Pegawai APMM cedera ditetak nelayan Vietnam ceroboh perairan negara
2023.07.06
Kuala Lumpur
Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cedera parah selepas ditetak menggunakan parang oleh nelayan Vietnam dalam kejadian di perairan Malaysia, menurut pihak berkuasa Malaysia pada Khamis.
Insiden berkenaan dikatakan berlaku pada Rabu ketika sepasukan anggota agensi pengawal pantai tersebut menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang didakwa menceroboh perairan Malaysia di Laut Cina Selatan, kata seorang jurucakap APMM.
“Ekoran serangan tersebut, anggota penguatkuasa telah bertindak melepaskan tembakan dan menyebabkan tiga nelayan Vietnam cedera di tangan kiri serta paha mereka,” kata jurucakap APMM Muhammad Iqbal Manaf Isha kepada BenarNews pada Khamis.
Vietnam mempunyai tuntutan meluas terhadap kawasan perairan di Laut China Selatan sehingga mencecah wilayah Malaysia dan Filipina, sementara Indonesia sebelum ini juga pernah menahan dan memusnahkan berdozen bot dari Vietnam yang dituduh menceroboh dan menangkap ikan secara haram di kawasan perairannya.
"Insiden berkenaan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan ketika Leftenan Madya Shakir Zufayri Azizul, 27, dan 18 anggota lain menjalankan satu operasi lebih kurang 148 batu nautika dari Kuala Terengganu," kata Muhammad Iqbal sambil menambah yang operasi itu dijalankan bertujuan menghalang aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
"Semasa operasi tersebut, pasukan APMM berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang membawa 16 krew kerana menceroboh sempadan maritim Malaysia.
"Bagaimanapun, nelayan di atas bot berkenaan bertindak agresif dengan menyerang Leftenan Madya Shakir Zufayri Azizul dan menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah di kepala, dan susulan daripada itu, anggota penguatkuasa telah bertindak melepaskan tembakan, " kata Muhammad Iqbal.
Kesemua mereka yang cedera termasuk Leftenan Madya Shakir Zufayri Azizul dan nelayan Vietnam berkenaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuala Terengganu menggunakan helikopter bagi mendapatkan rawatan.
Jurucakap APMM itu berkata Shakir Zufayri menerima sejumlah 29 jahitan di kepala dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Siasatan awal APMM mendapati bahawa bot nelayan Vietnam itu tidak mempunyai lesen dan permit menangkap ikan.
"Mereka tidak ada permit, dan seperti kebiasaan kes pencerobohan, bot mereka tidak mempunyai maklumat pengenalan. Namun, kita dapat mengenali berdasarkan ciri-ciri bot mereka yang amat berbeza berbanding bot tempatan.
"Tidak ada senjata api ditemui di atas bot tersebut; hanya senjata tajam," kata Muhammad Iqbal.
Kesemua nelayan asing tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen. Nelayan lain yang berada di atas bot serta bot mereka akan diserahkan kepada pejabat maritim di Kuala Terengganu untuk siasatan.
"Kedutaan Vietnam telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dengan segera, kerana implikasi kejadian yang melibatkan kecederaan seorang pegawai APMM," kata Muhammad Iqbal.
Ditanya mengenai identiti warga Vietnam terbabit, agensi itu menyatakan bahawa ia masih terlalu awal untuk mendedahkan maklumat berkenaan.
BenarNews telah menghubungi Kedutaan Vietnam bagi mendapatkan komen, tetapi sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang jawapan diterima.
Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Filipina telah terlibat dalam pertikaian mengenai kawasan Zon Ekonomi Eksklusif di Laut Cina Selatan sejak bertahun lalu.
Pihak berkuasa Malaysia telah banyak kali terbabit dalam insiden pertembungan dengan nelayan Vietnam di sekitar kawasan berkenaan, dengan menyaksikan ratusan bot Vietnam ditahan kerana didakwa menceroboh dan menangkap ikan secara haram.
Lebih 3,000 nelayan Vietnam ditahan
Menurut pegawai pemerintah maritim negeri Terengganu, kira-kira 370 buah kapal asing telah ditahan pihak berkuasa di perairan sekitar Pantai Timur Malaysia sejak April lepas, termasuk di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.
"Hampir 3,200 orang warga Vietnam telah ditahan dalam operasi sejak April," kata jurucakap itu kepada BenarNews.
Perairan Pantai Timur Malaysia di Laut China Selatan yang meliputi ketiga-tiga negeri itu merangkumi sekitar 121,398 kilometer persegi dengan jarak pantai 574 kilometer bermula dari Pantai Tok Bali di Kelantan sehingga ke Endau, Rompin di Pahang.
Menurut laporan media, agensi maritim itu telah menahan sebuah bot yang didakwa menceroboh perairan di negeri Terengganu pada minggu lalu, serta merampas hasil yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta (AS$321,853).
Nelayan Vietnam merupakan nelayan asing yang sangat degil dan terus menceroboh perairan Pantai Timur Malaysia, walaupun negara berkenaan sudah mendapat amaran daripada Kesatuan Eropah [EU] berhubung isu itu sejak September 2017.
Mohd. Mizan Mohammad Aslam, seorang profesor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, berkata siri pencerobohan haram sedemikian telah berlaku banyak kali sebelum ini, dan beliau percaya Malaysia perlu mengambil langkah lebih agresif bagi menangani masalah berkenaan.
"Malaysia patut mengambil langkah-langkah agresif bagi melindungi perairan negara. Kita perlu melihat tindakan yang telah diambil Indonesia; mereka meletupkan semua bot haram yang berjaya ditangkap kerana menceroboh perairan mereka.
"Ini kerana perbuatan pencerobohan haram telah menyebabkan Malaysia rugi berbilion ringgit," kata Mizan kepada BenarNews.
Tambah Mizan, selain pentingnya mengambil langkah lebih agresif, Malaysia juga perlu menangani isu aset pihak berkuasa maritim yang ketinggalan zaman.
"Malaysia adalah negara maritim. Insiden terbaru ini adalah contoh bahaya yang dihadapi pihak berkuasa dalam melindungi Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia," kata beliau.
Pada 2017, Suruhanjaya Eropah telah memberikan 'kad kuning' kepada Vietnam sebagai amaran bahawa eksport bahan makanan laut mereka akan dihentikan sekiranya negara itu tidak meningkatkan tahap penguatkuasaan perikanannya.
Susulan daripada amaran tersebut, Vietnam telah menubuhkan satu jawatankuasa kebangsaan bagi menangani masalah itu pada 2019.
Namun, masalah penangkapan ikan secara haram masih berterusan - dengan Vietnam dianggap sebagai negara keempat yang paling teruk melanggar IUU (penangkapan ikan yang tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak terkawal) di Asia, demikian menurut Indeks IUU yang dikeluarkan oleh Inisiatif Global Bagi Menangani Jenayah Rentas Sempadan Terancang yang berpusat di Geneva.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.