Polis Geledah Kediaman Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak
2018.05.16
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, dan empat lagi lokasi untuk mencari bukti pengubahan wang haram, kata peguamnya pada awal Khamis (waktu tempatan), selepas seharian menyaksikan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara setelah menerima pengampunan diraja.
Pihak berkuasa mengesahkan tindakan penggeledahan itu, tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut, dengan Perdana Menteri baru, Mahathir Mohamad, nampaknya pantas dalam mengotakan janjinya untuk menyiasat dakwaan bahawa berbilion dolar diselewengkan dari dana negara, 1MDB.
"Mereka memeriksa setiap bilik. Itulah sebabnya mereka mengambil masa yang lama, "kata peguam Najib, Harpal Singh Gerwal, kepada pemberita, yang merujuk kepada tindakan menggeledah selama enam jam di kediaman persendirian Najib.
"Kami percaya ia adalah mengikut akta pengubahan wang haram tetapi mereka tidak menemui apa-apa," kata Harpal sambil memberitahu bahawa Najib dan keluarganya memberi kerjasama kepada pihak polis.
Tiada dokumen yang dirampas, tetapi polis mengambil beberapa barangan termasuk beg tangan dan hadiah, katanya.
Amar Singh Ishar Singh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia, mengesahkan serbuan polis di kediaman Najib kepada Astro Awani, sebuah rangkaian televisyen Malaysia.
Saksi memberitahu bahawa lebih daripada 10 kereta dan trak pikap polis diletakkan di luar kediaman Najib kira-kira 10.15 malam, sejurus selepas Najib pulang dari menunaikan solat di masjid.
Penggeledahan polis itu dilakukan beberapa jam selepas Mahathir memberitahu sidang berita mengenai siasatan berterusan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibelenggui skandal, dengan Najib didakwa mempunyai kaitan dengannya.
"Nyata sekali terdapat lebih banyak salah laku berbanding apa yang diketahui oleh orang ramai, begitu juga dengan saya," kata Mahathir sebelum ini.
Anwar dibebaskan
Sementara itu, pada hari pertama beliau memperoleh kebebasan baru, pemimpin reformasi Malaysia, Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak terburu-buru menjadi perdana menteri, sejam selepas beliau menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong dan dibebaskan daripada penjara.
Anwar, bekas timbalan perdana menteri yang berusia 70 tahun, telah dibebaskan daripada tahanan polis tujuh hari selepas pakatan pembangkang yang turut diterajuinya, mencipta kemenangan besar yang membawa kepada kejatuhan politik Najib.
"Saya akan terus dimaklumkan tetapi saya tidak perlu berkhidmat dalam kabinet buat masa ini," kata Anwar kepada pemberita selepas bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Dengan memakai sut hitam dan bertali leher, Anwar tersenyum sambil memberi isyarat bagus dan melambaikan tangan kepada berpuluh-puluh penyokongnya yang melaungkan "Reformasi" (pembaharuan) - gerakan yang dilancarkan dua dekad lalu - ketika beliau melangkah keluar dari sebuah hospital di Kuala Lumpur di mana beliau menjalani rawatan pemulihan berbulan-bulan lamanya susulan pembedahan pada bahunya, semasa menjalani hukuman penjara kedua bagi sabitan liwat.
Anwar dibebaskan pada Rabu selepas menjalani hukuman lebih tiga tahun daripada tempoh lima tahun yang dikenakan. Kemudian, beliau menaiki sebuah kereta dan menuju ke Istana Negara, di mana beliau disambut oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad sebelum menghadap Seri Paduka.
Anwar dijangka menggantikan Mahathir sebaik sahaja pemimpin utama berusia 92 tahun itu meletakkan jawatan. Mahathir telah berjanji pada kempen pilihan raya umum bahawa beliau akan menyerahkan kuasanya kepada Anwar.
Tetapi, catatan dalam media sosial dan ulasan akhbar pula membangkitkan persoalan tentang bagaimana Anwar akan bekerja dengan Mahathir, yang pernah menjadi sekutu politiknya sebelum menjadi seterunya, dan kemudian menjadi sekutu kembali.
"Saya telah memaafkan beliau," kata Anwar pada sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur, selepas pulang dari istana.
Beliau mengakui bahawa Mahathir telah memudahkan pembebasannya dengan mendapatkan pengampunan diraja. "Saya dan Dr Mahathir sudah lama kebumikan permusuhan kami, sejak lama dahulu," katanya.
Mahathir, yang juga pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun bermula pada 1981, telah menunjukkan komitmennya terhadap gerakan reformis, kata Anwar. "Mengapa saya harus menunjukkan rasa benci terhadap beliau?" katanya.
Selepas sidang beritanya, Anwar menghadiri perhimpunan yang dihadiri oleh ribuan penyokongnya yang gembira dengan pembebasan beliau.
"Cukuplah dengan rasuah. Cukuplah dengan ugutan. Sudah-sudahlah," laung ikon politik yang baru dibebaskan itu menerusi mikrofon. "Kita telah memasuki era baru untuk Malaysia."
Ahli politik Malaysia, Anwar Ibrahim, melambai kepada para penyokongnya sejurus tiba di kediamannya selepas menerima pengampunan diraja di Kuala Lumpur, 16 Mei 2018. [S.Mahfuz / BeritaBenar]
Sabitan lalu terhapus
Sivarasa Rasiah, seorang peguam yang mewakili Anwar, memberitahu pemberita bahawa pengampunan penuh diraja bermakna semua sabitan lalu bekas pemimpin pembangkang itu dipadamkan daripada rekod.
"Beliau bukan sahaja bebas dari segi fizikal, tetapi juga bebas untuk mengambil bahagian dalam politik negara seolah-olah sabitan lampau tidak wujud," kata Sivarasa.
Anwar telah menghabiskan lapan tahun daripada 20 tahun yang lalu dalam penjara atas apa yang didakwa oleh penyokongnya sebagai pertuduhan liwat yang bermotifkan politik.
Tetapi, prospek untuk Anwar segera mengambil alih jawatan perdana menteri nampaknya menimbulkan keraguan pada Rabu, sehari selepas Mahathir memberitahu Wall Street Journal bahawa beliau berhasrat untuk terus menjadi pemimpin negara selama "satu atau dua tahun ini".
Dalam pilihan raya umum 9 Mei, pakatan pembangkang yang dianggotai empat parti Pakatan Harapan (PH) menumbangkan gabungan parti paling dominan negara dengan memperoleh 113 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Anwar memberitahu pemberita selepas pembebasannya bahawa pembangkang menang besar "kerana adanya perbuatan yang mempersenda keadilan."
"Kami merayu kerana dengan jelasnya berlaku konspirasi untuk mengecam saya dan membunuh politik saya," katanya.
Anwar, yang merupakan timbalan Mahathir ketika beliau dipecat daripada jawatannya pada 1998 atas tuduhan rasuah dan salah laku seksual, mengucapkan terima kasih kepada bekas ketuanya itu di atas bantuan dalam mendapatkan pengampunan dan pembebasannya.
Anwar berkata beliau dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, telah menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Mahathir tidak lama lagi, mungkin pada Khamis bagi menyampaikan rasa terima kasih mereka.
"Apa yang paling penting ialah kita perlu melihat ke hadapan. Kita mempunyai tanggungjawab untuk membawa negara maju ke hadapan, "katanya. "Kita perlu teruskan hidup."
Mahathir, dalam satu sidang berita berasingan selepas pembebasan Anwar, memberi jawapan kepada soalan-soalan tentang peranan masa depan bekas protégé politiknya dalam kerajaan baru.
"Peranannya adalah dalam parti. Beliau adalah ketua bagi satu parti dalam Pakatan Harapan, "kata Mahathir, merujuk kepada Anwar.
Sambil menjelaskan bahawa pakatan pembangkang terdiri daripada empat rakan kongsi yang sama rata, Mahathir juga mengambil kredit bagi pembebasan Anwar dari penjara.
"Dulu, saya dikatakan memasukkan Anwar dalam penjara," kata Mahathir. "Sekarang, saya bebaskan beliau."
Mahathir juga berkata, beliau akan bertemu dengan pemimpin tertinggi PH untuk membincangkan tentang Anwar. "Jika ada perubahan pada kedudukan Anwar, ia akan diputuskan oleh majlis berkenaan," katanya.
Mahathir mengejutkan negara pada Februari 2016 apabila beliau meninggalkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti utama dalam gabungan Barisan Nasional yang menguasai politik Malaysia sejak kemerdekaan dari Britain pada 1957. Beliau kemudian bergabung dengan bekas musuhnya, Anwar, yang pernah dihantarnya ke penjara atas pertuduhan meliwat.
'Antara hadiah paling manis'
Kesalahan meliwat membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun di Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Tanpa pengampunan mutlak daripada raja, Anwar tidak layak untuk bertanding bagi mendapatkan jawatan selama lima tahun selepas dibebaskan.
Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri Mahathir pada 2 Sept 1998, di tengah-tengah laporan bahawa beliau sedang disiasat polis. Beliau dijatuhi hukuman enam tahun penjara kerana rasuah pada April 1999 dan sembilan tahun penjara kerana meliwat pada Ogos 2000. Beliau dibebaskan empat tahun kemudian selepas mahkamah tertinggi negara itu menolak sabitan liwatnya, tetapi mengekalkan sabitan rasuah.
Anwar menjadi tokoh perjuangan pembangkang selepas beliau mengalami mata lebam semasa berada dalam tahanan polis pada September 1988, sejurus selepas beliau ditahan kerana didakwa mengetuai protes anti-kerajaan. Gambarnya dengan mata lebam sebelah tangannya dijulang telah menjadi simbol politik pembangkang dalam banyak poster.
Halangan terbaru bagi Anwar untuk kembali berkuasa berpunca daripada sabitan liwat kedua. Beliau dibebaskan daripada pertuduhan itu pada 2012, tetapi mahkamah rayuan membatalkan keputusan berkenaan dua tahun kemudian dan memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara lima tahun.
Ketika keputusan bersejarah pilihan raya diumumkan minggu lalu, Anwar sedang ditahan sebagai banduan di Hospital Rehabilitasi Cheras di ibu negara Malaysia, setelah mengalami kecederaan bahu ketika dibawa dengan van penjara.
Isteri Anwar, Wan Azizah, menemaninya di hospital itu. Wan Azizah telah dinamakan sebagai timbalan perdana menteri baru Malaysia.
Pada Selasa, anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, memberitahu pemberita bahawa beliau yakin dengan kemungkinan bapaya dapat melaksanakan ibadah Ramadan, bulan paling suci bagi umat Islam, bersama-sama keluarganya.
"Ini adalah antara hadiah yang paling manis bagi kami sebagai sebuah keluarga," katanya.
Pada hari yang sama, Wan Azizah memberitahu pemberita bahawa PH tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan pilihan raya khas dalam masa terdekat bagi membolehkan Anwar menjadi anggota parlimen, satu langkah yang perlu dibuat sebelum beliau boleh menjadi perdana menteri.
"Anwar akan menyumbang tetapi bukan sebagai sebahagian daripada kerajaan," katanya pada satu majlis bagi meraikan pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri wanita pertama negara itu. Beliau meminta para penyokongnya supaya memberi Mahathir masa yang cukup untuk membentuk kabinetnya.
Pada sidang beritanya itu, Anwar turut menyuarakan perkara yang sama.
"Saya memberitahu Tun Mahathir bahawa adalah lebih baik baginya dan Wan Azizah untuk meneruskannya bersama. Berilah masa kepada saya dan keluarga, "kata Anwar. "Saya fikir saya memerlukan masa dan ruang dan saya fikir, beliau menyambut baik keputusan itu."
Mengetepikan saingan hebat
Pengarah Eksekutif Human Rights Watch, Phil Robertson, dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada BeritaBenar, mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak melupakan ketidakadilan yang dialami Anwar semasa menjalani "hukuman yang lama bagi jenayah yang tidak sepatutnya dianggap sebagai jenayah."
"Tidak menghairankan kini sudah ada penyelesaian politik itu, dalam bentuk kerajaan baru yang memberikan kebebasannya, untuk kes beliau di mana bekas Perdana Menteri Najib tanpa segan silu telah mempolitikkannya dari awal lagi demi mengetepikan saingan politik yang hebat ini," kata Robertson.
Ahli-ahli parlimen serantau juga menyambut baik pembebasan Anwar, dengan menyatakan harapan bahawa langkah itu menandakan komitmen Mahathir untuk memperbaharui dan menangani masalah hak asasi manusia di Malaysia.
"Pembebasan Anwar adalah satu langkah betul bagi hak asasi manusia dan demokrasi di Malaysia, serta rantau ASEAN secara keseluruhannya," kata Teddy Baguilat, ahli lembaga Ahli Parlimen Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (APHR).
Perdana Menteri Mahathir Mohamad sedang membaca nota semasa sidang berita di Putrajaya, Malaysia, 16 Mei 2018. [AP]
Ahli UMNO menyertai PH
Sementara itu, Mahathir pada Rabu mengesahkan bahawa ramai ahli UMNO mahu menyertai Pakatan.
"Tetapi, kita mendapati orang ramai tidak boleh menerima perkara itu," katanya pada sidang berita. "Oleh itu, mereka tidak akan diterima."
Mereka boleh meninggalkan parti lama mereka dan bersumpah setia kepada kerajaan baru atas kapasiti peribadi mereka, tetapi mereka tidak akan menjadi anggota pentadbiran negara, kata Mahathir.
"Kami tidak mahu kerajaan baru dilihat sama seperti kerajaan lama, jadi keanggotaan mereka tidak akan diterima," katanya.
Mahathir berjanji bahawa kerajaannya akan memulangkan berbilion dolar wang yang dicuri dari 1MDB, yang kini terdapat di negara asing termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Luxembourg.
"Najib tidak menyatakan yang wang itu adalah dari Malaysia," kata Mahathir. "Kami ingin memberitahu bahawa wang ini adalah milik Malaysia dan kami mahu mendapatkannya semula."
Najib, yang telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia, kehilangan kuasanya selepas parti pimpinannya ditewaskan pembangkang pada pilihan raya umum. Pembangkang menuntut supaya siasatan dilakukan terhabap pengubahan wang haram antarabangsa yang dikaitkan dengan berbilion dollar yang didakwa diselewengkan dari 1MDB, yang diasaskan Najib pada 2009.
Washington cuba mendapatkan lebih daripada $ 1.7 bilion hartanah dan aset lain yang didakwa dicuri daripada 1MDB. Dokumen mahkamah mendakwa bahawa kira-kira AS$681 juta daripada dana tersebut dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib, tetapi Najib secara konsisten menafikan tuduhan itu.
"Kita akan membuat laporan polis dan sebaik sahaja kita sampai ke tahap di mana kita boleh membuat tangkapan, kita akan lakukan tangkapan," kata Mahathir pada Rabu, tanpa mengulas lanjut.