PM Anwar arah siasatan lanjut projek perolehan LCS

Siasatan lanjut diperlukan bagi mengesan salahlaku berkaitan projek bernilai RM9 bilion itu, kata Perdana Menteri.
Iskandar Zulkarnain & Ili Shazwani Ihsan
2023.03.14
Kuala Lumpur
PM Anwar arah siasatan lanjut projek perolehan LCS Orang ramai membuat protes berkaitan skandal projek pembinaan enam kapal tempur pesisir di hadapan sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur, 14 Ogos, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim pada Selasa mengarahkan siasatan lanjutan ke atas projek perolehan kapal tempur bernilai berbilion-bilion ringgit yang tergendala begitu lama, sambil menegaskan siasatan awal dijalankan sebelum ini tidak cukup menyeluruh.

Dalam kenyataan pertamanya berhubung kontroversi itu sejak dilantik sebagai PM ke-10, Anwar, yang sebelum ini mendesak supaya projek itu dihentikan semasa menjadi Ketua Pembangkang, bertegas skandal rasuah yang berlaku jauh lebih besar berbanding dengan apa yang telah dibongkarkan.

Laporan siasatan kerajaan yang sebelum ini telah dinyah rahsia pada Ogos tahun lalu, mendedahkan kemungkinan salahlaku dalam kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 billion) yang dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) secara rundingan terus, yang telah gagal disiapkan walaupun sebuah daripada enam buah Kapal Tempur Persisir (LCS) berkenaan lapan tahun selepas perjanjian perolehan itu dimeterai.

“Arahan saya termasuk LCS dan saya di antara orang yang mengatakan pendakwaan di peringkat awal LCS walaupun diakui ada pendakwaan, tapi saya setuju ianya tidak cukup kerana skandal itu skala besar, ketirisan berlaku dan mesti ada tindakan susulan.

“Jawapan yang diberi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), peringkat kedua itu mereka akan teruskan tapi bukan urusan saya untuk mendalaminya dan bertanya selebih itu nanti kalau saya buat begitu akan ada lagi pertuduhan pendakwaan terpilih.

“Namun saya tegaskan siasatan perlu diteruskan termasuk LCS kerana saya rasa tindakan yang sebelum ini tidak cukup membongkar dan bertindak kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dan siasatan itu diteruskan,” ujarnya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional.

Pada 16 Ogos tahun lalu, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek kapal LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta(AS$4.68 juta).

Tertuduh yang juga pengarah urusan BNS mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan curang meluluskan jumlah bayaran berkenaan kepada tiga syarikat berasingan tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah di antara Julai 2010 hingga November 2011.

PAC dedah kepincangan

Pada Ogos 2022 Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kepincangan serius dalam kontrak perolehan pertahanan bagi Tentera Laut, termasuk pembayaran sebanyak RM6.038 bilion (AS$1.33 bilion) kepada BNS biarpun syarikat gagal menyiapkan walaupun sebuah kapal LCS yang ditempah kerajaan.

Menurut laporan PAC yang dianggotai oleh Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik, kapal-kapal LCS sepatutnya mula diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia mulai April 2019 namun kemajuan pembinaan kapal yang pertama setakat laporan PAC berkenaan hanyalah 44 peratus.

Ia turut mendedahkan projek berkenaan telah mengalami lebihan kos sebenar berbanding anggaran berjumlah RM1.4 bilion (AS$312 juta) selain pembayaran melebihi kerja sebenar manakala 15 peratus atau RM255 juta (AS$56.8 juta) dari inventori bernilai RM1.7 bilion (AS$379 juta) telah usang.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dilaporkan sebagai berkata kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut, menyebabkan kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion (AS$303 juta) - bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.

Susulan pendedahan PAC, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang pada ketika itu menggesa supaya kerajaan menghentikan projek pembinaan kapal LCS fasa enam yang menelan belanja RM571 juta (AS$127 juta) sehingga skandal itu diselesaikan.

Modal politik

Pembangkang sebelum ini mempertikaikan sama ada siasatan ke atas skandal LCS yang berlaku sewaktu pentadbiran Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO ketika itu, susulan keputusan pentadbiran Anwar untuk meneruskan projek tersebut.

Pada 5 Januari lalu, Menteri Pertahanan Mohammad Hassan mengumumkan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek LCS sebagai sebahagian daripada agenda meningkatkan kemampuan pertahanan negara serta tentera laut.

Pada 30 Januari, BenarNews melaporkan Panglima TLDM Laksamana Abdul Rahman Ayob mengesahkan perubahan jumlah kapal LCS kepada hanya lima buah, tanpa menyatakan sebab atau menjelaskan sama ada nilai kontrak itu akan disemak semula.

Muhammad Izmer Yusof, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis berkata tindakan pembangkang mempolitikkan skandal projek LCS sememangnya dijangka.

“Pendekatan kepada isu ini dilihat lebih kepada sudut politik sebab sejak Mac 2020 sehingga pilihan raya umum ke-15 November lalu, ia digunakan sebagai perang persepsi di kalangan parti-parti politik ke atas UMNO.

“Namun, selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional, isu yang sama diketengahkan, dan pastinya dalam keadaan ini, Anwar tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama semasa dia menjadi ketua pembangkang.

“Pada masa sama, apa sahaja pandangan buruk mengenai UMNO mesti dijauhkan kerana UMNO kini adalah komponen paling penting kepada kerajaan persekutuan,” ujarnya kepada BenarNews.

Beliau berkata isu asas adalah keselamatan negara kerana TLDM memerlukan kapal LCS bagi memodenkan sistem pertahanan maritim negara.

“Pembangkang memainkan semula isu ini bagi memberi tekanan kepada kepimpinan Anwar dengan menggunakan mengaitkan pertuduhan rasuah ke atas timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekiranya momentum sokongan kepada Perikatan Nasional berterusan menjelang pilihan raya di enam negeri disebalik pendakwaan rasuah kepada mantan perdana menteri Muhyiddin Yassin, Anwar akan berada dalam situasi yang sukar,” jelasnya.

Mohamad Faisol Keling, penganalisis dari Pusat Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia berkongsi pandangan yang isu LCS telah menjadi modal dan polemik politik berbanding isu pertahanan negara.

“Kerajaan dan rakyat seharusnya meletakkan isu keselamatan negara sebagai keutamaan kerana ia tidak boleh dikompromi.

“Apa akan jadi sekiranya timbul ancaman kepada keselamatan negara seperti yang berlaku di Lahad Datu, Sabah sebelum ini?”

“Dari bersetuju dengan pandangan Menteri Pertahanan bahawa objektif utama ketika ini adalah untuk memastikan projek kapal LCS disiapkan,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.