Shafie Apdal Umum Nama Baru Parti Yang Diterajuinya

A. Ariffin
2016.10.17
Kuala Lumpur
161017-my-apdal-warisan-620.jpg Shafie Apdal bersama dengan barisan pimpinan utama Parti Warisan Sabah ketika menerima pengesahan parti baru itu di Putrajaya, 17 Oktober 2016.
[Ihsan Parti Warisan Sabah]

Ahli politik terkenal Sabah yang juga bekas Naib Presiden UMNO Mohd Shafie Apdal pada Isnin mendedahkan nama baru parti politik dan kepimpinannya dalam memberi gambaran senario politik di negeri itu.

Ahli Parlimen Semporna itu menamakan parti baru tersebut, Parti Warisan Sabah (Warisan), sebuah parti yang mengambil alih Parti Pembangunan Warisan Sabah (PPWS) yang ditubuhkan pada tahun 2013.

“Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan nama dan logo baru, serta membuat sedikit pindaan pada perlembagaan parti pada 13 Ogos lalu,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Isnin.

Shafie sebelum itu mengadakan sidang media di Putrajaya bagi memperkenalkan nama baru serta barisan kepimpinan parti berkenaan.

Antara mereka yang menduduki barisan kepimpinan Parti Warisan Sabah itu ialah bekas Naib Presiden Pakatan Rakyat (PKR), Darell Leiking yang dilantik sebagai Timbalan Presiden manakala tiga Naib Presidennya adalah bekas Presiden Parti Kadazan Dayak Murud Malaysia Peter Anthony, bekas Naib Ketua UMNO Semporna Jaujan Sambakong dan bekas Setiausaha DAP Sabah Junz Wong dengan jawatan Setiausaha Agung digalas oleh peguam Loretto S Padua Jr.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak berkata, “Perkara yang paling penting yang kami (Warisan) akan lakukan adalah untuk menyatukan kesemua kaum yang berada di negeri ini,”

“Bukannya untuk menyatukan parti, kerana anda boleh menubuhkan beribu-ribu parti. Tetapi ianya tidak berguna jika rakyat di negeri ini tidak bersatu,” kata Presiden Parti Warisan itu, kepada BeritaBenar.

Shafie menegaskan Warisan bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang dengan berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk menumbangkan parti kerajaan pemerintah BN.

Warisan boleh mengubah lanskap politik Sabah


Pakar Politik di Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Warisan mampu memberi tentangan kepada parti Barisan Nasional (BN) Sabah kerana ia diterajui oleh Shafie yang mempunyai sokongan yang padu dari rakyat di negeri itu.

Menurutnya, Shafie berpengalaman luas dalam lanskap politik di Sabah dan mendapat  sokongan dari rakyat Sabah terutamanya di kawasannya, Semporna.

“Pada pandangan saya, semua orang tahu dan sedar bahawa Shafie bukan calang-calang orangya terutama di Sabah, dan ia sedikit sebanyak dapat membantu Shafie dalam perjuangan politiknya di negerinya itu,” katanya kepada Berita Benar.

Nik Ahmad yakin Shafie boleh memberi impak besar terhadap politik negeri itu terutamanya sokongan dari akar umbi politik di negeri itu serta menjangka terdapat segelintir ahli UMNO Sabah yang bakal menyertai perjuangan Shafie.

Dalam pada itu, Pakar Politik di Universiti Teknologi Mara (UITM), Prof Madya Ismail Sualman berkata, jika parti yang diterajui Shafie mahu kekal di Sabah, beliau perlu menjanjikan lebih dari janji untuk memupuk perpaduan kaum di negeri berkenaan.

Katanya, penduduk negeri Sabah tidak sama dengan penduduk di Semenanjung dan mempunyai pandangan politik yang berbeza.

“Negeri Sabah semenjak dahulu lagi memang mempunyai perpaduan kaum yang kukuh, jika Shafie mahu terus kekal di sana dia perlu memikirkan satu cara baharu untuk memenangi hati penduduk Sabah.

“Di sana penduduknya lebih memerlukan “politik pembangunan” berbanding “politik falsafah” seperti di Semenanjung. Jika dia mampu melakukannya, dia bakal menerima sokongan hebat penduduk Sabah,” katanya kepada BeritaBenar.

Pada 4 Julai lepas, Mohd Shafie mengumumkan keluar dari Umno susulan daripada tindakan kepimpinan parti menggantungnya dari jawatan Naib Presiden.

Mohd Shafie digugurkan daripada rombakan Kabinet pada 29 Julai tahun lalu, bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selepas lantang bersuara mengenai skandal syarikat perlaburan strategik negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dibebani hutang berbilion ringgit yang diterajui Najib.

Menurut laporan media tempatan, Shafie sebelum ini enggan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dengan Mahathir Mohamad bertindak sebagai pengerusi dan Muhyiddin sebagai presiden.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.