan bahawa Malaysia akan mengenakan cukai ke atas pembelian barangan mewah seperti jam tangan Rolex, beg tangan Chanel dan seumpama dengannya, selain menaikkan kadar cukai pendapatan ke atas individu yang berpendapatan tinggi sebanyak dua peratus.
Dalam masa yang sama, kerajaan merancang untuk menambah peruntukan bantuan makanan serta tunai kepada kumpulan yang memerlukan.
"…Supaya pembahagian kekayaan tidak berlegar kepada satu kelompok penguasa dan orang kaya, maka pentadbiran ini komited menegakkan keadilan sosial.
"Kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baru untuk meluaskan asas cukai keatas mereka yang mempunyai kemampuan. Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini. Dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah.
“Jam tangan mewah, barang fesyen mewah dan segala-gala yang mewah itu patut dicukai sepatutnya,” kata Anwar semasa membentangkan Belanjawan sulungnya sebagai Perdana Menteri di Parlimen pada petang Jumaat.
Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia Madani berjumlah RM388.1 bilion (AS$87.5 bilion) adalah RM13.8 bilion lebih tinggi berbanding yang dibentangkan oleh perdana menteri terdahulu Ismail Sabri Yaakob, iaitu RM 372.3 billion sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada November lalu.
Ia memberi tumpuan terhadap 12 usaha utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial.
Pembentangan Belanjawan yang mengambil masa kira-kira dua jam oleh Anwar itu perlu melalui sesi debat di Dewan Rakyat sebelum undian dijalankan bagi mendapatkan kelulusan.
Sekiranya ia melepasi Dewan Rakyat, usul itu akan melalui proses seterusnya di Dewan Negara sebelum boleh dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja dan kemudian digazetkan.
Anwar semasa pembentangan itu berkata anggaran perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM288.8 bilion, dengan RM97.3 bilion untuk pembangunan, termasuk RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
Katanya selaras dengan perkembangan dasar fiskal, peruntukan pembangunan telah ditingkatkan, berbanding RM71.6 bilion tahun sebelumnya.
“Jumlah peruntukan pembangunan kini bernilai RM96.5 bilion iaitu satu perempat daripada jumlah Belanjawan dan menjadikan perbelanjaan pembangunan terbesar Malaysia setakat ini,”
Tambah perdana menteri itu lagi, peningkatan itu selaras dengan usaha terhadap program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awan dan kemudahan desa.
“Belanjawan ini cerminan prinsip bertanggungjawab dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tentangan semasa. Ini termasuk imbangan ekonomi global yang tidak menentu,” kata Anwar, di mana kali terakhir beliau membentangkan belanjawan 26 tahun lepas.
Perdana Menteri itu juga mengumumkan seramai 130,000 rakyat paling susah yang akan diberi bantuan dalam usaha mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan agar tiada lagi golongan miskin tegar di negara itu.
“Kerajaan akan memperuntukan sejumlah RM750 bagi melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menerusi Kementerian Ekonomi yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan mereka,”
Anwar berkata program itu menyasarkan peserta meraih pendapatan RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.
Menurut Anwar kadar inflasi negara dijangka sama seperti tahun 2022 iaitu pada 3.3 peratus dan beliau juga yakin Malaysia akan melepasi ujuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus.
Sikap waspada
Sementara itu, pakar ekonomi dan penganalisis politik berpandangan bahawa Belanjawan 2023 dibentangkan oleh Anwar itu menunjukkan sikap waspada kerajaan dalam mengimbangi keperluan untuk mengurus wang negara secara berdisiplin di samping berbelanja untuk kemudahan awam dan program kebajikan sosial.
Mereka juga berkata spekulasi bahawa kerajaan akan mengemukakan "bajet pilihan raya" bagi menghadapi pilihan raya negeri pada pertengahan tahun ini terbukti tidak benar kerana inisiatif yang diumumkan lebih berunsur bantuan sosial dan bukannya "gula-gula" untuk membeli undi.
Ahli ekonomi Lee Heng Guie berkata kerajaan terpaksa mengimbangi keperluan untuk berbelanja untuk ekonomi dan masyarakat, dan tekanan hutang yang tinggi.
"Sasaran untuk mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5 peratus daripada 5.6 peratus pada 2022 adalah baik tetapi samada kita dapat mencapainya akan bergantung kepada pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara. Itu pula akan bergantung pada situasi ekonomi global,” kata Lee, yang juga pengarah eksekutif badan pemikir Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi Malaysia.
Walaupun cukai baru akan diperkenalkan, Lee berkata ia masih belum cukup untuk memberi sumber pendapatan yang mampan.
Pakar sains politik Bridget Welsh mengulangi hujah itu dengan berkata cabaran bagi kerajaan Anwar adalah untuk meningkatkan sumber pendapatan bagi negara.
"Anwar sedar bahawa dari sudut politik, beliau tidak boleh mengemukakan belanjawan yang bersifat terlalu berjimat (austerity). Salah satu cabaran kerajaan adalah bagaimana untuk meningkatkan pendapatan negara kerana ada beberapa kekangan di sudut itu," kata Welsh dari Universiti Nottingham-Malaysia.
"Apa yang merisaukan adalah kekangan terhadap perbelanjaan untuk sektor kesihatan dan pendidikan kerana tiada tambahan pelaburan terhadap mempertingkatkan mutu perkhidmatan", tambah Welsh.
James Chin, penganalisis dari University Tasmania-Australia berkata belanjawan itu lebih bersifat "berwaspada" dan bertujuan untuk memulihkan negara yang keluar daripada pandemik COVID-19 dan bukan satu belanjawan pilihanraya, seperti yang diramalkan beberapa pihak.
"Tidak banyak perubahan yang utama. Subsidi masih diberikan kepada golongan B40 dan ada bantuan tambahan bagi petani, penoreh dan kakitangan kerajaan,” kata pakar sains politik tersebut.
Chin menambah semua golongan komuniti Melayu mendapat perhatian, manakala komuniti Cina akan memperoleh bantuan melalui pengurangan cukai dan bantuan untuk perniagaan kecil dan serdehana.
"Secara keseluruhan, ini adalah satu belanjawan yang berwaspada dan bertujuan untuk pemulihan. Ada beberapa elemen yang serupa seperti bajet pilihanraya tetapi kita tidak boleh kata ia adalah belanjawan pilihanraya,” kata beliau.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.