Malaysia peruntuk AS$2 juta cetak terjemahan Al-Quran tangani Islamofobia

Perdana Menteri berkata 20,000 naskah akan dihantar ke Sweden di mana ahli politik membakar kitab suci itu.
Iman Muttaqin Yusof
2023.02.27
Putrajaya
Malaysia peruntuk AS$2 juta cetak terjemahan Al-Quran tangani Islamofobia Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan salah seorang delagasi asing yang mengambil bahagian dalam Forum Antarabangsa: Pendekatan Madani Mendepani Cabaran Islamofobia di Putrajaya, 27 Feb, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia telah memperuntukkan AS$2.2 juta dalam Belanjawan 2023 bagi menangani Islamofobia dengan mencetak terjemahan naskah Al-Quran dalam beberapa bahasa termasuk 20,000 naskah yang akan dihantar ke Sweden, di mana seorang ahli politik berhaluan ekstrem telah membakar kitab suci itu baru-baru ini sebagai protes terhadap umat Islam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perbelanjaan RM10 juta itu bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap Islam.

“Terjemahan Al-Quran…. Kita akan mencetak 20,000 naskah untuk bahasa Swedish dan lain-lain lagi bahasa bagi tujuan kefahaman. Isunya sekarang adalah kefahaman. Mengapa perkara ini menjadi isu (Islamofobia) adalah kerana mereka yang menentang Islam tidak pernah membaca kitab suci itu.

“Jadi kita kena baca balik teks, atau terjemahan dan sekurang-kurangnya boleh selamatkan selain menjelaskan kepada pihak lain mengenai pemahaman yang lebih mendalam terhadap agama (Islam),” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Antarabangsa: Pendekatan Madani Mendepani Cabaran Islamofobia di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya.

Hampir 1,000 perserta termasuk delegasi asing telah menghadiri forum separuh hari berkenaan yang menyentuh mengenai pelbagai isu berkaitan Islamofobia di seluruh dunia, termasuk perbincangan mengenai kejadian membakar Al-Quran di Sweden dan tragedi pembunuhan beramai-ramai di Christchurch, New Zealand pada tahun 2019.

Rasmus Paludan dari parti Stram Krus, sebuah parti ekstremis telah membakar Quran pada 21 Januari di hadapan Kedutaan Turkiye di Sweden bagi menunjukkan bantahan terhadap Islam dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, yang dituduh sebagai cuba menekan hak kebebasan bersuara di Sweden.

Tindakan tersebut sekaligus mencetuskan kemarahan di kalangan dunia Islam, dengan beberapa protes terhadap Paludan dianjurkan di seluruh dunia.

Bulan lalu, Anwar telah mengecam perbuatan itu, dengan berkata terdapat keperluan untuk mendidik orang bukan Islam.

“Ya, kita mesti membantah, tetapi juga penting kita mesti memberikan pemahaman dan melakukan yang terbaik untuk memastikan mesej Al-Quran itu hidup,” kata Anwar pada pelancaran buku, menurut media tempatan.

Anwar, ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta kepada Yayasan Restu, untuk menerbitkan terjemahan manuskrip Al-Quran dan penerbitan bahan-bahan berkaitan kitab itu.

Menurut Anwar lagi, inisiatif tersebut adalah simbol kepada pendekatan bijaksana dan matang dalam menangani serangan terhadap Islam.

Joachim Bergström, Duta Sweden ke Malaysia menyambut baik langkah kerajaan Anwar menerbitkan naskah terjemahan Al-Quran kepada Sweden.

“Saya secara peribadi gembira bahawa Al-Quran, naskah yang penting secara global, akan lebih mudah didapati di negara asal saya dan juga di Eropah.

“Saya sendiri memiliki beberapa naskah. Saya telah hidup dan berkhidmat begitu lama di negara-negara Islam – termasuk sebagai Duta Khas Sweden bagi memerangi Islamophobia di antara tahun 2016 hingga 2021 – dan saya begitu yakin bahawa pengetahuan dan dialog adalah kaedah terbaik bagi menggalakkan pemahaman dan keamanan,” katanya kepada BenarNews.

Kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan inisiatif yang serupa dengan rancangan Malaysia.

Menjelang tahun 2000, negara Timur Tengah itu telah mengedar lebih daripada 138 juta naskhah Al-Quran di beberapa negara, menurut Yayasan Warisan dan sumber lain. Baru-baru ini, media melaporkan negara itu mengedarkan 30,000 salinan di Kenya pada 2022.

230227-MY-Inside-AnwarMadani.jpg

Penunjuk perasaan memegang sepanduk di hadapan Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap insiden pembakaran Al-Quran oleh ahli politik Sweden, 27 Januari, 2023. [S.Mahfuz/BenarNews]

‘Pembaziran sumber’

Walau bagaimanapun, langkah itu tidak diterima sepenuhnya oleh rakyat dalam negara yang majoriti beragama Islam itu.

Seorang pengguna Twitter dalam responnya berkata langkah kerajaan itu hanya akan membantu pihak yang mendapat kontrak mencetak dan mengedar naskah tersebut.

“Usah biarkan tindakan seorang yang bodoh di Sweden merugikan kita RM10 juta, ia tidak akan membantu negara ini,” demikian ciap Layla.

Seorang lagi pengguna Twitter dengan nama Zhu berpandangan yang peruntukan itu terlalu besar sedangkan ia boleh dibuat secara atas talian.

“Anda boleh membacanya secara percuma dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa. Peruntukan itu sepatutnya disalurkan bagi tujuan perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna Twitter, Joyce Choong berkata adalah satu pembaziran dengan turut mempersoal keputusan Anwar itu.

“Ini adalah satu pembaziran! Wang itu boleh memberi makan kepada 2 juta rakyat yang memerlukan melalui menu Rahmah (inisiatif hidangan murah oleh kerajaan). Untuk bertindakbalas kepada seorang lelaki yang tidak waras, membelanjakan RM10 juta!

Adakah ini akan merubah dia? Adakah negara-negara Islam yang kaya juga membuat perkara yang sama?” soalnya.

Sementara itu kumpulan berpegangan yang lebih keras menyatakan keraguan terhadap langkah kerajaan, sambil mendesak supaya tindakan yang lebih tegas perlu diambil terhadap Sweden.

“Menghantar naskah-naskah terjemahan Al-Quran bukanlah satu langkah yang akan memberikan impak yang signifikan terhadap Sweden oleh kerana tiada jaminan bahawa ia akan sampai dan dibaca oleh rakyat Sweden. Malah, tidak dapat dipastikan ia (Al-Quran) tidak akan dibakar sekali lagi,” ujar Muhammad Fauzi Asmuni, presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kepada BenarNews.

Menurutnya, kerajaan selain dari menangani protes, sepatutnya mengambil langkah memboikot produk-produk Sweden atau langkah-langkah lain bagi memberi tekanan.

Katanya lagi, amaran lisan atau bertulis mungkin tidak akan mengubah pendirian kerajaan Sweden.

“Menyeru umat Islam untuk respon kepada kejahatan dengan kebaikan adalah sesuatu yang wajar dipuji, namun ada masanya ia tidak menyelesaikan masalah, khususnya masalah-masalah yang memerlukan pendirian tegas daripada umat Islam,” tambahnya.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.