Kuala Lumpur Tingkatkan Kawalan Keselamatan
2015.11.16
Malaysia yang menjadi tuan rumah Sidang Kemucak ASEAN Ke-27 minggu ini telah mengambil langkah untuk mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan, termasuk di semua pintu masuk negara, berikutan serangan pengganas di Paris pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, semua cawangan dan bahagian di dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sudah mempertingkatkan pemantauan dengan cara meneliti semula perancangan keselamatan sepanjang persidangan.
"Kami tidak akan mengabaikan aspek kawalan keselamatan," kata Khalid seperti dilapor oleh akhbar tempatan The Star.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan sidang-sidang berkaitan, yang dihoskan oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, akan berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur selama lima hari mulai Rabu ini.
Siri mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 akan berlangsung ketika masyarakat dunia masih terkejut dengan serangan pengganas di Paris pada Jumaat lepas yang mengorbankan 129 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Sidang itu akan dihadiri oleh pemimpin sepuluh negara anggota ASEAN dan akan dihadiri beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri India Narendra Modi.
Perdana Menteri Najib Razak akan mempengerusikan persidangan yang dijangka membincangkan usaha menentang keganasan dan ekstremisme, akan juga memberi tumpuan kepada isu Laut China Selatan, pergerakan migran secara tidak teratur, dan masalah jerebu bermusim yang menjejas rantau ASEAN.
Dalam pada itu, Komander Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Hazani Ghazali berkata barisan pemimpin dunia yang menghadiri Sidang Kemuncak itu akan dikawal ketat oleh UTK Bukit Aman.
Beliau berkata lebih 300 pegawai dan anggota akan bertugas sepanjang sidang kemuncak itu,
"Kami melatih anggota kami dalam pelbagai aspek termasuk kemahiran memandu dan bagaimana untuk menangani ancaman keganasan. Kami juga dilatih untuk pemindahan segera sekira berlaku kecemasan," katanya.
P. Sundramoorthy, pakar jenayah dan profesor di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang berkata, negara ASEAN akan dapat membendung ancaman keganasan selagi ia mempunyai matlamat yang bersepadu.
"Sel-sel individu dalam IS kini, menyedari bahawa adalah sukar bagi mereka untuk menyertai kumpulan militan itu di Syria dan Iraq, dengan itu mereka cuba menggerakkan penubuhan kumpulan Negara Islam di negara lain di dunia, termasuk negara anggota kumpulan itu sendiri, " kata Sundramoorthy kepada BeritaBenar pada Isnin.
Bagaiamanpun, katanya, ancaman IS tidak boleh dipandang ringan.
‘Lima ditahan’
Sementara itu, Khalid turut mengumumkan penahanan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan di Malaysia pada Isnin.
Beliau berkata, empat suspek yang ditahan adalah rakyat tempatan manakala seorang lagi warga Indonesia dan kesemua mereka yang berusia antara 22 dan 40 tahun itu, ditahan di Johor dan Selangor antara 9 dan 13 November lepas.
“Tiga daripada mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam manakala dua lagi mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang dikenali sebagai ‘Imam Mahdi’.
Beliau berkata, mereka yang ditahan itu, ada diantaranya pernah ke Syria untuk menjadi anggota IS dan juga merupakan bekas anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiah dari sel Al Ghuraba yang pernah ditahan di Karachi, Pakistan pada tahun 2003.
“Kesemua mereka menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berhubung dan berinteraksi,” katanya.
Usaha untuk mengesan dan memburu individu yang terlibat dalam kegiatan keganasan turut disertai oleh Jabatan Imigresen, dimana kawalan keselamatan di kesemua pintu masuk negara diperketatkan.
Ketua Pengarah Imigresen Mustafa Ibrahim berkata, pihaknya mengesan individu berkenaan berdasarkan senarai nama yang diperoleh daripada PDRM.
"Kita kesan mereka menerusi sistem biometrik yang mengikut senarai nama yang diperoleh dan berdasarkan kes individu yang telah disenaraihitamkan,” katanya pada Isnin.
Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini