Anwar mungkir janji mansuhkan undang-undang menyekat rakyat, tamatkan rasuah di Malaysia - Aktivis

Kerajaannya sebaliknya menggunakan undang-undang itu untuk menyekat kebebasan bersuara dan menutup mulut pengkritik pentadbiran, kata mereka.
Iman Muttaqin Yusof
2023.09.06
Kuala Lumpur
Anwar mungkir janji mansuhkan undang-undang menyekat rakyat, tamatkan rasuah di Malaysia - Aktivis Anwar Ibrahim (tengah) dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, melambai semasa sidang media di Kajang, Malaysia, selepas Anwar dilantik sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia, 24 Nov. 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kumpulan masyarakat sivil dan aktivis hak asasi Malaysia mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memungkiri janji-janjinya untuk menghapuskan rasuah serta menyemak dan memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat.

Kerajaan Anwar sebaliknya menggunakan beberapa undang-undang itu untuk mengekang kritikan terhadap pentadbirannya atau meredakan elemen konservatif, kata mereka.

Dan, perdana menteri yang menyandang tampuk kuasa pada 10 bulan lalu itu juga membanteras rasuah secara selektif, dakwa pengkritiknya sambil membangkitkan mengenai tindakan pendakwa raya pada minggu ini menggugurkan berpuluh-puluh pertuduhan rasuah terhadap seorang ketua parti yang menyokong kerajaan persekutuan Anwar.

Undang-undang yang Anwar janjikan untuk dikaji semula atau dimansuhkan ialah Akta Hasutan yang diwujudkan pada era penjajah, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tahun lepas, Pakatan Harapan pimpinan Anwar telah berkempen dengan membawa agenda progresif dan reformasi pada pilihan raya umum, oleh itu "tindakan regresif" kerajaannya sememangnya mengecewakan, kata Josef Benedict dari CIVICUS Asia Pasifik iaitu gabungan pertubuhan masyarakat sivil.

“Lebih membimbangkan ialah kerajaan sebaliknya menggunakan beberapa undang-undang ini untuk menyiasat aktivis dan pengkritik serta menyekat laman web dan blog berita,” katanya kepada BenarNews.

Bulan lalu, penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri menyerbu sebuah kedai buku di Kuala Lumpur milik Amir Hamzah Akal Ali, seorang penulis yang menggunakan nama pena Benz Ali.

Dengan menyatakan tindakan itu diambil mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, penguat kuasa kementerian itu merampas dua buku bertajuk “Marx Sang Pendidik Revolusioner” (“Karl Marx, The Revolutionary as Educator”) dan “Koleksi Puisi Masturbasi” (“Himpunan Puisi Melancap”).

Buku berkenaan tidak diharamkan di Malaysia.

Menurut penerangan di GoodReads, buku mengenai Karl Marx itu berkisar kepada ahli falsafah politik Jerman itu sebagai seorang pemikir radikal dan pendidikan.

Buku puisi yang dikarang oleh Benz Ali pula adalah koleksi puisi kerohanian, politik dan cinta dengan tajuknya bertujuan mempersendakan perbincangan intelektual yang tidak memberi kesan kepada perubahan, katanya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan rampasan itu dengan berkata ia dibuat berdasarkan "aduan awam."

Benz Ali berkata tindakan sedemikian adalah bertentangan sama sekali dengan pembaharuan yang dijanjikan oleh Anwar.

“Kini jelaslah bahawa ahli politik tidak bersedia untuk mengetepikan atau memansuhkan sepenuhnya akta zalim ini. Ia juga bercanggah dengan retorik Anwar Ibrahim,” katanya kepada BenarNews.

MY-pic-2 (4).jpg

Penguat kuasa KDN merampas dua naskhah buku dari sebuah kedai buku milik Amir Hamzah Akal Ali di Kedah, Malaysia, 18 Ogos 2023. [Ihsan Amir Hamzah Akal Ali]

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan memberikan Menteri Dalam Negeri "budi bicara mutlak" untuk melarang pencetakan, penjualan atau pengedaran mana-mana penerbitan "yang dalam apa-apa cara memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.”

Saifuddin pada April berkata kerajaan tidak bercadang untuk membatalkan undang-undang itu kerana ia kekal "penting untuk memelihara keamanan awam."

Akta itu digunakan untuk menyekat hak kebebasan bersuara dan maklumat, menurut Article 19 iaitu kumpulan yang memperjuangkan isu-isu ini serta aktivis hak asasi yang lain.

Kerajaan menggunakan akta yang sama untuk merampas jam tangan keluaran syarikat Switzerland, Swatch, yang mempunyai tema LGBTQ+ sebelum menyatakan bahawa pemilikan jam tangan itu membolehkan hukuman dikenakan sehingga tiga tahun penjara.

Pentadbiran Anwar juga mengharamkan dua buku kanak-kanak kerana didakwa mempromosikan "gaya hidup LGBTQ" dan sebuah novel kerana didakwa "memudaratkan moral rakyat Malaysia."

Sementara itu, seorang ahli politik pembangkang telah didakwa mengikut peruntukan Akta Hasutan pada Julai lalu.

Akta itu mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga AS $1,100 atau kedua-duanya. Ia melarang ucapan yang disifatkan sebagai menghina kerabat diraja Malaysia atau mencetuskan ketegangan kaum atau agama.

Selepas ahli politik Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa dengan Akta Hasutan pada Julai lalu, mereka yang liberal dan konservatif membidas kerajaan kerana menyekat kebebasan bersuara.

Para peguam dan aktivis hak asasi telah mengkritik akta itu kerana skopnya terlalu luas dan tidak mempunyai definisi yang jelas bagi perkataan seperti "kebencian", "tidak puas hati" atau "penghinaan." Oleh itu, undang-undang sudah terlalu lama dan mudah disalahgunakan, kata mereka.

Anwar pula mempertahankan penggunaan Akta Hasutan terhadap Sanusi, yang didakwanya telah menghina Sultan Selangor.

“Kita mengelak penggunaan Akta Hasutan, tetapi apabila melibatkan perkara mengenai kedudukan dan martabat raja-raja, ini adalah sesuatu yang kita harus pelihara dan elak daripada menjadi wacana politik yang tidak sihat,” kata Anwar pada Julai ketika pemberita bertanya kepadanya tentang isu tersebut.

MY-pic-3 (2).jpg

Seorang pekerja gerai surat khabar menyusun akhbar-akhbar yang memaparkan berita pelantikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di sebuah gerai di Semenyih, Selangor, Malaysia, 25 Nov. 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Begitu juga, Akta Komunikasi dan Multimedia yang melarang penggunaan laman web untuk "kandungan yang menyinggung" atau "mengancam" termasuklah satu bahagian yang samar-samar tanpa definisi yang betul, kata pengkritik.

Kesalahan mengikut akta ini boleh dikenakan denda sehingga AS$10,760, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, dengan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan atau membatalkan lesen penerbit. Pengkritik berkata akta ini digunakan untuk menyasarkan pihak media.

Undang-undang itu digunakan baru-baru ini untuk menyekat sementara dua laman web berita, manakala satu lagi laman web berita yang disekat masih belum boleh diakses.

Berikutan sekatan ini, sekumpulan wartawan veteran dan pemerhati media mendakwa badan pengawal selia internet Malaysia telah bertindak keterlaluan dengan menapis kandungan yang dianggap sensitif atau kritikal terhadap kerajaan.

Badan pengawal selia itu mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa tugasnya adalah untuk memastikan tiada siapa yang menyebarkan berita palsu atau kandungan yang berniat jahat.

Anwar jelas tidak mengotakan kata-katanya, kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia di Human Rights Watch.

"PM Anwar secara sinisnya mengikut jalan yang dicirikan sebagai 'lihat apa yang saya katakan, bukan apa yang saya lakukan' kerana kerajaannya menggunakan undang-undang menindas hak yang sama," katanya kepada BenarNews.

Undang-undang itu, kata Robertson, telah digunakan kerajaan-kerajaan terdahulu untuk mendapatkan keupayaan menyekat wacana politik dan mendiamkan lawan politik mereka.

Antirasuah

Anwar dan Pakatan Harapan pimpinannya juga menentang rasuah, dan berjaya menggunakan agenda itu dalam pilihan raya umum 2018 yang mencatat sejarah untuk menggulingkan gabungan parti yang memerintah Malaysia selama hampir 60 tahun.

Tetapi, sejak beliau menjadi perdana menteri pada November lalu, pengkritik berkata kempen antirasuah Anwar telah menyasarkan ahli politik pembangkang.

Dan, dengan pendakwa raya menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin, ramai pemerhati membangkitkan tentang campur tangan politik dalam badan kehakiman.

MY-PIC-4 (1).jpg

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) diiringi para penyokongnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskannya daripada 47 pertuduhan rasuah terhadapnya, 4 Sept 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Ia bukan tentang adanya campur tangan politik kerana naratif itu kini berada dalam domain awam dan boleh menjejaskan Anwar, kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Saya rasa optik itu jelas tidak bagus. Ia membolehkan pembangkang melipatgandakan naratif bahawa [kerajaan Anwar] tidak serius untuk memerangi rasuah,” katanya kepada BenarNews.

Tindakan itu "sangat menjejaskan kredibiliti, akauntabiliti politik dan menghalang usaha antirasuah kerajaan kerana mereka yang membantunya dalam mendapatkan kuasa dilihat akan dilepaskan," kata Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia.

“Ia akan memberi kesan kepada sokongan awam terhadap Anwar, tetapi kerajaannya bergantung kepada sokongan Ahli Parlimen yang masih kekal bersamanya pada masa ini,” katanya kepada BenarNews.

Bagi pihaknya, Anwar menafikan bahawa beliau campur tangan dalam kes Ahmad Zahid dan berkata peguam negara yang mengendalikan kes itu. Semasa menjawab kritikan, Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa hakim telah menerima alasan pendakwaan untuk menggugurkan pertuduhan sebagai "kukuh."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.