PM Malaysia beri arahan tindakan tegas pihak ganggu gugat keselamatan negara
2023.03.17
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam usaha memastikan ketenteraman negara dijaga telah meminta pihak berkuasa berwaspada terhadap cubaan membangkitkan sentimen perkauman atau keagamaan, kata beliau pada Jumaat, semasa Malaysia sedang melihat peningkatan perselisihan membabitkan isu berbaur perkauman.
Walaupun Anwar tidak merujuk kepada mana-mana insiden dengan terperinci, kenyataan beliau dibuat beberapa hari sebelum satu majlis "Proklamasi Orang Melayu" yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Majlis tersebut dikatakan akan membincangkan mengenai "masalah" dihadapi etnik majoriti Malaysia itu, menurut laporan media tempatan.
Anwar memberitahu satu sidang media bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang cuba "mengadu domba dan menghangatkan suhu kaum atau agama di dalam negara".
"Saya telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk berwaspada kerana orang yang terdesak atau rasa tercabar akan menggunakan sentimen ini," kata beliau kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri mingguan di Putrajaya.
"Jadi saya ingin tegaskan dan Kabinet bersama dalam hal ini bahawa keamanan dan kedamaian semua kaum dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap mana-mana usaha yang menganggu-gugat keselamatan negara," tambah perdana menteri itu.
Beliau menegaskan, walaupun pelbagai fitnah dilemparkan terhadap kerajaan pimpinannya, ia akan tetap mempertahankan prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala kebebasan hak agama lain turut dijamin.
Sebarang isu berbangkit termasuk mengenai isu agama dan kaum harus ditangani melalui cara perundingan, tambah Anwar.
Perdana Menteri itu turut mendakwa bahawa terdapat usaha oleh ahli atau parti politik yang kalah untuk menaikkan sentimen perkauman dan agama di Malaysia, dan memberi amaran bahawa pihak keselamatan akan bertindak tegas sekiranya terdapat tindakan yang mampu mengganggu keamanan negara.
"Sekarang ini keadaan terkawal, tetapi ada usaha-usaha orang yang kehilangan kuasa untuk menggunakan ini untuk meniup sentiment kaum dan agama jadi sekiranya tindakan itu melampau, menganggu gugat, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak," kata beliau.
Kenyataan Anwar itu dibuat dua hari sebelum penganjuran majlis Proklamasi Orang Melayu yang dijadualkan berlangsung pada Ahad di Kuala Lumpur dan dijangka akan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Menurut laporan media tempatan, penganjurnya yang dikenali sebagai 'Sekretariat Tanah Air' berkata program itu tidak bersifat politik dan dibuat bagi membincangkan isu-isu bangsa Melayu.
Mahathir, yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, pada awal bulan ini dilaporkan telah mengkritik Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dan menyatakan bahawa perdana menteri itu hanya menabur janji tetapi masih belum memperlihatkan hasil terutama dari segi pemulihan ekonomi dan menyelesaikan masalah orang Melayu.
"Perdana Menteri buat kenyataan tiap-tiap hari, macam-macam hendak buat tetapi keadaan tidak bertukar, kita masih menghadapi kemelesetan ekonomi, masalah orang Melayu tidak ditangani, masalah politik yang tidak stabil dan sebagainya. Selain daripada itu kita dapati janji yang dibuatnya belum nampak ditunaikan, cakap sahaja, kita lihat apa juga disebut perdana menteri ialah untuk sokongan orang ramai kepadanya,” kata Mahathir dalam satu majlis dialog pada 4 Mac lepas, seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.
Malaysia baru-baru ini menyaksikan peningkatan isu-isu berbaur sentimen perkauman dan keagamaan di kalangan masyarakat berbilang latar belakang negara Asia Tenggara tersebut, termasuk perdebatan hangat di platform-platform media sosial yang dilihat berisiko mencemarkan keharmonian.
Ia termasuk perbincangan serta kenyataan yang dikeluarkan di kalangan ahli dan parti-parti politik, termasuk dari pembangkang, mengenai isu membabitkan bangsa Melayu yang merupakan penduduk majoriti dan menjadi peratusan pengundi terbesar di negara berkenaan.
Tegas bertindak
Susulan daripada kenyataan oleh Anwar, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pada petang Jumaat berkata pasukan keselamatan itu sedang "memantau rapi" situasi keselamatan semasa dan tidak akan berkompromi terhadap sesiapa yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
"Polis DiRaja Malaysia memantau rapi situasi keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyentuh sensitiviti agama atau kaum yang mengganggu gugat keselamatan serta keamanan negara.
"Tahap keselamatan semasa adalah terkawal dan PDRM memberikan komitmen untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksana secara berterusan demi memastikan keselamatan kekal terjamin," kata Acryl Sani dalam satu kenyataan.
Ketua Polis itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan atau berkongsi sebarang kenyataan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum atau membangkitkan kegusaran awam.
Sementara itu, seorang penganalisis politik percaya bahawa isu perkauman dan agama banyak dimainkan mutakhir ini oleh parti politik tertentu mempunyai kaitan dengan enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia memberitahu BenarNews bahawa terdapat parti politik yang dikatakan sedang cuba meraih undi dari orang Melayu bagi memenangi banyak kerusi pada pilihan raya di enam negeri.
"Kita lihat ada parti tertentu yang memberi fokus kepada undi Melayu kerana pada Pilihan Raya Umum yang lalu, ada parti tertentu yang menang besar undi Melayu, dan mereka mensasarkan untuk menang lebih banyak kerusi (di kawasan majoriti) Melayu pada pilihan raya negeri yang akan datang," kata beliau kepada BenarNews.
Tambah ahli akademik itu, walaupun isu kaum dan agama tidak sepatutnya dimainkan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dalam negara, ia adalah modal yang paling laris kerana kemampuannya untuk mempengaruhi pengundi dan meraih sokongan mereka dengan cepat.
"Itulah modal yang ada. Modal politik Melayu untuk menarik pengundi. Saya fikir semua isu ini dimainkan sekarang untuk kepentingan politik," kata beliau.
Salawati Mat Basir, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, turut berkongsi pandangan serupa.
Namun, beliau menyifatkan bahawa pendekatan sedemikian merupakan sesuatu yang "ketinggalan" dan "sangat cliche".
"Isu-isu seperti ini dimainkan kerana ada kepentingan tertentu oleh sesetengah pihak termasuk parti politik dan kurang kepekaan dalam sensitiviti agama. Saya percaya semua agama ada kebaikannya tersendiri dan kita tidak perlu membandingkan mana-mana agama tetapi kita hormat. Cuma peliknya isu yang boleh menyebabkan kekacauan besar dalam negara sering digunakan sebagai alat politik," kata Salawati kepada BenarNews.
Penganalisis itu turut menyatakan rasa setuju beliau terhadap kenyataan tegas oleh Perdana Menteri yang tidak berkompromi terhadap sebarang usaha membangkitkan sentimen agama dan kaum.
"Kerana apabila kita memainkan isu perkauman, ia akan menyebabkan kekacauan dalam negara," kata beliau.