Pakatan Harapan Tidak Akan Persulitkan Pentadbiran Ismail Sabri, kata Anwar Ibrahim
2021.08.25
Kuala Lumpur
Dalam kenyataan kali pertama sejak peralihan kerajaan dan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memberi jaminan yang Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan tidak akan “mempersulitkan” undi percaya semasa sidang Dewan Rakyat September ini, sekiranya Ismail Sabri melaksanakan langkah-langkah “pro-rakyat” dalam menangani pandemik COVID-19.
Sementara itu, Ismail yang juga Naib Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada petang Selasa telah menziarahi Ahmad Zahid Hamidi yang terlantar di hospital selepas menjalani prosedur intervensi bagi sakit tulang belakang akibat terjatuh, yang sekaligus membuatkan Presiden parti itu gagal menghadiri prosiding mahkamah melibatkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Anwar menyifatkan pertemuan atas jemputan Ismail Sabri, di Pejabat Perdana Menteri yang berlangsung selama lebih satu jam pada Rabu itu, adalah satu “permulaan yang baik” ke arah usaha “menenteramkan dan mengurangkan suhu politik” menjelang sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada 6 September.
“Kita anggap [pertemuan] ini permulaan baik untuk kemukakan pandangan berkenaan menangani pemasalahan COVID-19 yang lebih berkesan, [antaranya] program pro-rakyat yang lebih menyentuh permasalahan golongan miskin, dan hilang pekerjaan. Itu yang kita telah tekankan sebagai yang asas
"Untuk tenteramkan dan mengurangkan suhu politik, itu kita setuju. Kita kemukakan isu ini supaya menjadi tekanan dan keutamaan kepada Perdana Menteri yang baharu ini.
“Kalau program pro-rakyat, program menangani COVID-19 ini lebih berkesan, maka kita tidak ada masalah untuk kita menjamin supaya keadaan (ketegangan politik) itu lebih terkawal.
“Kita beritahu dalam suasana begini dan program-program (yang dibuat) itu agak pro-rakyat kita tidak akan mempersulitkan (undi percaya)," jawab Anwar kepada media di luar Pejabat Perdana Menteri, apabila ditanya mengenai pendirian Pakatan Harapan mengenai undi percaya terhadap Ismail Sabri di Parlimen bulan hadapan.
Anwar juga berkata jemputan Ismail Sabri untuk pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara sebelum ini, tidak dibincangkan dalam pertemuan tersebut, begitu juga dengan soal jawatan dalam jemaah kabinet.
"Tidak berbangkit, saya pun tidak (berminat), saya tidak mahu itu dijadikan isu. Daripada awal kita nyatakan, kita tidak datang untuk meminta jawatan. Isu kita khusus soal ekonomi rakyat dan COVID-19," tambah Anwar lagi.
Selain Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), turut hadir semasa pertemuan itu adalah Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
Menurut Anwar, mereka turut menyentuh tentang isu ekonomi termasuk moratorium pinjaman dan kesan parah pandemik COVID-19 serta yang menuntut kepada pendekatan baru bagi menangani isu berkenaan.
Kurang ketegangan politik
Minggu lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar perdana menteri baharu yang akan dilantik turut melibatkan kerjasama pembangkang bagi mengurangkan ketegangan politik yang berlanjutan yang berakhir dengan perletakan jawatan Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin Yassin.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati serta berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik serta memberi fokus kepada usaha membela nasib rakyat yang terhimpit akibat pandemik COVID-19 dan agenda pemulihan ekonomi.
Perdana Menteri dalam kenyataan media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang berkenaan telah memaklumkan mengenai persetujuan yang telah dicapai dalam mencari titik persamaan terbaik untuk menangani penularan COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara, selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah.
“Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
“Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan itu.
Langkah reformasi
Mengulas mengenai pertemuan Ismail Sabri dan pimpinan Pakatan, para penganalis politik berpandangan gencatan politik itu akan bertahan selagi mana Perdana Menteri baharu mampu membuktikan kemampuan menangani pandemik COVID-19 dengan lebih baik dan menunjukkan komitmen ke arah langkah reformasi yang diperjuangkan oleh pembangkang.
Abdul Latiff Mohd Ibrahim berkata sebab utama Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan bersetuju untuk tidak menyulitkan kedudukan Ismail Sabri adalah kerana keadaan pandemik COVID-19 yang semakin parah dan desakan rakyat supaya perbahalan politik dihentikan segera.
“Sebab yang kedua adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang, Pakatan Harapan perlu mengekalkan imejnya sebagai reformis dan jika Perdana Menteri baharu melaksanakan semua langkah reformasi tersebut, ia adalah sesuatu yang baik bagi PH dan semestinya PM juga akan mendapat kredit kerana bersikap terbuka,” ujar professor madya yang telah bersara itu.
Rabi’ah Aminudin, pensyarah bidang sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersetuju dengan pandangan itu dan berkata Ismail Sabri mungkin telah mengambil iktibar daripada pentadbiran sebelum ini yang telah menolak desakan rakyat dan badan-badan bukan kerajaan supaya menambahbaik urus tadbir kerajaan.
“Saya berpandangan yang pertemuan (dengan pemimpin Pakatan) bukan sahaja bertujuan meraih sokongan pihak pembangkang tetapi juga untuk memenangi keyakinan rakyat selain memperkukuhkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri yang baharu,” ujarnya kepada BenarNews.
Perdana Menteri Malaysia yang baharu dilantik Ismail Sabri Yaakob menziarahi Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang terlantak di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, 24 Ogos, 2021. [Ihsan Asyraf Wajdi melalui Facebook]
Mahkamah keluar sepina
Dalam pada itu, pada Selasa kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid yang berdepan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi telah ditangguhkan apabila beliau dikatakan perlu menjalani prosedur operasi akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya selepas terjatuh.
Hakim Collin Lawrence Sequerah semasa prosiding bagi hujahan lisan terhadap kes yang melibatkan pemimpin tertinggi UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu telah dimaklumkan oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid bahawa anak guamnya tidak hadir kerana perlu menjalani rawatan intervensi sakit.
Katanya, Ahmad Zahid mengalami kecederaan selepas terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama.
"Beliau sudah berada di bawah jagaan pihak hospital sejak Ahad lalu. Ahmad Zahid akan menjalani prosedur itu di Hospital Avicenna Shah Alam," katanya seperti dilaporakan media tempatan Malaysia.
Hakim Suquerah kemudiannya meminta pihak pembelaan untuk memanggil doktor berkenaan bagi memberi penjelasan berhubung keadaan Ahmad Zahid.
Bagaimanapun, Hisyam memaklumkan doktor itu tidak dapat hadir pada prosiding berkenaan memandangkan beliau mempunyai tugasan.
Sequerah kemudian mengeluarkan sepina terhadap Dr Mohd Shahir Anuar untuk hadir ke mahkamah pada Rabu.
Menurut agensi berita nasional Malaysia – Bernama, Dr Mohd Shahir memberitahu Hakim Sequerah yang Ahmad Zahid ‘mungkin’ boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya pada 6 September ini, di mana mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh berkenaan untuk mendengar hujahan lisan tersebut.