Duta Indonesia: ASEAN Tidak Benarkan Ketua Junta Myanmar Hadiri Sidang Kemuncak
2021.10.15
Jakarta & Washington
Menteri-menteri luar negeri Asia Tenggara pada Jumaat memutuskan untuk tidak membenarkan ketua junta Myanmar menghadiri sidang kemuncak ASEAN yang akan datang, kata seorang diplomat Indonesia mengenai langkah yang jarang dilakukan oleh badan serantau itu, yang sebelum ini dikritik kerana tindakan teragak-agaknya susulan rampasan kuasa di Myanmar.
Diplomat tertinggi bagi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, yang dianggotai 10 negara itu, membuat keputusan tersebut dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan secara maya, selepas kerajaan tentera Myanmar minggu ini enggan membenarkan utusan khas ASEAN untuk bertemu dengan semua pihak di negara itu termasuk pemimpin pembangkang yang dipenjarakan.
Selepas pertemuan itu pada Jumaat, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata bahawa sebagai negara anggota ASEAN, Myanmar tidak menunjukkan sebarang kemajuan dalam melaksanakan konsensus lima perkara badan serantau itu untuk membawa negara tersebut kembali kepada keamanan dan demokrasi.
"Indonesia mengusulkan [bahawa] penyertaan Myanmar dalam mesyuarat sidang kemuncak itu tidak boleh diwakili di peringkat politik sehinggalah Myanmar dapat memulihkan demokrasi melalui proses inklusif," kata Retno dalam catatannya di Twitter.
BenarNews bertanya kepada duta Indonesia bagi ASEAN Ade Padmo Sarwono sama ada anggota badan serantau itu memutuskan untuk tidak menjemput Jeneral Kanan Min Aung Hlaing - ketua junta Myanmar - ke sidang kemuncak pada 26 hingga 28 Oktober ini.
"Baca catatan ciapan Retno," jawabnya.
BenarNews bertanya lagi kepada Ade sama ada anggota lain ASEAN turut berpindirian serupa seperti Retno.
"Ya," jawabnya.
Beberapa jam sebelum diplomat tertinggi rantau itu bertemu dalam mesyuarat maya mereka, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah memberi amaran bahawa Kuala Lumpur akan bertegas supaya Min Aung Hlaing dikecualikan daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN, jika ia perlu dilakukan.
"Pendirian Malaysia jelas dan saya ingin mengulangi bahawa jika tidak ada perkembangan yang signifikan dalam pelaksanaan konsensus lima perkara itu, ketua junta yang menerajui negara berkenaan tidak boleh diundang ke sidang kemuncak ASEAN," katanya kepada pemberita.
Pemimpin junta itu telah bersetuju dengan konsensus berkenaan semasa menghadiri mesyuarat pemimpin ASEAN pada April lalu di Jakarta, yang diadakan untuk membincangkan keadaan di Myanmar selepas beliau mengetuai pihak tentera melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari dengan menggulingkan kerajaan awam yang dipilih rakyat.
Min Aung Hlaing telah menguji kesabaran negara-negara anggota ASEAN yang lain sejak menerajui rampasan kuasa serta memenjarakan Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain kerajaan Liga Nasional untuk Demokrasi. Selepas lebih lapan bulan sejak kejadian itu, pasukan keselamatan Myanmar telah menyebabkan hampir 1,180 orang terbunuh, yang kebanyakan daripada mereka adalah penunjuk perasaan anti rampasan kuasa.
Akhirnya, ASEAN terpaksa memberikan tindak balas paling tegas terhadap junta Myanmar. Badan serantau 10 negara itu tidak segera mengeluarkan kenyataan selepas mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat.
Beberapa laman berita pada Jumaat memetik sumber tanpa nama, yang mengesahkan apa yang diperkatakan oleh diplomat Indonesia, Ade. Beberapa media melaporkan bahawa menteri luar yang dilantik oleh junta Myanmar, Wunna Maung Lwin, menghadiri mesyuarat pada Jumaat itu.
Beberapa agensi berita, yang juga memetik sumber tanpa nama, melaporkan bahawa ASEAN akan mengundang "tokoh bukan politik" untuk mewakili Myanmar pada mesyuarat itu.
Mesyuarat tergempar menteri luar itu dianjurkan oleh Brunei, yang pada masa ini memegang jawatan pengerusi badan serantau itu.
Sehingga kini, para pegawai Myanmar yang dilantik oleh tentera telah menyertai semua mesyuarat sub ASEAN, susulan rampasan kuasa di negara itu. Pihak junta juga menyiarkan secara meluas foto-foto mesyuarat maya ASEAN di media-media negara dan media sosial, sebagai langkah untuk mendapatkan keabsahan.
Penganalisis politik dan kumpulan hak asasi menyatakan bahawa ia bertujuan mendapatkan pengiktirafan bagi kerajaan tentera itu.
Jurang kredibiliti
Atas sebab ini dan kerana kelewatan dalam membuat keputusan, ASEAN kini berada di ambang kehilangan kredibilitinya.
Inilah “akibat daripada tindakan teragak-agak dan tidak menentu dalam persekitaran geopolitik yang rumit dan berkembang pesat," kata bekas Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa kepada The Jakarta Post baru-baru ini.
Badan serantau itu berfungsi mengikut konsensus, yang menyebabkan para pengkritik menganggapnya sebagai tidak berkesan. Beberapa diplomat di rantau itu menyatakan bahawa Brunei, Kemboja, Laos, Thailand menghalang tindakan tegas dikenakan terhadap junta Myanmar.
Badan serantau itu mengambil masa lebih seratus hari untuk memutuskan mengenai utusan khas ke Myanmar. Dalam tempoh itu, ASEAN juga mengambil ringan tentang resolusi PBB yang meminta supaya embargo senjata dikenakan ke atas Myanmar.
Sepanjang tempoh ketidaktentuan itu, pasukan keselamatan Myanmar terus melakukan tindakan keras dengan menembak dan membunuh penunjuk perasaan anti rampasan kuasa.
Pada Khamis, dua penganalisis memberitahu BenarNews bahawa mereka tidak menyangka bahawa negara-negara anggota ASEAN akan bersetuju untuk menghalang kehadiran Min Aung Hlaing di sidang kemuncak itu - atau sekurang-kurangnya tidak bersetuju dengan perkara itu dalam mesyuarat tergempar tersebut.
Namun, sejak dua minggu lalu, Malaysia, Indonesia dan Filipina dengan jelas menunjukkan bahawa ia tidak mahu membenarkan pemimpin Myanmar yang melakukan rampasan kuasa menghadiri sidang kemuncak itu kerana beliau enggan memberi kerjasama kepada utusan khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Yusof.
Sementara itu, sejumlah negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom pada Jumaat mengeluarkan "Kenyataan Bersama Menyokong Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar."
Mereka menyuarakan "komitmen untuk menyokong usaha beliau bagi memudahkan Myanmar melaksanakan konsensus lima perkara itu secara menyeluruh dan segera, seperti yang diputuskan oleh para pemimpin ASEAN dan Ketua tentera Myanmar."
"Kami menekankan sokongan kepada objektif kunjungan Dato Erywan termasuk hasratnya untuk bertemu semua pihak yang selaras dengan Konsensus Lima Perkara, dan menyeru kepada rejim berkenaan supaya mempermudahkan akses beliau. Kami mengulangi sokongan kepada peranan Utusan Khas berkenaan untuk bergerak ke hadapan, dan bersedia untuk menyokong usaha ASEAN merentasi Pengerusinya,” kata kenyataan itu.
Langkah tegas ASEAN, walaupun selepas berbulan-bulan lamanya, untuk memberi teguran keras kepada junta Myanmar, menerima pujian di media sosial.
“ASEAN nampaknya bertindak melebihi jangkaan saya. Perkembangan yang sangat positif bagi rakyat Myanmar,” kata Mizanur Rahman iaitu pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Sekuriti & Bursa Bangladesh dalam catatannya di Twitter.
The Civil Disobedience Movement, yang diketuai oleh para profesional di Myanmar, turut mengucapkan terima kasih kepada ASEAN.
"Anda membuat keputusan yang tepat untuk tidak mengundang ketua pengkhianat Min Aung Hlaing. Beliau melakukan pengkhianatan terhadap negara dan beliau adalah pengganas,” kata kumpulan itu dalam catatan ciapan itu.
"Beliau tidak layak berada dalam mesyuarat ASEAN."
Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.