Perdana Menteri nafi campur tangan dalam siasatan SPRM
2023.02.02
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia pada Khamis menafikan bahawa beliau campur tangan dalam siasatan rasuah oleh pihak berkuasa terhadap parti pembangkang Bersatu, dengan memaklumkan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat selepas mendapati akaun parti berkenaan mempunyai sejumlah besar dana yang tidak dapat dijelaskan puncanya.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mendakwa Anwar Ibrahim cuba merosakkan kredibiliti parti apabila mengarahkan siasatan terhadap parti tersebut dengan berkata tindakan SPRM membekukan dua akaun banknya akan menjejaskan persiapan Bersatu menghadapi enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Anwar pada Khamis turut meminta Bersatu memberi penjelasan kepada pihak berkuasa negara itu mengenai sumber wang lebih RM300 juta (AS $70.7 juta) dalam akaun parti itu.
"Yang berlaku ada dua hal. Ada laporan yang dibuat pada pihak polis dan SPRM tentang penggunaan wang oleh parti Bersatu.
“Kedua, semasa saya menjalankan tugas di Kementerian Kewangan, saya melihat projek-projek melibatkan perbelanjaan terlalu tinggi tanpa proses tender," kata perdana menteri pada sidang media yang diadakan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.
Menurut Anwar, agensi pihak berkuasa bebas menjalankan siasatan mereka sendiri, tetapi mengingatkan bahawa mereka perlu bersikap proaktif dan efisyen serta di minta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat laporan dan kes.
"SPRM melakukan siasatan rapi terhadap akaun parti yang didapati mencecah lebih RM300 juta, jadi seharusnya pimpinan parti (Bersatu) perlu menjelaskan sekiranya mereka benar bersih seperti mana yang diceritakan.
"Kita tidak mengulangi sikap menekan seperti yang dilakukan pentadbiran dahulu dan tidak menggunakan badan-badan ini (SPRM dan polis)," tambah Anwar.
Bunuh kredibiliti PN
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, yang juga Ketua Pembangkang berkata, parti itu akan memberikan kerjasama dalam siasatan SPRM supaya fitnah terhadap Bersatu dapat dihentikan dengan segera.
Kata Hamzah, parti itu berasa kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Anwar dengan rakan sekutunya Barisan Nasional menggunakan SPRM sebagai alat mencapai matlamat politik untuk membunuh kredibiliti Perikatan Nasional, iaitu gabungan politik yang dipimpin oleh Bersatu.
Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada tengahari Khamis memberitahu kerajaan supaya tidak menggunakan siasatan SPRM untuk melumpuhkan jentera Bersatu dan PN dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
"Bersatu perlukan dana kempen untuk pilihan raya negeri yang akan berlangsung di enam negeri, jangan pembekuan akaun Bersatu ini jadi motif sebenar untuk melumpuhkan jentera Bersatu dan PN dalam pilihan raya negeri yang akan datang," kata bekas perdana menteri itu kepada media di Kuala Lumpur, di mana parti-parti komponen PN sedang mengadakan program.
"Kami sebagai pertubuhan politik tiada duit untuk membayar gaji pentadbiran bukan untuk sebulan tetapi sepanjang masa. Kalau kata untuk tiga bulan, susah pegawai saya tiada gaji untuk menguruskan pejabat dan sebagainya. Ia memberi kesan pada kelicinan pengurusan parti untuk berkhidmat pada negara," tambahnya.
Muhyiddin juga berkata bahawa Bersatu ingin memohon supaya SPRM membatalkan pembekuan dua akaun bank parti itu, kerana beliau yakin Bersatu mempunyai rekod kewangan yang teratur.
"Semua wang adalah dari sumber yang sah. Bersatu akan hantar surat hari ini kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu ini dapat dibatalkan," kata beliau.
Muhyiddin kemudiannya menambah dengan berkata, parti itu telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan berharap agensi itu akan dapat membatalkan pembekuan akaun sekiranya tiada kesalahan dan penyelewengan ditemui dalam siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Rabu telah mengesahkan bahawa agensi itu bertindak membekukan akaun-akaun bank milik Bersatu sebagai sebahagian daripada siasatan agensi rasuah itu.
“Siasatan terhadap Bersatu itu dilakukan di bawah Akta SPRM serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram,” kata Azam kepada BenarNews semalam.
Media tempatan melaporkan bahawa akaun-akaun terlibat telah dibekukan kira-kira dua minggu lalu, dan siasatan masih di peringkat awal.
Pada 6 Disember lalu, Azam Baki berkata SPRM telah membuka siasatan terhadap dakwaan bahawa sejumlah RM600 bilion (AS$142 bilion) dana telah diselewengkan oleh pentadbiran terdahulu ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 antara tahun 2020 dan 2022.
Tempoh tersebut adalah semasa Muhyiddin Yassin memegang tampuk pemerintahan negara selama 18 bulan, di mana PN mengetuai kerajaan.
Tidak lama selepas Anwar mengambil alih pemerintahan negara, perdana menteri itu berkata "puluhan bilion ringgit" daripada dana COVID-19 yang dibelanjakan ketika era Muhyiddin telah dibuat tanpa mengikut prosedur yang betul.
Impak signifikan
Sementara itu, penganalisis politik berpendapat yang siasatan terhadap Bersatu akan membawa impak signifikan kepada parti berkenaan sekiranya dana mereka terus dibekukan.
Bridget Welsh, penganalisis politik dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, Bersatu akan dilemahkan apabila mereka tidak mempunyai akses kepada sumber dana.
"Tetapi ia masih sedang dipastikan sama ada parti itu bergantung sepenuhnya kepada sumber kewangan terbabit, kerana mereka perlu lebih telus mengenai hal kewangan mereka.
"Sejauh mana kes ini akan ada impak terhadap reputasi Bersatu bergantung kepada apa yang ditemui dalam siasatan, iaitu bukti. Ia berkemungkinan mengambil proses yang panjang," kata Welsh kepada BenarNews.
Bagaimanapun, bagi para pengundi yang memang tegar menyokong Bersatu, mereka akan berasakan siasatan terhadap parti itu sebagai satu ketidakadilan kerana mensasarkan Bersatu.
"Siasatan terhadap Bersatu hanya akan mempunyai kesan terhadap pengundi atas pagar dan mereka yang berada atas pagar, kerana pengundi yang telah membuat pilihan akan berasakan siasatan itu sebagai tindakan yang tidak adil atau memang patut. Penentuannya nanti adalah sekiranya keputusan siasatan dibuat sebelum pilihan raya negeri dilaksanakan," kata beliau.
"Sekiranya dana Bersatu dibekukan, parti itu akan mengalami kesukaran. Tetapi saya rasa ia tidak menjadi masalah kerana ramai pengundi yang menyokong PN atas ideologi mereka. Bersatu bagaimanapun sedikit sukar untuk meraih sokongan pengundi atas pagar," kata Syaza Shukri, seorang pembantu profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.
Syaza menambah bahawa Perikatan patut berhenti daripada menggunakan cogan kata 'bersih dan stabil'.
"Tetapi mereka adalah ahli politik... Mereka seperti burung unta, dan dengan mudah boleh menyembunyikan wajah dan berlindung di sebalik frasa 'tidak bersalah sehingga didapati sebaliknya'. Tetapi sebagai ahli politik, mereka perlu terus menerus mengulangi cogan kata tersebut sehingga orang ramai mempercayainya," kata beliau.