Anwar Ibrahim angkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia

Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas dengan Majlis Raja-raja sebelum menamatkan kebuntuan pasca pilihan raya umum Malaysia dengan melantik Anwar sebagai perdana menteri.
Muzliza Mustafa, Iman Muttaqin Yusof, Fitri Hazim & Nisha David
2022.11.24
Kuala Lumpur
Anwar Ibrahim angkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia Anwar Ibrahim tunduk hormat di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 semasa majlis istiadat yang berlangsung di Istana Negara di Kuala Lumpur, 24 Nov. 2022.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Selepas berdekad-dekad mengetuai pembangkang di Malaysia, Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 negara itu pada Khamis, selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik beliau sebagai perdana menteri baharu bagi menamatkan kebuntuan pilihan raya umum yang berkesudahan dengan Parlimen tergantung.

Anwar, yang mengetuai Pakatan Harapan, sebuah blok parti-parti yang mencerminkan penduduk berbilang-bilang kaum dan agama di Malaysia, kini mengetuai kerajaan gabungan yang nampaknya merangkumi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti berpaksi orang Melayu yang beliau saingi dalam pilihan raya umum itu.

Ahmad Zahid Hamidi, presiden UMNO dan pengerusi gabungan Barisan Nasional, dilihat mengiringi Anwar ke istiadat mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Negara pada petang Khamis. Anwar dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, tiba sejurus selepas 4:30 petang, kira-kira setengah jam sebelum istiadat itu bermula.

Pada awal petang Khamis, pihak Istana Negara mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas mengadakan perbincangan khas dengan Majlis Raja-raja, berkenan memutuskan untuk menamakan Anwar sebagai ketua kerajaan baharu Malaysia.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Istana Negara berkata Yang di-Pertuan Agong menitahkan mereka yang akan berkhidmat dalam kerajaan baharu itu supaya terus merendah diri.

Membandingkan Malaysia dengan pegangan warisan " di mana pemimpin adalah pemegang amanahnya," Seri Paduka bertitah mengingatkan semua pihak bahawa yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua, menurut kenyataan Istana Negara itu. Ia turut menyatakan pesanan Seri Paduka supaya semua Ahli Parlimen mesti saling bekerjasama.

"Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Sebelum pengumuman itu, Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas dengan Majlis Raja-raja – yang dianggotai sultan-sultan dari sembilan negeri dan Tuan Yang Dipertua dari empat negeri - kira-kira sejam sebelum membuat berkenan membuat keputusan. Setiap lima tahun, seorang sultan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam,” menurut kenyataan itu, yang merujuk kepada pilihan raya umum ke-15 baru-baru ini.

Lazimnya, Yang di-Pertuan Agong tidak memutuskan siapa yang menjadi perdana menteri kerana ketua parti atau gabungan yang memenangi majoriti kerusi Parlimen yang akan menyandang jawatan itu, tetapi Seri Paduka mempunyai kuasa untuk melantik perdana menteri yang diyakini mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong berkenan dirujuk selama dua kali sebelum ini berhubung pelantikan perdana menteri - pada 2020 untuk melantik Muhyiddin Yassin dan tahun lepas untuk melantik Ismail Sabri Yaakob.

Pelantikan Anwar diputuskan kerana tiada gabungan memperoleh majoriti (111) daripada 221 kerusi Parlimen yang dipilih pengundi pada pilihan raya umum 19 Nov.

Pakatan Harapan pimpinan Anwar, yang bersekutu dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) memperoleh 82 kerusi, yang lebih banyak berbanding gabungan lain, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, yang bergabung dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula memenangi 79 kerusi.

Muhyiddin berkata beliau mempunyai sokongan dari 115 Ahli Parlimen - lebih empat daripada 111 yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan - dan bekas perdana menteri itu juga turut menggesa Anwar untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai majoriti untuk mengelakkan keraguan dan ketidaktentuan.

Pada Selasa, Agong telah menyatakan hasrat Baginda mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan di mana Muhyiddin menolaknya manakala Anwar pula dilihat lebih terbuka berhubung cadangan tersebut.

Barisan Nasional – yang telah menerajui kerajaan Malaysia selama enam dekad sebelum kehilangan kuasa buat kali pertama pada pilihan raya 2018 – hanya memenangi 30 kerusi pilihan raya umum kali ini.

Pada awal pagi Khamis, pemimpin UMNO mengumumkan bahawa mereka akan mengikut keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” menurut parti itu dalam satu kenyataan.

221124-MY-AnwarPM-Inside2.jpg
Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Anwar Ibrahim di luar kediaman rasmi mereka di Kajang, Selangor 24 Nov. 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Reaksi rakyat Malaysia

Susulan pengumuman itu, kenyataan menyokong Anwar semakin banyak dikeluarkan daripada kalangan pemimpin politik termasuk anak perempuannya.

Nurul Izzah memberitahu bapanya bahawa beliau sentiasa menyayanginya “walaupun semasa terbaring dalam penjara."

“Legasi yang kita tinggalkan untuk anak-anak dan generasi masa depan bukannya harta, pangkat mahupun wang ringgit, tetapi idealisme dan prinsip perjuangan yang tidak boleh dijual beli,” kata Naib Presiden PKR itu.

Nurul Izzah tewas manakala ibunya, Wan Azizah, kembali dipilih pada pilihan raya umum itu.

Anwar telah ditangkap atas pertuduhan liwat dan rasuah pada 1998, yang membawanya keluar masuk kamar mahkamah dan tirai besi penjara dalam tempoh dua dekad, selain turut membuat penampilan semula dalam pilihan raya. Pada 2004, sabitan liwat beliau telah dibatalkan namun sabitan rasuahnya kekal. Pada 2014, beliau sekali lagi disabitkan dan dipenjarakan atas kesalahan liwat tetapi menerima pengampunan penuh diraja pada 2018.

Rafizi Ramli, timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), pula mengeluarkan kenyataan berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan Anwar dan menyeru ahli parti dan gabungan Pakatan Harapan supaya mengelak mengadakan perhimpunan besar-besaran, berhati-hati dengan kenyataan media yang dikeluarkan pemimpin politik lain serta berhati-hati dengan sebarang kandungan atau mesej di media sosial yang boleh menimbulkan provokasi.

“Kita semua mesti bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina semula Malaysia demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat Malaysia dari semua peringkat, kaum, negeri dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut mengucapkan tahniah kepada Anwar melalui catatan Twitter.

“Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan Seri Paduka melantik Anwar dan membentuk kerajaan perpaduan yang mewakili seluruh rakyat Malaysia,” tulisnya dalam catatan itu. “Marilah kita bersatu dengan Anwar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan memastikan kemajuan ekonomi untuk semua.”

221224-MY-AnwarPM-Inside2.jpg
Anwar Ibrahim, diikuti oleh pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Negara di Kuala Lumpur untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia, 24 Nov. 2022 [Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Namun, tidak semua tokoh politik memuji keputusan itu.

Mahathir Mohammad, bekas perdana menteri berusia 97 tahun yang gagal mempertahankan kerusi Parlimennya pada pilihan raya umum minggu lalu, mencabar pemerintahan baharu itu.

“Bukan saya tidak mahu menyokong Pakatan Harapan tetapi mereka bersekongkol dengan Zahid,” kata Mahathir, merujuk kepada Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin Barisan Nasional.

Ketika berkempen pada awal bulan ini, Anwar berkata beliau faham mengapa Mahathir tidak menyokong gabungannya.

221123-MY-GE15 results bahasa.jpg

Pada 2018, kedua-duanya menjadi sekutu setelah bertahun-tahun bertelagah selepas Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada akhir 1990-an. Empat tahun lalu, mereka berkempen di atas platform sama untuk menghapuskan kerajaan daripada rasuah dan menyingkirkan Perdana Menteri ketika itu Najib Razak berikutan skandal kewangan 1MDB.

Parti-parti pimpinan Anwar dan Mahathir bersama-sama kumpulan pembangkang lain telah membentuk Pakatan Harapan yang kemudian memperoleh kemenangan tidak dijangkakan pada pilihan raya umum itu.

Zahid, presiden UMNO, pula mengeluarkan kenyataan yang menyokong keputusan itu dan meminta pihak lain supaya tidak menderhaka walaupun mereka tidak bersetuju dengannya kerana "kebijaksanaan Seri Paduka tiada tandingannya."

“Kekal tenang dan mari kita bina kembali Malaysia demi kebaikan semua agama dan bangsa. Demi anak cucu keturunan kita,” katanya. “Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk Kerajaan Perpaduan."

Isu fiskal

Seorang penganalisis berkata pemimpin Barisan Nasional dan parti-parti lain bersetuju untuk menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong berikutan beberapa siri rundingan, sambil memberitahu bahawa Anwar boleh menjadi perdana menteri yang baik.

“Keputusan ini membantu membina kerajaan inklusif, membawa masuk Ahli Parlimen pelbagai etnik yang mewakili pelbagai wilayah di negeri-negeri. Kesabaran dan pendekatan tenang Anwar dan Pakatan Harapan ternyata membantu – selain titah Yang di-Pertuan Agong untuk sebuah kerajaan inklusif – dalam mencapai keputusan ini,” kata penganalisis Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

“Saya fikir beliau akan menangani isu-isu punca pendapatan dan hubungan antara etnik di negara ini. Beliau juga akan mengukuhkan kuasanya dengan mendapatkan sokongan daripada gabungan dan parti yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” kata Tunku Mohar.

Penganalisis itu berkata cabaran yang dihadapi Anwar termasuklah membentangkan belanjawan yang memenuhi keperluan negara sambil memulihkan keyakinan pelabur dan pemulihan negara.

Seorang penasihat pasaran juga berpendapat bahawa Anwar mesti menjadikan Malaysia sebagai menarik kepada pelabur.

“Adalah tidak adil untuk mengharapkan Anwar melakukan keajaiban, terutamanya berlatarkan kemelesetan global kini,” kata Asrul Hadi Abdullah Sani, timbalan pengarah urusan di firma penasihat pasaran Bower Group Asia, kepada BenarNews.

“Sebagai perdana menteri, Anwar mesti mengukuhkan semula Malaysia di persada dunia kerana ketidakstabilan politik dalam penggal terakhir ini telah menjejaskan keyakinan pelabur terhadap daya tahan ekonomi negara. Hubungan positifnya dengan Amerika Syarikat seharusnya mempengaruhi lebih banyak pelaburan daripada syarikat-syarikat AS ke negara ini."

Rakyat Malaysia pula menggunakan media sosial untuk menyuarakan sokongan mereka kepada perdana Menteri baharu itu.

Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik turut mengucapkan tahniah kepada Anwar menerusi Twitter.

“Semoga pelantikan ini akan mengangkat Malaysia kembali ke persada dunia dan mengangkat pendidikan Malaysia,” kata Maszlee.

@mhmgrgie menyatakan bahawa 2022 telah menyaksikan Najib dipenjarakan atas tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB, Mahathir tewas dan Anwar menjadi PM.

"Sejarah tidak lagi penting."

@crazycatmakcik ambil perhatian kepada tarikh pengumuman ini.

“Beliau mengambil masa 24 tahun untuk menjadi PM dan beliau pula dilantik pada 24hb. Amat indah sekali.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.