Malaysia, Indonesia masih berunding isu pertindihan sempadan maritim - PM Anwar

Anwar jelaskan perjanjian penyelesaian dicapai minggu lalu tidak termasuk tuntutan bertindih di Sulawesi Selatan dan Pulau Sebatik.
Iman Muttaqin Yusof
2023.06.13
Kuala Lumpur
Malaysia, Indonesia masih berunding isu pertindihan sempadan maritim - PM Anwar Presiden Indonesia Joko Widodo (kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim selepas menandatangani buku pelawat di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, 8 Jun, 2023.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Malaysia dan Indonesia masih belum mencapai persetujuan penuh berhubung pertikaian sempadan maritim, termasuk Laut Sulawesi, walaupun telah menandatangani beberapa perjanjian penyelesaian minggu lalu, demikian menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa, sambil menjelaskan isu-isu yang rumit memerlukan perbincangan lanjut.

Kedua-dua negara berjiran itu telah terjebak dalam pertikaian yang berlanjutan selama 18 tahun, khususnya melibatkan tuntutan bertindih di Laut Sulawesi dan perairan di kepulauan Borneo, yang terbahagi di antara dua negara berkenaan dan Brunei.

Semasa lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia minggu lalu, satu kenyataan bersama oleh kedua-dua negara Asia Tenggara itu mengumumkan pemeterian enam perjanjian, termasuk dua persempadanan semula wilayah negara masing-masing di Selat Melaka dan Laut Sulawesi.

Biarpun perjanjian-perjanjian tersebut dilihat sebagai kejayaan selepas rundingan hampir dua dekad, beberapa bahagian pertikaian maritim yang berlanjutan sekian lama itu masih belum dimuktamadkan, jelas Anwar pada sesi soal-jawab dalam Parlimen Malaysia.

“Perlu diperjelaskan terdapat kawasan-kawasan yang masih lagi dalam rundingan, termasuk Pulau Sebatik dan Sulawesi Selatan, [yang] tidak termasuk dalam perjanjian ini disebabkan kita masih perlu memanggil wakil dari [negeri] Sabah untuk berunding. Justeru, kedua-dua [sempadan] masih belum dimuktamadkan disebabkan perkara kecil yang masih belum diselesaikan,” ujar beliau.

Anwar berkata beliau telah menjelaskan kepada Joko – atau lebih popular dikenali sebagai Jokowi – yang Malaysia berpendirian tegas berhubung tuntutan wilayahnya.

“Presiden Jokowi, menurut padangan pakar-pakar beliau, mendakwa sempadan tersebut milik Indonesia; oleh itu kita telah tangguhkan dan akan meneruskan rundingan,” jelas beliau lagi.

Menurut Anwar perjanjian itu tidak termasuk sempadan-sempadan di sepanjang Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan negeri Johor, iaitu sebuah kawasan pemindahan kargo dari kapal-ke-kapal.

Pertikaian maritim adalah signifikan kepada kedua-dua buah negara berikutan risiko kesan ke atas ekonomi, termasuk hak tangkapan ikan, eksplorasi gas dan minyak, serta keselamatan maritim.

Anwar berkata demikian apabila menjawab soalan di Parlimen dari penggubal undang-undang blok pembangkang Takiyuddin Hassan, yang mempersoalkan apakah kedaulatan negara telah dikorbankan dengan menandatangani perjanjian-perjanjian penyelesaian tersebut.

Perdana Menteri menafikan kerajaan telah mengetepikan pandangan pakar dalam memeterai perjanjian tersebut. Jelasnya, beliau telah mendapatkan pandangan dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar, Jabatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan, serta Peguam Negara.

“Isu kedaulatan negara tidak sama sekali dikompromi,” ujar Anwar, sambil menegaskan beliau tidak mahu ianya menjejaskan hubungan dua hala.

“Saya akan terus menganggap Indonesia sebagai sebuah negara sahabat… Bagaimanapun kita tidak akan mengorbankan walau seinci wilayah Malaysia,” katanya lagi.

230613-MY-Jokowi-Inside.jpeg

Presiden Indonesia Joko Widodo, tengah, bersama Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa melawat pasar basah tempatan di Kuala Lumpur, Malaysia, Khamis, 8 Jun, 2023. [AP]

Dalam satu kenyataan bersama minggu lalu, Jokowi berkata beliau mengalu-alukan “rundingan penyelesaian sempadan-sempadan laut di Laut Sulawesi dan bahagian selatan Selat Melaka selepas rundingan selama 18 tahun.”

Bagaimanapun, para penganalisis berpandangan perjanjian-perjanjian tersebut hanya merangkumi kawasan-kawasan yang tidak terlibat dalam pertikaian. Manakala, beberapa kawasan melibatkan tuntutan bertindih yang paling sensitif telah dikecualikan.

“Dalam hal ini, perbezaan masih kekal berhubung wilayah-wilayah yang dipertikaikan dan kedua-dua buah negara tetap menegaskan hak dan tuntutan ke atas bahagian tertentu di kawasan-kawasan berkenaan, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas,” kata Collins Chong Yew Keat, pemerhati hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya, kepada BenarNews.

“Pertikaian-pertikaian ini akan dibawa ke sesi rundingan dan perbincangan, namun momentum positif dari perjanjian melibatkan kawasan-kawasan yang tidak berlaku pertindihan akan menjadi asas yang lebih baik dalam rundingan.

Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Malaysia tidak memberi maklumbalas kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perjanjian-perjanjian tersebut.

Teuku Faizasyah, jurucakap Kementerian Hal-Ehwal Luar Indonesia, berkata perjanjian-perjanjian yang dimeterai minggu lepas melibatkan sempadan maritim di bahagian selatan Selat Melaka dan di Laut Sulawesi.

“Selepas ini, kedua-dua negara masih perlu meneruskan rundingan berhubung sempadan-sempadan melibatkan zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua,” ujarnya, sambil menambah soal sempadan memerlukan “tempoh yang lama untuk diselesaikan.”

Kawasan yang paling sensitif dalam rundingan adalah melibatkan wilayah di mana konglomerat-konglomerat dari kedua-dua negara mempunyai kepentingan, seperti kerja eksplorasi dan pembinaan pelantar, demikian menurut Azmi Hassan, pakar geopolitik dari Akademi Kajian Strategik Nusantara.

Menurut penyelidik bersekutu di Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Mohd Hazmi Mohd Rusli, Malaysia perlu menandatangani perjanjian komprehensif dengan Indonesia.

“Apa yang dilakukan oleh Anwar adalah petanda yang baik,” katanya kepada BenarNews.

“Kita memerlukan sebuah perjanjian yang menerangkan dengan jelas garisan persempadanan semula maritim. Sebagai contoh perjanjian yang kita meterai dengan Singapura pada tahun 1995.”

Minggu lalu, Anwar dan Jokowi berkata rundingan sempadan maritim melibatkan isu-isu yang belum dimuktamadkan, akan diteruskan dalam masa terdekat.

Tria Dianti di Jakarta dan Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.