Anwar: Saya tidak pernah beri jaminan bebaskan pihak berdepan kes mahkamah

Perkara itu didedahkan Perdana Menteri semasa sesi pertemuan bersama ulama.
Fitri Hazim & Iman Muttaqin Yusof
2022.12.12
Putrajaya
Anwar: Saya tidak pernah beri jaminan bebaskan pihak berdepan kes mahkamah Perdana Menteri Anwar Ibrahim (berbaju Melayu) bersalam dengan para jemputan Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Putrajaya, 11 Disember, 2022.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau tidak pernah memberi jaminan untuk membebaskan mana-mana pihak yang mempunyai kes mahkamah susulan langkahnya melantik Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan dengan 47 pertuduhan kes rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau.

Menurut Anwar, individu terbabit hanya boleh dilepaskan melalui keputusan penghakiman yang adil dan saksama sambil menegaskan bahawa janji pilihan raya blok Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya tetap mahukan negara bebas dari rasuah.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk Anwar disokong oleh Barisan Nasional (BN), iaitu gabungan parti yang dipimpin Ahmad Zahid setelah keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baharu berlangsung bulan lalu gagal mengumpulkan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Kerajaan pimpinan Anwar turut disokong oleh gabungan blok dari Sabah dan Sarawak.

“Saya tidak pernah memberi jaminan kepada sesiapa untuk lepas dari hukuman melainkan telah diputuskan oleh hakim mahkamah yang bebas dan adil.

“Kalau saya mahu kompromi dalam soal ini, saya sudah menjadi perdana menteri sejak dari dahulu lagi,” kata Anwar ketika berucap semasa Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Komplek Seri Perdana di Putrajaya pada Ahad.

Ahmad Zahid yang merupakan presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan juga Pengerusi BN menjadi watak penting membawa ikon ketua pembangkang yang telah berjuang selama lebih dua dekad untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Anwar dalam ucapan 40 minit itu turut menegaskan bahawa beliau juga tidak akan berkompromi jika mendapat tahu mana-mana individu yang telah dipilih menganggotai Kabinetnya terpalit atau terlibat dengan jenayah rasuah dengan tindakan serta merta akan diambil keatas mereka yang terlibat.

“Saya sudah bercakap dengan semua parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan kalau wujudnya kes rasuah dalam pemerintahan saya, saya minta mereka ini dipecat serta-merta.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan jenayah rasuah dalam pentadbiran saya.. Ini ketegasan saya dan bukan soal politik,” tambahnya lagi.

Anwar juga memberi jaminan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan memastikan semua institusi dan badan kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara akan memberi perkhidmatan dengan integriti serta tiada mana-mana individu akan terlepas dari sebarang hukuman oleh mahkamah setelah melalui perbicaraan yang adil dan tegas.

“Penekanan saya dalam pentadbiran adalah kebebasan dan profesionalisme badan-badan kerajaan. Saya sendiri sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Peguam Negara dan lain-lain institusi.

“Melalui pertemuan ini, mereka memberi komitmen yang sama semua institusi dan agensi kerajaan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan saya akan memberi perkhidmatan yang penuh integriti semasa menjalankan tugas,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar dalam ucapannya turut mengingatkan ahli politik bahawa arena politik bukannya platform untuk mengaut kekayaan, bersikap angkuh serta mempamerkan kehebatan disebabkan kuasa yang ada serta memberi kekayaan kepada ahli keluarga di kalangan orang politik.

Justeru, Anwar turut mengakui disebabkan sistem dan budaya sebegini yang telah diamalkan oleh pemimpin politik telah menghakis kepercayaan rakyat pada masa ini, disebabkan akhlak dan kewibawaan pemimpin mereka.

Anwar juga mendakwa cabaran utama dihadapi beliau setelah diberi mandat selaku perdana menteri pada masa kini adalah memimpin negara yang telah mencapai paras hutang pada kadar RM1 trillion dan atas dasar itu beliau menekankan keperluan mengurus ekonomi negara dan perbelanjaan wang awan di buat dengan tata kelola dan urus yang baik.

“Saya diberi mandat (perdana menteri) dalam keadaan hutang negara mencecah RM1 trilion (AS$226 bilion). Kerajaan kini harus teliti untuk mengenalpasti kebocoran dan ketirisan yang ada bagi setiap agensinya dan ini adalah kenyataan, dan bukan saya bawa fitnah,” kata Anwar.

Reda kebimbangan

Pada PRU15 lalu, Anwar yang memimpin gabungan PH telah memenangi sejumlah 82 kerusi iaitu yang terbanyak dan tertinggi dalam komposisi Parlimen, namun tidak cukup untuk membentuk kerajaan yang memerlukan majoriti mudah sebanyak 112 kerusi.

PH bagaimanapun telah mencapai kata sepakat bersama seteru mereka Barisan Nasional yang meraih 30 kerusi dan turut menyertai pembentukan kerajaan itu ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 23 kerusi lagi atas cadangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada 2 Disember lalu, Anwar mengumumkan barisan Kabinetnya selepas lapan hari dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan mengambil langkah mengejutkan ramai pihak apabila melantik Ahmad Zahid yang terpalit dengan pertuduhan atas kes rasuah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), dalam satu kenyataan sehari selepas itu menyatakan kekecewaan apabila Anwar melantik Zahid memegang dua jawatan penting dalam kabinet dan melanggar prinsip kerana pemimpin BN itu masih berdepan dengan kes rasuah.

"Walaupun kami memahami politik disebalik pelantikan ini, ianya mengecewakan kerana telah membelakangkan prinsip.

"Oleh itu, kedua-dua pelantikan jawatan yang dipersoalkan ini mengancam usaha dan komitmen Anwar untuk melawan korupsi," kata kenyataan itu.

Oh Ei Sun, penganalisis politik yang juga merupakan Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penjelasan Anwar mungkin boleh meredakan sedikit kebimbingan penyokong PH yang masih berpegang kepada idea bahawa semua ahli politik yang korup harus dipenjarakan.

“Ia boleh menolong meredakan persepsi sedikit sahaja. Tetapi ada juga yang sedar bahawa dari segi realiti politik, jika kluster mahkamah UMNO didakwa, ia bermakna kerajaan baharu akan dibentuk oleh gabungan parti yang langsung tidak mahukan perubahan,” katanya kepada BenarNews.

Menurut Azmil Mohd Tayeb, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia cuma hanya ada satu cara sahaja untuk menyakinkan penyokong Kerajaan Perpaduan iaitu dengan membiarkan keadilan berjalan tanpa sebarang gangguan dan hakim bebas untuk menjalankan tugas tanpa takut dan berat sebelah.

“Itu sahaja yang beliau boleh lakukan,” tambah Azmil.

Timbalan Perdana Menteri Zahid kini berdepan 47 pertuduhan kes rasuah yang membabitkan penyelewengan wang berjumlah RM52 juta dari sebuah yayasan yang ditubuhkan keluarganya untuk membantu orang susah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.