Malaysia dan Jepun Adakan Latihan Maritim Bersama Di Laut China Selatan
2018.01.25
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Pengawal Pantai Jepun (JCG) telah memulakan latihan bersama selama tujuh hari dalam memerangi jenayah pelanunan, rompakan serta operasi menyelamat di sekitar perairan Laut China Selatan berhampiran Kuantan, Pahang.
Pengarah Latihan Kapten Maritim Zainin Abd Majid memberitahu BeritaBenar latihan diperlukan di kawasan perairan Kuantan memandangkan beberapa kejadian pelanunan dan rompakan yang telah berlaku.
“Pada 23 Jun tahun lepas, rampasan kapal tangki Thailand CP41 di 25 batu nautika timur perairan Kuantan, di mana 1.5 juta diesel dirompak oleh lanun mengejutkan kita,” katanya pada Khamis ketika dihubungi mengenai latihan dengan JCG itu.
Zainin menegaskan,latihan bersama itu bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dengan kapal terbaru APMM, KM Pekan yang merupakan hadiah daripada negara Jepun pada tahun lalu.
“KM Pekan akan berlatih bersama dengan kapal JCG Tsugaru PLH 02 yang mempunyai teknologi terkini dalam mengesan bot-bot laju yang digunakan oleh lanun untuk menyerang dan menahan kapal-kapal tangki sebelum mereka mencuri minyak yang dibawa oleh kapal tersebut,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan APMM, agensi itu berkata Tsugaru selamat tiba di Pelabuhan Kuantan pada 10 pagi Khamis dari Chenai, India selepas berlepas dari Pelabuhan Hakodate, Jepun pada 28 Disember lalu.
Sebelum ke Kuantan, kapal berkenaan berada di Chennai, dan perairan Teluk Bengal untuk misi yang sama, demikian menurut kenyataan media oleh JCG seperti yang disiarkan oleh laman web Seatrade Maritime News.
"JCG telah menghantar kapal dan pesawat peronda ke perairan Asia Tenggara dan di tempat lain yang bertujuan sebagai pegawasan tindak balas melibatkan aktiviti pelanunan sejak tahun 2000, dan bertujuan untuk menggalakkan hubungan dengan pelbagai negara dalam mewujudkan perairan Indo-Pacific yang bebas, terbuka dan selamat - berdasarkan kepada kedaulatan undang-undang, " kata JCG dalam kenyataannya itu.
Dalam pada itu, APMM dalam kenyataannya berkata, “Latihan bersama antara Maritim Malaysia dan JCG memfokuskan kepada usaha memerangi jenayah pelanunan dan rompakan di laut serta latihan mencari dan menyelamat di laut (MSAR)”.
"Insiden rompakan oleh lanun di perairan sekitar Kuantan, Zainin menegaskan sekumpulan enam hingga tujuh lelaki lengkap bersenjata telah menahan kapal tangki Thailand pada kira-kira jam 9 malam.
“Lanun tersebut bertindak mengikat kapten dan kesemua anak kapal serta memusnahkan peralatan sistem amaran keselamatan kapal,” tambahnya.
Menurutnya, lanun tersebut mengancam untuk mencederakan anak kapal jika mereka tidak mengikut arahan. Walaubagaimanapun, kesemua anak kapal tidak dicederakan.
“Kumpulan lanun itu kemudian menghubungi kapal lain dan berkumpul di lokasi yang ditetapkan dan memindahkan minyak ditengah laut menggunakan pam kapal tangki ke kapal lain dengan anggaran pemindahan antara enam hingga tujuh jam melibatkan 3,500 tan bahan api,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kumpulan lanun berkenaan juga merompak barang bernilai yang dibawa oleh anak kapal selepas proses pindah minyak selesai dan merosakkan navigasi kapal untuk melambatkan kapal dikesan pihak berkuasa. Kemudian, kumpulan itu melarikan diri dengan menggunakan bot lain.
Mengenai latihan dengan JCG, Zainin berkata Tsugaru merupakan antara aset terbesar milik agensi Jepun dengan kekuatan 53 orang anak kapal manakala APMM pula mengerakkan 200 pegawai dan anggota maritim bagi latihan tersebut.
Katanya, ini merupakan latihan ketiga APMM dengan JCG, dengan yang pertama pada 2013 juga di Kuantan manakala yang kedua pada 2016 di Kota Kinabalu, Sabah.
Perdana Menteri Najib Razak semasa majlis pelancaran kapal KM Bagan Datuk berkata APMM telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sejak penubuhannya 11 tahun lalu dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin.
Katanya, sebelum penubuhan agensi tersebut banyak berlaku aktiviti pelanunan di Selat Melaka di mana pada tahun 2000 sahaja, sebanyak 57 kes pelanunan ke atas kapal dagang telah dilaporkan berlaku.
“Sejak APMM ditubuhkan pada tahun 2005 dan operasi pemantauan dijalankan, aktiviti pelanunan semakin menurun. Pada tahun 2009 iaitu selepas empat tahun penubuhan agensi itu, tidak ada berlakunya sebarang kejadian pelanunan kecuali dua kes pada tahun 2011 dan masing-masing satu kes pada 2014 dan 2015, dan tahun lepas tidak ada kejadian tersebut di kawasan Selat Melaka,” kata Najib dengan menambah agensi itu bermula dengan hanya 59 buah kapal.