PM Malaysia bertemu pemimpin Hamas di Qatar meskipun AS zahirkan kebimbangan
2024.05.14
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa menegaskan bahawa beliau tidak akan mengikut telunjuk negara lain dalam isu pertemuannya dengan pemimpin tertinggi Hamas di Qatar, beberapa hari selepas pegawai perbendaharaan Amerika melawat Malaysia bagi membincangkan kebimbangan mengenai kemungkinan kumpulan militan Palestin menjalankan aktiviti mengumpul dana di sana.
Pertemuan perdana menteri itu dengan pemimpin Hamas semasa lawatan beliau ke Qatar menunjukkan bahawa keutamaan dasar luar kerajaannya tidak akan berubah walaupun terdapat lawatan berprofil tinggi oleh pegawai Barat dan sekutu Israel yang menyatakan bahawa mereka mahu memotong sumber tunai kepada kumpulan militan yang disokong oleh Tehran, kata penganalisis serantau.
“Anda tidak perlu memberitahu saya siapa yang patut atau tidak patut saya temui," kata Anwar pada sesi soal jawab yang diadakan oleh Bloomberg News mengenai sama ada pertemuan itu akan mengecewakan Washington kerana ia berlaku selang beberapa hari selepas Jabatan Perbendaharaan AS menghantar para pegawainya ke Malaysia bagi membincangkan dakwaan wujud pembiayaan keganasan dari negara itu.
Seperti Malaysia, jirannya iaitu Indonesia yang mempunyai penduduk majoriti Islam juga menyokong perjuangan Palestin dan pemerhati berkata usaha diplomatik Washington di rantau Asia Pasifik itu mungkin terjejas kerana Amerika Syarikat kekal sebagai penyokong tegar Israel – terutama dalam konflik terkini dengan Hamas di Gaza.
Anwar bertemu pemimpin tertinggi kumpulan militan Palestin itu, Ismail Haniyeh, di Qatar semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara berkenaan, menurut PM itu pada Selasa di Facebook sambil menambah di sebuah forum bahawa Washington tidak mempunyai bukti Iran telah menggunakan perairan Malaysia untuk menjual minyaknya - yang dikenakan sekatan oleh AS - bagi mengumpul dana untuk Hamas.
“Mengapa saya berjumpa dengan Ismail Haniyeh dan [mantan pengerusi Hamas] Khaled Mashal …[Ia] adalah untuk memahami daripada mereka mengenai perkembangan terkini [di Gaza]…[untuk] menyatakan simpati saya terutama mengenai pembunuhan kanak-kanak dan meminta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku,” kata Anwar pada Selasa di Forum Ekonomi Qatar, merujuk kepada insiden ribuan kanak-kanak Palestin yang terbunuh dalam serangan oleh Israel.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di Forum Ekonomi Qatar di Doha, 14 Mei 2024. [Karim Jaafar/AFP]
Malaysia secara konsisten menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin dan Anwar telah mengecam Israel atas serangan udara dan daratnya yang telah membunuh lebih 34,000 rakyat Palestin di Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Okt yang mengorbankan kira-kira 1,100 penduduk negara Yahudi itu.
Sejak 7 Okt tahun lepas, Anwar juga secara konsisten menolak tekanan AS untuk melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas dengan mengatakan bahawa kerajaannya tidak akan tunduk kepada sebarang paksaan.
Menteri Dalam Negeri Malaysia pada minggu lepas juga secara lembut namun tegas memaklumkan pegawai Perbendaharaan AS yang melawat bahawa negara itu tidak akan tunduk kepada sekatan yang dikenakan oleh negara atau pihak lain ke atas Iran kecuali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Brian Nelson, Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS untuk keganasan dan risikan kewangan, memberitahu sumber berita Malaysia iaitu Malaysiakini bahawa minggu lepas, terdapat peningkatan dalam dana yang mengalir ke Iran dan proksinya – termasuk Hamas – melalui sistem kewangan Malaysia. Beliau berkata AS berusaha menghalang Malaysia daripada menjadi kawasan di mana Hamas boleh mengumpul dan memindahkan dana.
Pada Disember, Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas empat syarikat berpangkalan di Malaysia yang didakwa membantu pengeluaran dron Iran. Washington menuduh Iran membekalkan dron kepada pihak yang dilabel sebagai proksi pengganas di Timur Tengah, dan kepada Rusia untuk digunakan di Ukraine.
Nelson memberitahu Malaysiakini kaedah utama yang digunakan oleh Iran untuk mengumpul wang ialah melalui penjualan minyak kepada pembeli di Asia Timur, lapor agensi berita Associated Press.
“Kebanyakan penghantaran ini merentasi perairan sekitar Malaysia dan dimuatkan ke atas kapal yang diragui kesahihannya yang mungkin berpotensi menimbulkan risiko terhadap alam sekitar dan keselamatan yang besar,” katanya kepada media tempatan.
Di Qatar, Anwar berkata AS membuat dakwaan itu tanpa bukti.
"Tiada secebis pun bukti yang mereka kemukakan," katanya pada sesi soal jawab.
Beliau berkata AS berhak "menuntut atau meminta penjelasan" dan hubungan Malaysia-AS kekal utuh.
"Kami sememangnya mempunyai pendapat yang berbeza mengenai beberapa dasar, percanggahan dan kemunafikan namun secara keseluruhan, kami masih berkawan," katanya merujuk kepada Washington.
Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri) berbual dengan Brian Nelson (kanan), Setiausaha Rendah Jabatan Perbendaharaan AS bagi keganasan dan risikan kewangan sebelum mengadakan mesyuarat rasmi di Putrajaya, 9 Mei 2024. [Facebook/Saifuddin Nasution Ismail ]
Sementara itu, penganalisis politik serantau berkata pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas adalah bertujuan untuk meyakinkan komitmen Malaysia terhadap keamanan di wilayah-wilayah Palestin.
“Malaysia hanya konsisten dengan pendirian yang sudah sekian lama berhubung isu Palestin – menyokong penyelesaian dua negara, menghantar bantuan kemanusiaan dan cuba memainkan peranan sebagai pengantara. Ia bukan sesuatu yang spontan, ia sudah wujud selama beberapa dekad,” kata Julia Roknifard dari Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Nottingham kepada BenarNews.
“Jadi daripada melihat ia sebagai provokasi yang disengajakan, saya lebih suka melihat ia sebagai pendirian Malaysia yang konsisten dalam dasar luar.”
Selain itu, Malaysia mengutamakan langkah melindungi kepentingan negaranya serta kekal teguh dalam dasar luar dan pada masa yang sama enggan tunduk terhadap tekanan AS, kata Tunku Mohar Mokhtar, penolong profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Malaysia tidak akan sesekali membenarkan ia dibuli oleh AS. Pada masa yang sama, ia turut memahami kepentingan memiliki hubungan yang kukuh dan mesra dengan AS,” katanya kepada BenarNews.
“Saya berpandangan bahawa Malaysia boleh menawarkan sokongan kepada peranan kepimpinan AS di Asia Tenggara dan Asia Pasifik yang lebih besar dan ini begitu bernilai kepada AS.”