Parti-parti dalam kerajaan meterai perjanjian sebelum undi percaya di Parlimen
2022.12.16
Kuala Lumpur
Parti-parti yang menyokong Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memeterai perjanjian persefahaman kerjasama pada Jumaat bagi memastikan kerajaan yang stabil, beberapa hari sebelum undi percaya di Parlimen, umum beliau.
Perjanjian itu dimeterai bagi memastikan kestabilan politik, kata Anwar yang menerajui Kerajaan Perpaduan susulan keputusan pilihan raya umum Malaysia pada bulan lepas menyaksikan blok politik pimpinan beliau memenangi kerusi terbanyak namun bukan majoriti.
“Ini akan membolehkan Kerajaan Perpaduan menangani sebarang isu di Parlimen dan seterusnya dengan satu suara.... Tumpuan kami adalah kepada tadbir urus yang baik dan menerajui pertumbuhan ekonomi yang lebih meyakinkan,” kata Anwar pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia.
“Saya terlibat dengan pemimpin parti dan berbesar hati dengan kepercayaan serta dedikasi mereka. Walaupun dalam siri rundingan, ia tidak begitu sukar. Kami bersetuju dengan parameter dan dasar yang luas, termasuk memastikan kerajaan adalah stabil.”
Perjanjian itu dimeterai oleh semua parti dan blok yang menyokong beliau serta merupakan sebahagian daripada kerajaan yang diterajui Anwar iaitu Pakatan Harapan pimpinan Anwar, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.
Menurut perjanjian itu, semua Ahli Parlimen parti yang menandatanganinya mesti menyokong Anwar dalam undi percaya yang dijanjikan beliau diadakan pada sesi pertama Parlimen selepas kerajaan berkuasa, yang bermula Isnin ini.
Perjanjian itu akan menjamin sokongan 148 daripada 222 Ahli Parlimen kepada Anwar, lebih daripada mencukupi untuk memenangi undi percaya.
Bagaimanapun, undang-undang antilompat parti yang diluluskan tahun ini bagi melarang Ahli Parlimen bertukar parti ketika ia sesuai dengan kehendak mereka tidak menghalang keseluruhan parti atau gabungan politik daripada berpaling tadah.
Anwar ialah Perdana Menteri keempat sejak 2020. Dua kerajaan sebelum ini tumbang selepas kehilangan sokongan majoriti.
Pilihan raya umum pada 19 Nov lepas menyaksikan situasi Parlimen tergantung dengan gabungan pimpinan Anwar menguasai 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin, yang memenangi 73 kerusi. Kedua-dua blok tidak memiliki majoriti mudah 111 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dan pada masa sama, gabungan serta parti politik lain bimbang untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak.
Susulan kebuntuan selama empat hari, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengambil langkah menamakan Anwar sebagai pemimpin Kerajaan Perpaduan baharu Malaysia selepas mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 24 Nov.
Selepas baginda melantik Anwar sebagai PM, pencabar beliau bagi jawatan itu, Muhyiddin telah mendesak Anwar untuk membuktikan sokongan terhadapnya di Parlimen.
Bagaimanapun, para penganalisis politik berkata perjanjian itu sama sekali tidak menjamin kestabilan.
James Chin, profesor di Universiti Tasmania, berkata perjanjian itu bukanlah satu dokumen yang boleh dikuatkuasakan.
"Jika mana-mana pihak melanggar perjanjian itu, ia tidak mungkin boleh dibawa ke mahkamah atas alasan mereka melanggar perjanjian," katanya kepada BenarNews.
Parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan memeterai perjanjian menyokong PM sebelum undi percaya
“Jika mana-mana pihak dalam kerajaan semasa ingin keluar, mereka tidak akan dianggap melanggar mana-mana undang-undang, mereka hanya melanggar perjanjian itu.”
Chin berkata perjanjian itu "adalah sekadar janji parti-parti politik bahawa mereka akan bekerjasama."
Oh Ei Sun, dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, pula berkata perjanjian itu "hanya dokumen untuk penjelasan berkaitan jangkaan."
“Ia sekadar memberikan aura formaliti kepada Kerajaan Perpaduan dan bukan yang lain – lebih-lebih lagi kestabilan,” katanya kepada BenarNews.