Anwar Ibrahim Menanti Dipindahkan Dari Penjara ke Pejabat Perdana Menteri

Staf BeritaBenar
2018.05.11
Washington DC
150511-MY-anwar-620.jpg Bekas Timbalan Perdana Menteri dan ketua pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim (tengah) tiba di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur, Malaysia, 13 Jun 2017.
[AP]

Hampir dua dekad selepas meloloskan diri daripada polis dengan menaiki motosikal sebelum akhirnya mengalami lebam di mata semasa berada dalam tahanan mereka, Anwar Ibrahim kini menanti untuk dibawa menyandang kedudukan tertinggi dalam kerajaan Malaysia.

Seminggu sebelum September 1998, Perdana Menteri Mahathir Mohamad memecat Anwar sebagai timbalannya. Berikutan kejadian mata lebam itu, Anwar ditangkap, disabitkan kesalahan dan dipenjarakan atas pertuduhan rasuah dan pertuduhan liwat pertamanya. Pada 2004, sabitan liwat itu dibatalkan tetapi sabitan rasuah dikekalkan.

Dalam dua dekad yang berikutnya, Anwar dan musuh ketatnya, Mahathir, saling bermaafan sebelum bergabung dalam misi untuk mengalahkan Perdana Menteri Najib Razak dan gabungan Barisan Nasional (BN) dengan pakatan parti-parti pembangkang pimpinan mereka.

Pada Rabu, gabungan empat parti Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 selepas bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diterajui Anwar. Anwar mengetuai pembangkang pada pilihan raya 2013, di mana pihaknya memenangi undi popular tetapi tidak dapat menguasai secukupnya kerusi parlimen untuk menjatuhkan BN.

Dan, ketika keputusan pilihan raya bersejarah itu diumum minggu ini, Anwar, 70, sedang menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi  Cheras di Kuala Lumpur selepas mengalami kecederaan bahu ketika menaiki sebuah van penjara. Pada Februari 2015, beliau mula menjalani hukuman lima tahun penjara atas sabitan liwat yang kedua.

Kini, Anwar sedang menunggu pengampunan diraja dan dibebaskan daripada hukuman penjara bagi membolehkan beliau menerajui Malaysia. Mahathir, 92, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Khamis, berjanji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas beliau dibebaskan.

Mahathir berkata, penyerahan jawatan itu akan berlaku tidak lama lagi.

"Dalam perbincangan kami dengan Yang di-Pertuan Agong semalam, Seri Paduka bertitah beliau sanggup mengampunkan Anwar Ibrahim dengan serta-merta," kata Mahathir pada Jumaat.

Isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan timbalan perdana menteri baru Malaysia berkata, suaminya boleh dibebaskan minggu depan sekiranya semua proses berkaitan berjalan lancar. Sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan pada Khamis, belum adalah wanita pertama yang akan menyandang jawatan sebagai timbalan perdana menteri. Pencapaiannya itu menyamai kedudukan yang pernah disandang suaminya.

"Terdapat banyak perkara yang perlu kami teliti," katanya. "Yang paling penting ialah Yang di-Pertuan Agong menyatakan kesediaannya untuk memberikan pengampunan penuh kepada Anwar," katanya semasa ditemui di hospital itu.

Walaupun dipenjarakan sejak 2015, Anwar telah berusaha mengubah Malaysia dan menyeru para penyokongnya untuk mencabar parti pemerintah.

“Ya, Anwar berada di dalam penjara dan masih mendengar laungan kami untuk melakukan pembaharuan. Beliau sentiasa mengingatkan kami supaya menjadi kuat dan terus bersatu menentang layanan yang tidak berperikemanusiaan," kata Wan Azizah pada Februari 2016 sempena setahun penahanan Anwar.

Wan Azizah, yang berkhidmat sebagai presiden PKR, adalah antara  113 calon Pakatan Harapan yang dipilih menjadi wakil rakyat di Parlimen yang mengandungi 222 kerusi pada pilihan raya Rabu, menjadikannya majoriti mudah yang diperlukan untuk mengalahkan BN. Beliau berkempen di bawah bendera PKR yang simbol matanya melambangkan serangan 1998 terhadap Anwar.

"Undi untuk Pakatan Harapan (yang) logonya kelihatan seperti mata. Mata mewakili Anwar yang ditumbuk, "katanya kepada para penyokong semasa perhimpunan beberapa hari sebelum pilihan raya diadakan, lapor media tempatan.

Seorang penyokong Anwar Ibrahim memegang sepanduk yang menggambarkan mata lebam Anwar semasa demonstrasi aman bagi menandakan ulang tahun kelahiran ke-54 ketua pembangkang itu di Sungai Buloh, Malaysia, 12 Ogos 2001. [AFP]

Ranjau Anwar

Halangan terbaru yang dihadapi Anwar dalam usaha menyandang tampuk kerajaan adalah sabitan liwatnya yang kedua. Beliau dibebaskan daripada pertuduhan itu pada 2012, namun Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dua tahun kemudian dan memerintahkannya menjalani hukuman lima tahun.

Pada 10 Feb 2015, panel Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan beliau dibawa ke penjara.

Mangsa Anwar, bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan, menyeru bekas ketuanya supaya memohon maaf semasa berada dalam penjara, sambil menambah kata bahawa ramai yang tersilap apabila mempercayai Anwar sebagai tahanan politik dan bukannya penjenayah.

"Saya yang menjadi mangsa dalam kes ini. Apakah saya bukan manusia, dengan hak saya sebagai mangsa dinafikan oleh kumpulan hak asasi manusia, "kata Saiful pada 2016.

Tahun lepas, Anwar tidak berjaya mencabar sabitannya sebanyak  dua kali, dengan mendakwa Saiful menawarkan kesaksian palsu dan bahawa peguam pendakwaan dibayar RM9.5 juta (US$ 2.2 juta) untuk membicarakan kes itu.

Satu langkah positif berlaku pada September 2016 apabila Anwar bertemu dengan bekas ketuanya buat kali pertama sejak Mahathir memecat timbalannya itu. Mereka berada di mahkamah bersama-sama semasa Mahathir menyokong saman Anwar untuk mencabar tindakan Najib melaksanakan akta keselamatan negara yang ketat, yang menurut kumpulan hak asasi, membolehkan gabungan parti pemerintah itu menindas hak asasi manusia swenang-wenangnya.

Selepas pertemuan itu, Mahathir memberitahu pemberita bahawa mereka akan bergabung tenaga untuk menggulingkan BN pimpinan Najib.

"Saya tidak boleh terus berdendam," kata Mahathir pada masa itu.

Kemudian, pakatan baru pembangkang yang melibatkan PKR pimpinang Anwar, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Mahathir dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta Parti Amanah Negara (Amanah) yang berasaskan agama, berbalah mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika BN akhirnya digulingkan. Pada Jun 2017, Anwar mengumumkan bahawa beliau tidak akan menjadi calonnya.

"Berhubung dengan gesaan supaya tumpuan penuh diberikan kepada pilihan raya umum, oleh itu, saya memilih untuk tidak menawarkan diri saya sebagai calon perdana menteri," kata Anwar.

"Perbalahan (mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri)  meletihkan (pembangkang), kerana keputusan akhir terletak kepada rakyat dalam pilihan raya umum."

Mahathir menegaskan bahawa pada usia 92 tahun, beliau tidak berminat untuk kembali ke jawatan yang disandangya selama lebih dari dua dekad. "Kalau pada akhirnya tiada siapa yang akan tampil, tiada siapa yang bersetuju dengan mana-mana calon (jadi perdana  menteri) dan mereka menuding kepada saya, adalah tidak wajar bagi saya untuk menolak hanya kerana saya mahu bersara dan berehat dan tidak melakukan semua itu," katanya.

Akhirnya, pakatan itu memutuskan Mahathir sebagai calon yang akan berkhidmat sementara menunggu Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri.

Pakatan Harapan terpaksa berdepan beberapa halangan yang membawa kepada kekalahan paling buruk BN dalam sejarah pilihan raya  Malaysia. Satu daripadanya sememangnya khusus untuk Anwar dan Mahathir.

Pada November 2017, kerajaan mengeluarkan laporan setebal 524 muka surat yang mencadangkan pihak berkuasa untuk menyiasat mereka berhubung dengan kerugian berbilion ringgit yang dialami bank negara pada 1990-an ketika mereka memegang tampuk kuasa.

Wan Azizah berjuang untuk suaminya dengan mencabar masa laporan itu dikeluarkan.

"Laporan itu sudah siap dan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong [Malaysia] enam minggu lalu, ia sepatutnya diberikan kepada kami dengan lebih awal," katanya kepada pemberita di Parlimen.

"Hari ini ketika kami meminta hasil penemuan itu dibahaskan, permintaan itu ditolak. Ini menunjukkan apa yang kita andaikan sebelum ini adalah benar. Ia langkah politik berhubung isu yang ditimbulkan semula selepas banyak tahun berlaku untuk mengenakan musuh politik mereka, "kata Wan Azizah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.