Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Anwar

Hata Wahari
2018.04.12
Kuala Lumpur
180412-my-anwar-1000.jpg Pemimpin Parti Keadilan Rakyat(PKR) yang dipenjara, Anwar Ibrahim diiringi pegawai penjara, memberi senyuman dan isyarat tangan semasa berada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur , 2 April, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Rabu menolak rayuan keluarga bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk membatalkan arahan Pengarah Penjara Sungai Buloh yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara beliau dengan ahli keluarga semasa membuat lawatan penjara.

Hakim Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Hakim Vernon Ong Lam Kiat  dan Suraya Othman memutuskan bahawa larangan sentuhan fizikal itu rasional dan wajar kerana tidak bercanggah dengan Peraturan-peraturan Penjara.

“Kami berpendapat bahawa surat Jabatan Penjara kepada keluarga Anwar bertarikh 14 Mac 2016 berkaitan dengan larangan sentuhan fizikal adalah wajar dan seimbang,”  kata Hakim itu pada Rabu.

Ahmadi memaklumkan, dengan itu  mahkamah menolak permohonan tersebut kerana ia tidak mempunyai merit.

Peguam N Surendran yang mewakili keluarga Anwar dalam reaksi segera memberitahu BeritaBenar bahawa larangan sentuhan fizikal terhadap banduan bersifat tidak berperikemanusiaan dan keluarga Anwar akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes ini, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak Penjara Malaysia.

Isteri Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Wan Azizah Wan Ismail yang berada di mahkamah memberitahu pemberita bahawa beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana jarang sekali mahkamah memihak kepada suaminya.

“Saya membawa kes ini bagi kepentingan semua pihak bahawa, mereka yang dipenjara juga mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dari keluarga mereka ketika bertemu dalam tempoh yang singkat di penjara,”  katanya.

Tegasnya, yang terkesan dalam kes ini adalah cucu-cucunya yang tidak dapat pelukan dan ciuman dari datuk mereka.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara kedua di Penjara Sungai Buloh, untuk tempoh lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pemimpin pembangkang itu sudah 36 bulan berada di penjara berkenaan manakala hukuman penjara terdahulu selama enam tahun atas pertuduhan yang sama adalah pada tahun 1998.

Beliau dijangka akan dibebaskan pada 8 Jun tahun ini, dengan hanya menjalani hukuman penjara tiga perempat dari jumlah hukuman kerana berkelakuan baik.

Selain Anwar, 70, pemohon dalam kes itu ialah isterinya, Wan Azizah,  65, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 37, Nurul Nuha, 34, Nurul Ilham, 30, dan Nurul Iman, 27.   

Turut memfailkan permohonan itu ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur 11 dan sembilan tahun, serta anak Nurul Nuha iaitu Sulaiman  Mohamad Khairul dan Yahya, masing-masing berumur enam dan lima tahun.

Perayu-perayu memohon supaya keputusan Pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac 2016 yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara mereka, dibatalkan.   

Anwar dan ahli keluarganya mendakwa semasa lawatan ke penjara tiga minggu sekali, mereka dipisahkan oleh dinding kaca dan bercakap melalui telefon.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac 2017 menolak permohonan keluarga Anwar untuk mencabar perintah Pengarah Penjara Sungai Buloh yang tidak membenarkan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menunjukkan kasih sayang terhadap ahli keluarganya semasa lawatan keluarga dalam tempoh beliau dipenjarakan.

Anwar, melalui peguamnya bertarikh 2 Mac 2016 telah memohon kepada pihak penjara untuk dibenarkan menunjukkan kasih sayangnya terhadap ahli keluarga, namun, pada 14 Mac tahun yang sama, permohonan itu ditolak oleh Pengarah Penjara Sungai Buloh.

Sehubungan itu, Anwar memfailkan semakan kehakiman pada Mei 2017.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.