Malaysia peroleh hampir AS$39 bilion dalam pelaburan baharu China - Anwar
2023.04.04
Kuala Lumpur

Kunjungan Anwar Ibrahim ke China minggu lepas menghasilkan pelaburan baharu hampir AS$39 bilion dengan pemimpin kedua-dua negara membincangkan langkah untuk mengurangkan kebergantungan Asia terhadap dolar AS, kata Perdana Menteri Malaysia itu pada Selasa.
Kenyataan beliau di Parlimen memberi gambaran baharu mengenai lawatan negara minggu lepas yang menyaksikan Anwar turut bersetuju membincangkan isu penerokaan minyak dan gas dalam zon ekonomi eksklusif Malaysia sejauh 200 batu nautika selepas pemimpin China meluahkan 'kebimbangan' mengenai perkara itu kepada rakan sejawatnya dari Malaysia semasa rundingan dua hala.
“Jumlah pelaburan yang diperoleh dari China ialah RM170.07 bilion, pelaburan tertinggi yang pernah dicapai Malaysia setakat ini dan berbeza daripada MOU lain,” katanya ketika menjawab soalan mengenai lawatan empat hari beliau ke China.
“Saya dan Perdana Menteri [China] Li Qiang memutuskan untuk tidak melayan sembilan cadangan lain kerana ia tidak memasukkan perancangan khusus atau jangka masa bagi pelancaran menjelang tahun ini atau sekurang-kurangnya pada akhir tahun. Cadangan yang kami diterima sedang dipantau oleh kerajaan [masing-masing].”
Daripada keseluruhan komitmen China, dianggarkan sebanyak RM80 bilion (AS$18 bilion) akan dilabur oleh Rongsheng Petrochemical China bagi kemudahan penapisan di negeri Johor yang terletak di selatan Malaysia.
Buat permulaan, Zhejiang Geely Holding Group dari China akan melabur sebanyak RM2 bilion dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga RM32 bilion sebagai sebahagian daripada kerjasama syarikat tersebut dengan pengeluar kereta Malaysia, Proton.
Bidang pelaburan berpotensi lain dalam MoU yang dimeterai termasuk teknologi hijau, ekonomi digital dan pembuatan elektronik serta peralatan elektrik.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, memaklumkan Parlimen bahawa Presiden China Xi Jinping mengalu-alukan idea beliau untuk menubuhkan Tabung Kewangan Asia (AMF) bagi mengurangkan kebergantungan rantau itu terhadap dolar AS dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“[Dengan] kekuatan ekonomi China, Jepun dan negara-negara lain, saya berpandangan kita harus membincangkan perkara ini … sekurang-kurangnya mempertimbang penubuhan Tabung Kewangan Asia dan kedua, penggunaan mata wang negara masing-masing,” katanya.
"Tiada sebab negara seperti Malaysia perlu terus bergantung kepada dolar AS kerana semasa rundingan di antara Malaysia dan Indonesia, kita boleh menggunakan mata wang ringgit dan juga rupiah.”
"Bank pusat [Malaysia] kini berusaha membolehkan negara berunding mengenai isu import dan eksport [dengan China] menggunakan mata wang ringgit dan renminbi.”
'Petronas akan teruskan'
Anwar pada Selasa turut menjelaskan kenyataannya sehari sebelum itu ketika beliau menyatakan Malaysia telah memaklumkan China bahawa ia terbuka kepada rundingan mengenai isu pertikaian di Laut China Selatan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata pertikaian di kawasan perairan itu timbul apabila China membangkitkan isu berkaitan kerja-kerja di luar pesisir yang dilakukan oleh syarikat petrokimia negara iaitu Petronas.
"China bimbang kerana Petronas menjalankan aktiviti berskala besar di kawasan perairan yang turut dituntut oleh negara itu," kata Anwar di Parlimen.
"Saya telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Li Qiang serta Presiden Xi Jinping, dan menjelaskan bahawa Malaysia menganggap kawasan itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya justeru, Petronas akan meneruskan kerja-kerja penggalian di sana."
Anwar juga berkata bagaimanapun, sekiranya China berpendapat ia mempunyai hak ke atas kawasan itu, kedua-dua negara boleh berbincang dan merundingkan perkara itu namun pada masa yang sama, Malaysia tetap akan meneruskan kerja-kerja penggalian.
Anwar tidak menyatakan secara khusus projek yang dirujuk walaupun projek Kasawari di luar pesisir Sarawak dan tenggara Luconia Shoals menyaksikan pelbagai aktiviti dijalankan kerana ia dijadual memulakan operasi tahun ini, menurut sebuah badan pemikir di Washington.
Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Washington telah menyatakan bahawa kapal Pengawal Pantai China CCG 5901 tiba di Luconia Shoals pada 17 Feb dan sehingga Khamis lepas masih berada di kawasan itu.
Anwar berkata Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.
"Mengenai kehadiran kapal China [di perairan Malaysia], China menjelaskan bahawa ia berada di perairan antarabangsa tetapi Kementerian Luar akan terus memantau dan jika berlaku sebarang perlanggaran, kami akan memfailkan bantahan," katanya.
Jurucakap Kementerian Luar China turut ditanya mengenai perkara itu ketika taklimat harian.
“China komited dalam menjaga serta melindungi hak dan kepentingan kami yang sah di Laut China Selatan. Pada masa yang sama, kami sedia menjalin kerjasama dengan pihak Malaysia dan terus menangani pertikaian maritim dengan betul melalui dialog serta rundingan,” kata Mao Ning.
Sementara itu, agensi berita Malaysia Bernama memetik sebahagian wawancara Anwar dengan sebuah syarikat media China yang melaporkan beliau sebagai berkata isu Laut China Selatan tidak sepatutnya "menimbulkan perbalahan" dan dialog dengan negara Asia Tenggara lain yang turut mengemukakan tuntutan sepatutnya mampu menyelesaikan pertikaian itu.
"Saya telah menyatakan bahawa kita mempunyai potensi bagi memperoleh hasil minyak dan gas di kawasan itu dan kita perlu terus meneroka kawasan itu tetapi China mahu membincangkannya, jadi kita berbincang," kata Anwar.
“Saya percaya tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu. Apabila kita menganggap satu sama lain sebagai rakan maka kita akan terus berdialog. Masalah ini bukan tidak boleh diatasi.”