PM Malaysia beri tumpuan kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh semasa lawatan ke China

Pada lawatan rasmi pertama sebagai PM, Anwar Ibrahim tidak mungkin membangkitkan isu Laut China Selatan secara terbuka, kata penganalisis.
Iman Muttaqin Yusof
2023.03.28
Kuala Lumpur
PM Malaysia beri tumpuan kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh semasa lawatan ke China Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, memegang dokumen Belanjawan semasa beliau tiba di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 24 Feb, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi sulungnya ke China pada Rabu, di mana beliau akan memberi fokus kepada usaha memperkukuh hubungan dagang sepanjang kunjungan empat hari yang bertujuan merancakkan lagi pelaburan infrastruktur dan digital yang amat diperlukan oleh negaranya.

Isu pertindihan tuntutan di Laut China Selatan berkemungkinan dibangkitkan dalam sesi tertutup, menurut penganalisis yang berpendapat perbalahan sedia ada tidak mungkin dapat dirungkaikan dalam masa terdekat memandangkan ia hanya membayangi manfaat kerjasama ekonomi yang mahu dikecapi oleh kedua-dua negara berkenaan.

“Saya akan berangkat ke China pada Rabu dan kami akan mengumumkan pelaburan baharu pada Khamis atau Jumaat, yang merupakan komitmen tertinggi kerajaan. Ini bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang dan menarik pelaburan baharu,” kata Anwar semasa berucap dalam satu majlis bersama rakyat Malaysia di Kemboja di Kedutaan Malaysia di Phonm Penh pada Isnin.

Anwar berkata semua aspek yang melibatkan infrastruktur, insentif dan pendigitalan akan diperkasa bagi menjamin kelangsungan pendidikan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong memberitahu BenarNews bahawa lawatan sulung Anwar, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022, bertujuan membina asas ke arah membentuk keyakinan dua hala dan persefahaman di antara Malaysia dan China.

“Malaysia berharap untuk mengekalkan hubungan akrab dan kerjasama demi kebaikan bersama dengan China. Hubungan Malaysia-China penting kerana China adalah rakan dagang terbesar, dan China adalah pemain yang sangat penting dalam hubungan di peringkat serantau dan global,” katanya.

Anwar, dalam sidang media sulungnya selepas mengambil alih pentadbiran Putrajaya empat bulan lalu, memberi penekanan kepada pentingnya memperkukuh hubungan dengan China yang dianggapnya sebagai negara jiran utama.

Perdana Menteri Malaysia itu pada November berkata: “China adalah jiran yang penting. Tentunya, menjadi keutamaan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, perdagangan, pelaburan dan kebudayaan dengan China. Saya tidak akan membiarkan hubungan dengan China kekal sebagaimana sedia ada. Ia perlu diperkukuhkan.”

China muncul sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas, dengan dagangan dua hala mencapai rekod tertinggi AS $203.6 billion (RM901.5 billion) pada tahun lalu, menurut Collins Chong Yew Keat, penganalisis hubungan antarabangsa di Universiti Malaya.

Chong berkata Malaysia sangat memerlukan dana pelaburan dari Beijing, pelaburan dan kapasiti dalam bidang-bidang utama termasuk aset pengangkutan domestik, hartanah, domain digital, sumber serta bidang kepentingan masa hadapan termasuk rangkaian 5G, Kepintaran Buatan (AI), teknologi hijau serta ekonomi.

“Lawatan ini bakal memberi fokus yang mendalam kepada bidang-bidang tersebut dan usaha ke arah memperkasa kerjasama ekonomi, perniagaan dan kewangan yang sangat penting bagi dua negara ini tatkala kedua-dua negara bergelut untuk merancakkan pemulihan ekonomi susulan kemelesetan akibat pandemik,” katanya kepada BenarNews.

Pertindihan tuntutan wilayah maritim

Pertikaian wilayah maritim Laut China Selatan melibatkan beberapa negara yang membuat tuntutan ke atas beberapa pulau, terumbu dan perairan di kawasan tersebut, dengan China menuntut hak ke atas hampir kesemua kawasan sekali gus mencetuskan ketegangan dan persaingan latihan ketenteraan.

“Isu berkaitan pertindihan tuntutan Laut China Selatan berkemungkinan hanya dibangkitkan dalam sesi tertutup, sekiranya ada,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hubungan Antarabangsa Singapura kepada BenarNews.

Oh berpendapat Malaysia tidak berupaya untuk bertelagah secara terbuka dengan China berhubung pertikaian mengenai Laut China Selatan, sekali gus membuatkan negara itu akan cenderung untuk menangani isu berkenaan secara tertutup di samping memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi.

“Sekiranya (dibangkitkan), ia tidak akan membawa kepada penyelesaian segera malah hanya akan membayangi isu yang lebih besar iaitu memperkukuh kerjasama ekonomi,” katanya.

Pendapat Oh turut dikongsi oleh seorang lagi penganalisis yang tidak melihat kemungkinan Anwar membincangkan isu tersebut secara terbuka.

“Anwar boleh memilih untuk menyentuh mengenai isu pertikaian Laut China Selatan. Namun, persoalannya apakah beliau akan memilih untuk melakukannya secara terbuka di China,” kata Chong Ja Ian dari Universiti Kebangsaan Singapura kepada BenarNews.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin Malaysia sebelum ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam menangani sebarang isu perbalahan dengan China, dengan mengimbangi kepentingan ekonomi dan kebimbangan risiko tindak balas walaupun isu itu melibatkan aspek kedaulatan negara.

“Berdasarkan pemerhatian, pentadbiran Malaysia yang lepas menunjukkan tahap kebimbangan yang berbeza-beza berhubung pencerobohan China di kawasan perairan yang melibatkan tuntutan bertindih di antara Malaysia dan China.

“Hanya segelintir pentadbiran terdahulu yang mengambil pendekatan mencabar atau membidas pencerobohan China, berkemungkinan atas pertimbangan mahu mengekalkan hubungan yang stabil atau mengelak tindak balas.

“Jelas sekali, isu pertindihan tuntutan adalah perkara berkaitan kedaulatan di samping kepentingan ekonomi yang tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana pentadbiran pun,” kata Chong, yang menerajui jabatan sains politik di universiti itu.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.