PM tangkis dakwaan campur tangan penguguran kes rasuah Ahmad Zahid
2023.09.08
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berdepan kritikan hebat selepas sekutu politiknya dilepaskan daripada 47 pertuduhan rasuah berkata beliau akan menangguhkan keputusan itu sehingga selesai dua pilihan raya kecil yang akan berlangsung hujung minggu ini jika benar mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Anwar memberitahu yang beliau sudah menjangka tohmahan mengenai campur tangan politik akan dilemparkan terhadapnya ekoran keputusan Jabatan Peguam Negara menggugurkan dakwaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam tindakan tersebut dan ia merupakan di bawah bidang kuasa penuh Peguam Negara.
Perdana menteri itu juga berkata Peguam Negara pasa masa itu, Idrus Harun telah membuat keputusan menarik dakwaan terhadap Ahmad Zahid pada minggu lepas kerana ingin menjalankan tanggungjawabnya sebelum bersara dan menyerahkan tugas kepada penggantinya.
"Tentunya saya sebagai Perdana Menteri tahu akan kesan dan tuduhan yang akan dilemparkan (susulan pengguguran dakwaan kes Ahmad Zahid). Saya terpaksa tanya panjang pada Peguam Negara kenapa keputusan begitu dan kenapa ia dibuat sekarang.
"Kalau diikutkan, kalau tanya saya, (sekiranya) saya ada kuasa, saya hendak tangguh. Sebab apa, sebab saya hendak lepaskan dulu semua pilihan raya ini. Kemudian, Peguam Negara jalankanlah (pengguguran kes).
"Tetapi Peguam Negara tidak bersetuju. Peguam Negara kata tarikh awal mahkamah adalah 4 September, dan 5 September adalah hari terakhir beliau dan beliau tidak mahu melepaskan tanggungjawab yang beliau uruskan kepada yang lain," kata Anwar semasa ditemui media pada Jumaat.
Perdana menteri itu merujuk kepada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pulai dan kerusi Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram di Johor yang sedang berlangsung, dengan hari mengundi dijadualkan pada Sabtu.
Tambah Anwar, perintah supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan juga dibuat oleh hakim selepas meneliti permohonan daripada pasukan pendakwaan.
Menafikan dakwaan bahawa hakim mahkamah tidak mempunyai pilihan selain membenarkan permohonan Pendakwa Raya, Anwar juga menyangkal tohmahan bahawa pihak kerajaan cuba meletakkan beban dan menyalahkan mahkamah atas keputusan melepaskan Zahid.
"Tidak benar bahawa hakim tidak mempunyai pilihan. Walaupun badan kehakiman tertakluk kepada kertas pendakwaan, tetapi hakim masih ada wewenang (hak dan kuasa untuk membuat keputusan)," kata Anwar.
Perdana menteri itu yang juga merupakan ketua bagi gabungan Pakatan Harapan turut menggesa supaya orang ramai tidak terpengaruh dengan tohmahan politik mengenai kes berkenaan.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes berkaitan penyelewengan jutaan dolar dari sebuah yayasan kebajikan yang diasaskan beliau bagi membenteras kemiskinan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Mohd Dusuki Mokhtar memohon perintah DNAA bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kes tersebut.
Menurut laporan media tempatan, Dusuki memberikan kira-kira 10 atau 11 alasan kepada mahkamah dalam membuat permohonan itu.
Kes berkenaan merupakan satu daripada dua perbicaraan jenayah yang dimulakan terhadap Ahmad Zahid kira-kira setahun selepas parti UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum pada 2018. Ia menyebabkan parti itu hilang kuasa buat pertama kali sejak mula memerintah negara kira-kira enam dekad lalu.
Tindakan pasukan pendakwaan memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan mendapat kritikan hebat daripada aktivis anti-rasuah serta ahli-ahli politik, termasuk dari pihak pembangkang dan kerajaan.
Beberapa pengkritik menyifatkan pengguguran dakwaan jenayah terhadap Ahmad Zahid itu adalah akibat campurtangan politik dan menggesa supaya kerajaan menyegerakan proses pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan pendakwaraya.
Mohon DNAA
Sementara itu, seorang penganalisis politik berpandangan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu dilihat dalam keputusan Peguam Negara memohon DNAA dalam kes Ahmad Zahid, termasuk kemungkinan untuk menjaga nama jabatan itu daripada dimalukan sekiranya mahkamah mendapati timbalan perdana menteri itu tidak bersalah.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu BenarNews bahawa Ahmad Zahid telah menghantar lapan representasi kepada Jabatan Peguam Negara mengenai kes beliau, sementara ramai saksi pendakwaan pula telah memberikan keterangan yang dilihat membersihkan nama Ahmad Zahid.
"... dalam perbicaraan semasa, kita dapat lihat bahawa semua saksi-saksi yang dikemukakan pendakwa menunjukkan bahawa Ahmad Zahid tidak bersalah, dan jika ini berlaku dan Ahmad Zahid didapati tidak bersalah, ini akan memalukan Jabatan Peguam Negara sendiri," kata beliau.
Ahli akademik itu turut bersetuju dengan kenyataan perdana menteri bahawa hakim yang membuat keputusan boleh menolak atau menyatakan tidak setuju dengan permohonan DNAA oleh pasukan pendakwaan.
Awang Azman menyifatkan tohmahan sesetengah pihak bahawa ramai yang marah dengan keputusan pendakwaan memohon DNAA bagi kes Ahmad Zahid hanya sekelompok kecil orang politik "yang cuba mempengaruhi pengundi".
Tambah beliau, samada penjelasan oleh Anwar mengenai kes itu dapat diterima ramai adalah sesuatu yang subjektif dan akan bergantung kepada tahap literasi politik mereka.
"Sama ada (penjelasan ini) dapat diterima semua pihak, saya kira itu terpulang pada sejauh mana literasi politik mereka, sejauh mana pemahaman mereka," kata Awang Azman.
"Ada yg mendakwa kemarahan ramai tidak berpuas hati itu lebih pada bersifat kepartian tertentu yang menanam rasa tidak puas hati tersebut. Saya kira tidak ada isu, majoriti rakyat tidak melihat perkara tersebut hingga mampu menggoncangkan kerajaan."