Malaysia dijangka hidupkan blok ASEAN 2025 ketika sikap berkecualinya menjadi persoalan

Mengemudi persaingan kuasa besar dengan lancar dalam senario geopolitik semasa akan menjadi tugas mencabar, kata penganalisis.
Iman Muttaqin Yusof
2024.12.23
Kuala Lumpur
Malaysia dijangka hidupkan blok ASEAN 2025 ketika sikap berkecualinya menjadi persoalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim (kanan) memegang tukul upacara sambil berjabat tangan dengan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone ketika sesi penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN di Vientiane, Laos, 11 Oktober 2024.
[Athit Perawongmetha/Reuters]

Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 di tengah-tengah harapan serantau bahawa ia akan memulihkan kerelevanan blok Asia Tenggara itu dalam keadaan berlaku pergolakan global pada masa ini, kata penganalisis.

Kuala Lumpur mungkin berjaya tetapi terdapat satu isu utama iaitu persoalan tentang sikap berkecualinya di tengah-tengah persaingan kuasa besar.

“Inklusiviti dan Kemampanan,” yang merupakan tema Malaysia bagi jawatan pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) selama setahun, menunjukkan kedua-dua elemen itu menjadi tumpuan kepada keutamaan rantau ini, kata Elina Noor, felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace.

“Terdapat harapan tertentu terhadap Kepengerusian ASEAN Malaysia, tetapi terpulang kepada Malaysia untuk memenuhi jangkaan tersebut dengan mendorong agenda yang dirancang bersama kesemua [sembilan] negara anggota lain,” katanya kepada BenarNews.

Tambahan pula, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim telah memberikan isyarat bahawa beliau “berhasrat" mahu ASEAN kembali mempunyai kebebasan untuk mempelbagaikan penglibatan strategiknya dan tidak ditarik ke mana-mana arah tertentu di antara kuasa besar, katanya.

Meskipun terdapat persepsi bahawa Anwar mempunyai kecenderungan terhadap China dan Rusia berbanding Amerika Syarikat, beliau memberikan penekanan kepada kerjasama ASEAN dalam dunia yang semakin terpecah.

“Ketika ketegangan global semakin meningkat – daripada persaingan strategik kepada gangguan iklim – semangat kerjasama ASEAN tetap menjadi perkara yang penting,” tulis Perdana Menteri Anwar dalam kolum di Project Syndicate, laman web urusan global yang diterbitkan pada 16 Disember lalu.

“Pilihan ini jelas: ASEAN mesti bergerak ke hadapan dalam kesatuan atau menghadapi kuasa memecah belah yang semakin meningkat di seluruh Asia dan lebih luas,” katanya.

MY-2.JPG
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim (bawah kanan) dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (atas kiri), berbual secara santai sebelum sesi bergambar bersama para pemimpin sambil diperhatikan oleh Presiden Vietnam, Luong Cuong (atas kanan), dan bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru, 16 November 2024. [Leah Millis/Reuters]

ASEAN sebagai kuasa pertengahan

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar juga akan mentakrifkan peranan Malaysia sendiri sebagai kuasa pertengahan, kata penganalisis.

Terdapat penjelasan berbeza mengenai apa yang membentuk kuasa pertengahan, tetapi secara umum ia merujuk kepada negara-negara yang bukan kuasa besar tetapi mempunyai pengaruh besar dalam hubungan antarabangsa.

Penglibatan diplomatik Anwar, termasuk lawatan ke Amerika Selatan bagi menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak G20 mencerminkan usaha Malaysia untuk meningkatkan kedudukannya di pentas global dan rancangannya untuk ASEAN pada 2025, kata Yanitha Meena Louis, penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Beliau secara konsisten memberikan fokus kepada “ASEAN dan mekanisme ASEAN dengan tujuan untuk menjadikannya lebih sesuai bagi menggerakkan usaha dalam negara-negara Selatan Global,” kata Yanitha kepada BenarNews.

“Tahun depan menjadi penentu bagi ASEAN dalam erti kata bahawa kita akan dapat melihat di mana pertubuhan serantau itu berada dan berharap untuk melihatnya dalam negara-negara Selatan Global, satu gabungan strategik yang semakin penting,” kata Yanitha.

MY-3.JPG
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kiri), menghadiri mesyuarat dua hala dengan Presiden China, Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun, 29 Jun 2019. [Kevin Lamarque/Reuters]

Anwar telah menegaskan bahawa Malaysia tidak beralih ke arah timur dan kekal tidak berpihak, tetapi ada yang mempersoalkan beberapa lawatannya ke Beijing sejak menjadi perdana menteri dan jemputannya kepada Presiden Rusia Vladimir Putin bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Hazree Mohd Turee, pengarah urusan firma penasihat Bower Group Asia menyatakan Malaysia dan dua negara anggota ASEAN lain, Indonesia dan Thailand, yang bekerjasama dengan kumpulan ekonomi BRICS diterajui China dan Rusia mungkin memberikan gambaran bahawa blok Asia Tenggara itu mengambil sikap berpihak.

BRICS ialah kumpulan ekonomi yang merangkumi Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

“Walaupun Anwar bercakap tentang berkecuali, persepsi beliau adalah sebaliknya,” kata Hazree kepada BenarNews.

“Singapura dan Filipina [anggota ASEAN], misalnya, mempunyai hubungan kuat dengan AS… dan mungkin merasa tidak selesa,” tambah Hazree.

MY-4.JPG
Sejumlah wang kertas dolar AS dikira oleh seorang juruwang di sebuah bank di Westminster, negeri Colorado, Amerika Syarikat, 3 November 2009. [Rick Wilking/Reuters]

"Anwar perlu memastikan bahawa ASEAN bukan sahaja bersikap berkecuali malah perlu dilihat sebagai berkecuali," kata pakar Asia Tenggara, Matthijs van den Broek.

Sebagai contoh, Presiden AS yang baru dipilih, Donald Trump telah mengancam untuk mengenakan tarif yang besar terhadap negara-negara yang beliau percaya cuba melemahkan nilai dolar AS. Kenyataannya dibuat selepas timbul spekulasi bahawa BRICS merancang untuk mengeluarkan mata wang sendiri.

"China dan AS masing-masing merupakan antara rakan perdagangan dan pelaburan asing terbesar ASEAN. Malaysia sebagai pengerusi perlu meningkatkan usaha diplomatiknya untuk tidak mengenepikan mana-mana pihak."

Laut China Selatan dan Myanmar

Dalam pada itu, pendekatan Malaysia terhadap pertikaian di Laut China Selatan dengan beberapa negara ASEAN mempunyai tuntutan bertindih akan menguji kemahiran diplomatiknya, kata penganalisis.

Berbeza dengan Filipina, Malaysia tidak menggunakan pendekatan keras terhadap China tetapi ia mempunyai dua kemungkinan sama ada dapat membantu atau mengekang usaha kerjanya di Laut China Selatan, tambah mereka.

“Malaysia boleh menyediakan peluang dan platform bagi ASEAN dan China untuk melakukan lebih banyak penglibatan dalam menyelesaikan rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan,” kata Abdul Rahman Yaacob dari badan pemikir Australia, Lowy Institute kepada BenarNews.

“[Tetapi] China mungkin tidak bersedia menerima Malaysia sebagai pengantara kerana Beijing lebih suka berurusan secara langsung dengan Manila,” katanya sambil menambah Filipina dan Vietnam mungkin meminta bantuan Amerika Syarikat membabitkan pertikaian berhubung tuntutan bertindih itu.

MY-5.JPG
Kapal Pengawal Pantai China melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal Filipina yang dalam perjalanan untuk misi bekalan semula di Second Thomas Shoal di Laut China Selatan, 5 Mac 2024. [Adrian Portugal/Reuters]

Berkenaan konflik serantau lain, perang saudara di negara anggota ASEAN Myanmar, sesetengah pemerhati mempersoalkan keputusan Anwar melantik bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang dianggap pro-tentera sebagai penasihat tidak rasmi ASEAN.

Anwar turut mencadangkan agar diwujudkan kumpulan penasihat bekas pemimpin ASEAN untuk menangani situasi di Myanmar.

Sejak rampasan kuasa tentera di Myanmar pada Februari 2021, hampir 6,000 orang telah terbunuh dan lebih 21,000 kekal dalam tahanan selain ramai lagi ditahan tanpa diberikan kebenaran untuk berkomunikasi, menurut pakar PBB.

Profesor sains politik di Universiti Delaware, AS, Alice Ba berkata pelantikan Thaksin memberikan isyarat bahawa Malaysia berusaha untuk memecahkan kebuntuan di Myanmar.

“Terdapat perpecahan yang ketara dalam ASEAN tentang cara berurusan dengan Tatmadaw [junta Myanmar], tetapi langkah ini menunjukkan bahawa terdapat keinginan untuk bergerak melepasi kebuntuan semasa dan ia mungkin mengatasi kebimbangan tersebut (pelantikan Thaksin),” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, Kamarulnizam Abdullah, profesor pengajian antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia menganggap pelantikan Thaksin bukan suatu langkah yang baik.

“Kenyataan beliau (Anwar) mengenai pelantikan Thaksin telah mendapat reaksi sinis di peringkat serantau dan domestik,” kata Kamarulnizam kepada BenarNews.

“Anwar perlu bermain kadnya dengan betul.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.