Wanita Malaysia Dibebaskan Kumpulan Abu Sayyaf
2015.11.09
Kumpulan Abu Sayyaf, kumpulan penjenayah dari Filipina, yang dipercayai menculik dua rakyat Malaysia di Sandakan, Sabah pada Mei lepas, telah membebaskan seorang daripada mereka, malam Ahad.
Thien Nyuk Fun, 50, dibebaskan kumpulan itu selepas rundingan selama beberapa bulan dan usaha bersepadu pihak berkuasa Malaysia.
Namun, kumpulan bersenjata itu tidak membebaskan Bernard Then Ted Fen, 39, yang turut diculik mereka dalam serbuan di Restoran Ocean Seafood di Sandakan pada 14 Mei lalu.
Dalam insiden itu empat lelaki dipercayai kumpulan Abu Sayyaf telah menculik dua rakyat Malaysia itu, di sebuah restoran makanan laut di Sandakan.
Kumpulan Muktadil Bersaudara dari satu cabang dalam kumpulan Abu Sayyaf dipercayai menculik kedua-dua mereka, yang kemudiannya menuntut RM30 juta bagi pembebasan mereka itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Jalaluddin Abdul Rahman berkata, Thien dibebaskan kira-kira 10 malam Ahad dan selamat tiba di Sandakan pada pagi Isnin, setelah mengharungi perjalanan menaiki bot selama enam jam dari Jolo, Sulu di Filipina.
"Keadaan Thien sihat tetapi lemah dan letih kerana perjalanan yang jauh,” katanya pada Isnin.
Ketua Menteri Sabah Musa Aman turut mengesahkan mengenai pembebasan wanita berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin, seperti dilapor agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Akhbar The Star melaporkan selepas kedua-duanya diculik dari restoran itu, mereka diserahkan kepada seorang komander Abu Sayyaf, Indang Susukan.
Thien, pengurus restoran makanan laut itu, dan Bernard Then yang merupakan pelanggan restoran berkenaan, telah diculik kumpulan bersenjata berkenaan dalam satu serbuan di premis itu.
“Bayar wang tebusan’
Media pada Ogos lepas telah melaporkan kumpulan Abu Sayyaf telah menuntut wang tebusan untuk melepaskan pasangan itu.
Ditanya sama ada pembebasan Thien dibuat selepas membayaran wang tebusan, Ketua Polis Sabah itu, menafikan pembayaran wang tebusan bagi pembebasan pengurus restoran seperti yang dilaporkan oleh media luar negara.
“Setakat yang saya tahu, tidak ada wang tebusan dibayar. Itu hanya khabar again,” kata Jamaluddin kepada akhbar The Malay Mail pada lewat Isnin
Menurut laporan The Straits Times, wang tebusan sebanyak 30 juta peso (RM7.8 juta) telah dibayar untuk melepaskan Thien.
Dalam pada itu, The Star melaporkan, sumber perisikan Filipina berkata, Thien dibebaskan oleh seorang komander Abu Sayyaf, Al Habsy, dari kawasan Indanan di Jolo pada kira-kira 11 malam Ahad.
Naib Gabenor Sulu, Abdusakur Tan dikatakan telah membantu rundingan pembebasan Thien melalui daripada seorang pembantu keselamatan beliau.
Perunding bagi kedua-dua keluarga Thien dan Bernard Then berharap mereka berdua dapat dibebaskan bersama-sama namun, rundingan itu menemui jalan buntu apabila kumpulan lain Abu Sayyaf telah merumitkan lagi usaha mendapatkan pembebasan lelaki itu.
Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila mangsa yang diculik oleh satu kumpulan dalam Abu Sayyaf akhirnya dibebaskan oleh kumpulan lain pergerakan itu, lapor akhbar itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Thien enggan menemui pihak media dan hanya mahu berehat dan meluangkan masa bersama-sama keluarganya selepas hampir enam bulan melalui pengalaman pahit diculik dan dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf.
"Dia letih tetapi sihat," kata seorang saudara Thien.
Thien, seorang ibu tunggal, hanya mahu bersama-sama dua anak lelaki dan ibunya.
Tinjauan di restoran Ocean King yang dimiliki keluarga Thien di IJM Batu 6 di Sandakan malam Isnin mendapati Thien berkumpul bersama-sama keluarganya selain bertemu dengan para pekerja restoran itu.
Restoran itu juga dibuka semula pada Isnin selepas tidak beroperasi sejak insiden penculikan itu berlaku, lapor Bernama.
Thien turut dibawa menjalani pemeriksaan di sebuah klinik swasta di Sandakan selepas pulang ke pangkuan keluarganya.