Pemuda Malaysia Ditahan Sekembali Dari Turki

Staf BeritaBenar
2015.12.11
151211-MY-AQSA620 Seorang bekas penuntut Malaysia di sebuah kolej di Kaherah, Mesir, ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 11 Disember 2015.
Ehsan Polis DiRaja Malaysia

Seorang bekas penuntut  Malaysia  di sebuah kolej di Kaherah, Mesir,  ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin lalu, kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan di Syria.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, pemuda berusia 19 tahun itu yang berasal dari Perak, ditahan anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM)  sekembalinya dari Syria menerusi penerbangan dari Turki.

“Suspek adalah bekas pelajar sebuah kolej di Kaherah yang direkrut untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria pada pertengahan 2014 selepas berinteraksi melalui Facebook dengan seorang anggota pengganas lain di Syria.

“Pada September 2014, pelajar berkenaan telah menyusup masuk ke Syria melalui Turki untuk menyertai kumpulan Jund Al-Aqsa, iaitu sebuah kumpulan gabungan Al-Qaeda yang aktif berjuang di Syria,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, lewat petang Jumaat.

Menurut laman web Terrorism Research & Analysis Consortium, Jund al-Aqsa atau ‘The Soldiers of Aqsa’ adalah kumpulan yang mempunyai pejuang asing termasuk dari Asia Selatan, selain rakyat Syria, yang bertempur menentang tentera kerajaan Syria. Penempatan mereka di sekitar Idlib dan Hamar.

‘Latihan ketenteraan’

Khalid menjelaskan, pelajar itu dipercayai telah menjalani latihan ketenteraan selama sebulan di beberapa kem kumpulan penganas di Hamar dan Idlib di Syria, selain terlibat dalam 100 operasi ketenteraan bersama-sama kumpulan itu.

“Sepanjang latihan ketenteran di kem-kem berkenaan, suspek telah didedahkan dengan kemahiran mengendalikan senjata api seperti AK47, rocket-propelled grenade, machine gun, senjata anti kereta kebal dan bom tangan, ” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, pelajar itu ditahan di bawah BAB VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Setakat ini, polis telah menahan lapan rakyat Malaysia yang kembali ke negara itu selepas menyertai kumpulan pengganas di Syria, katanya.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamad pada Oktober lepas, seramai 128 individu yang dikaitkan dengan kegiatan ‘jihad’ di Iraq dan Syria telah ditahan mengikut undang-undang di Malaysia dan 69 rakyat Malaysia dilaporkan telah ke Timur Tengah untuk menyertai IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.