Malaysia siasat kapal China terlibat dalam penjarahan bangkai kapal British era Perang Dunia Kedua
2023.05.30
Kuala Lumpur
Malaysia pada Selasa berkata yang pihak berkuasa negara itu telah menahan sebuah kapal yang berdaftar di China kerana dipercayai membawa peluru meriam dari era Perang Dunia Kedua dan sedang menyiasat sama ada telah berlakunya penjarahan bangkai dua buah kapal perang milik British di Laut Cina Selatan.
Kapal pengangkut barang itu, yang didaftarkan di wilayah Fuzhou di tenggara China, telah ditahan ketika ia berlabuh secara haram di perairan negeri Johor, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Para pegawai maritim yang memeriksa kapal itu kemudiannya telah menemui sejumlah peluru meriam yang telah berkarat, besi buruk serta peluru dan artifak lain yang disyaki dari era Perang Dunia Kedua.
Penemuan peluru itu dibuat ketika terdapat laporan mengenai pencuri menjarah bangkai dua kapal perang British - HMS Prince of Wales dan HMS Repulse - yang tenggelam selepas ditembak torpedo tentera Jepun pada tahun 1941.
Pengarah APMM Johor, Nurul Hizam Zakaria berkata 32 orang krew kapal barangan tersebut, termasuk 21 warga China, 10 Bangladesh dan seorang rakyat Malaysia, kini ditahan di Zon Maritim Tanjung Sedili untuk soal-siasat.
"Kami masih menjalankan siasatan dan keutamaan kami sekarang ialah merakam keterangan dari krew kapal berkenaan," kata beliau kepada BenarNews.
Besi buruk dan sebuah peluru meriam lama yang dirampas daripada sebuah kapal yang berdaftar di China oleh pihak berkuasa maritim Malaysia. [MMEA/AP]
Pihak berkuasa maritim itu berkata mereka kini sedang melihat kemungkinan kapal yang sama terlibat dalam satu lagi penemuan artifak dan peluru lama yang dirampas dari sebuah pusat pembuangan besi buruk di Tanjung Belungkor, Johor.
Akhbar tempatan New Straits Times melaporkan bahawa barang rampasan berkenaan dipercayai tinggalan dari bangkai kapal British yang karam ketika Perang Dunia Kedua, kira-kira 100km arah timur perairan Malaysia di Laut Cina Selatan.
"Kami di APMM tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan bahawa ini adalah dari bangkai kapal British yang tenggelam semasa Perang Dunia Kedua kerana ia belum disahkan dan masih dalam siasatan," kata Zakaria.
Susulan laporan-laporan berita mengenai penjarahan pada minggu lepas, seorang jurucakap Kementerian Pertahanan United Kingdom memberitahu agensi berita BBC bahawa mereka mengutuk "pencabulan" kuburan tentera dan akan mengambil "tindakan sewajarnya".
APMM, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Warisan Malaysia sedang menjalankan siasatan terhadap pelbagai barang tinggalan yang dirampas baru-baru ini.
"Pegawai-pegawai kami kini sedang berada di lokasi bagi menentukan sama ada artifak berkenaan ada kaitan dengan bangkai kapal perang British dari zaman Perang Dunia Kedua," kata Timbalan Ketua Jabatan Warisan, Mohd Muda Bahadin, kepada BenarNews.
BenarNews telah menghubungi pejabat Pesuruhjaya Tinggi UK di Kuala Lumpur untuk mendapatkan komen tetapi belum mendapat maklum balas.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.