Selepas 102 Hari, ASEAN Akhirnya Lantik Utusan Khas Ke Myanmar
2021.08.04
Jakarta, Indonesia
ASEAN pada Rabu melantik diplomat tertinggi Brunei sebagai utusan khas ke Myanmar di tengah-tengah perbalahan berhubung siapa yang perlu dinamakan untuk menyandang peranan itu, selepas lebih 100 hari setelah badan serantau Asia Tenggara itu bersetuju melantik seorang utusan khas bagi membantu menyelesaikan krisis pasca rampasan kuasa di negara bergolak itu.
Pemerhati dan penyokong hak asasi manusia agak ragu dengan pelantikan menteri luar kedua Brunei Darussalam, Erywan Yusof, sebagai utusan khas itu. Ada yang membangkitkan mengenai ketidakcekapan beliau dan kurangnya ketelusan dalam berurusan dengan Myanmar semasa Brunei menjadi pengerusi ASEAN tahun ini.
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara telah menugaskan Erywan untuk melaksanakan konsensus lima perkara, yang telah dipersetujui badan serantau tersebut pada sidang kemuncak khas di Jakarta pada akhir April lalu semasa ia membincangkan mengenai rampasan kuasa tentera 1 Februari di Myanmar serta keganasan yang berlaku selepas itu, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat menteri luar ASEAN yang tidak dijadualkan.
Erywan "akan memulakan tugasnya di Myanmar termasuk untuk membina kepercayaan dan keyakinan dengan memperoleh akses penuh kepada semua pihak yang berkenaan serta memberikan garis masa yang jelas mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara sebelum Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN diadakan", menurut kenyataan itu, yang merujuk kepada mesyuarat yang dijadualkan pada September ini.
Badan serantau dianggotai 10 negara itu dikritik kerana mengambil masa lebih daripada tiga bulan selepas sidang kemuncak khas Jakarta untuk menentukan siapa yang akan dilantik bagi menyandang peranan utusan khas itu.
Erywan ialah antara dua pegawai Brunei yang mewakili ASEAN ketika mereka mengunjungi Naypyidaw pada Mei untuk bertemu dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, perancang rampasan kuasa itu, dan mengemukakan nama-nama calon utusan khas itu kepada beliau.
Kedua-dua pegawai itu dikritik berikutan satu kenyataan, yang dianggap kurang baik, yang dikeluarkan selepas pertemuan tersebut tetapi ia kemudian dikeluarkan oleh ASEAN daripada paparan laman sesawangnya. Kenyataan mereka merujuk Min Aung Hlaing dengan gelaran yang diberikan sendiri oleh beliau – pengerusi Majlis Pentadbiran Negara - nama rasmi junta Myanmar.
Kenyataan ASEAN itu juga tidak menuntut pembebasan pemimpin awam Myanmar Aung San Suu Kyi, yang kerajaannya digulingkan oleh tentera. Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan bahawa menteri-menteri luar badan serantau itu "mendengar gesaan supaya dibebaskan tahanan politik termasuk rakyat asing."
Kenyataan itu turut "menyuarakan kebimbangan" mengenai "kematian dan keganasan" yang berlaku di Myanmar.
Lebih 900 orang – kebanyakannya penunjuk perasaan anti rampasan kuasa - telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar sejak rampasan kuasa itu berlaku.
Pelantikan utusan khas ASEAN itu dibuat sejurus selepas Washington pada minggu ini menyatakan bahawa ASEAN perlu mempercepatkan rancangannya untuk memulakan dialog dan mengurangkan keganasan di Myanmar terutamanya setelah ketua junta itu melantik dirinya sebagai perdana menteri dan mengumumkan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sehingga 2023. ASEAN juga mengeluarkan kenyataannya dua hari selepas mesyuarat rasmi berjadual menteri-menteri luar badan serantau itu.
Pada sidang kemuncak April, para pemimpin ASEAN - termasuk Min Aung Hlaing - sepakat untuk melantik utusan khas ke Myanmar, mengadakan dialog konstruktif antara semua pihak berkenaan serta utusan khas ASEAN akan mempermudahkan dialog berkenaan selain menggesa supaya dihentikan segera keganasan di negara itu.
'Melegakan'
Namun, perbalahan antara negara-negara anggota ASEAN telah menyebabkan langkah-langkah itu lewat dilaksanakan.
Isu "perbalahan" ini berlanjutan semasa pertemuan diplomat tertinggi ASEAN pada Isnin, yang menyebabkan badan serantau itu menangguhkan pengumumannya mengenai pelantikan utusan khas berkenaan, kata Sidharto Suryodipuro, pengarah kerjasama ASEAN di Kementerian Luar Negeri Indonesia.
"Perenggan terakhir yang melewatkan pengesahan [kenyataan] itu adalah mengenai Myanmar," katanya pada sidang media pada Rabu.
Namun akhirnya, semua anggota ASEAN bersetuju menyokong pelantikan Erywan sebagai utusan khas itu, kata Sidharto, sambil memberitahu adanya "komitmen teguh" bahawa utusan itu "akan diberi akses penuh kepada semua pihak berkenaan di Myanmar."
Semua keputusan ASEAN dibuat secara sepakat, yang menunjukkan bahawa menteri luar Myanmar yang dilantik junta bersetuju memberikan akses penuh kepada semua pihak berkenaan.
Tetapi, pihak junta pernah terbabas dalam melaksanakan konsensus itu, seperti apa yang berlaku selepas sidang kemuncak khas ASEAN pada April apabila Min Aung Hlaing berkata beliau akan melaksanakan konsensus lima perkara itu hanya selepas keganasan berakhir di negaranya.
Penganalisis politik Myanmar, Than Soe Naing, menyuarakan keraguannya tentang siapa yang boleh ditemui oleh utusan khas ASEAN itu kerana pemimpin kerajaan awam yang dipilih kini berada dalam penjara.
"Majlis tentera telah memenjarakan semua pihak berkenaan dan mengemukakan pelbagai pertuduhan terhadap mereka," kata Than Soe Naing kepada Perkhidmatan Myanmar Radio Free Asia (RFA). BenarNews merupakan sekutu RFA.
"Siapa yang akan berunding dengan [ASEAN]? ASEAN boleh membuat cadangan. Tetapi Min Aung Hlaing telah mengabaikan semua cadangan ini, dengan alasan bahawa kestabilan harus dicapai terlebih dahulu."
Sidharto, bagaimanapun, berkata Menteri-menteri ASEAN sepakat dalam pendapat mereka bahawa konsensus itu perlu dilaksanakan "segera" dan "tanpa syarat."
Beliau juga berkata bahawa kenyataan bersama itu bukan untuk memperakukan pemerintahan tentera di Myanmar.
"Sejak rampasan kuasa pada 1 Februari, setiap dokumen rasmi [ASEAN] dimulakan dengan ungkapan" Mesyuarat ...., "dan bukannya dengan" Kami Menteri-menteri," kata Sidharto.
Beliau menarik perhatian kepada penyertaan menteri luar Myanmar yang dilantik junta, Wunna Maung Lwin, dalam mesyuarat pada Isnin. Aktivis pro-demokrasi Myanmar mengecam kehadiran menteri dilantik junta dalam mesyuarat berkenaan.
Namun, "ia melegakan apabila utusan khas Myanmar akhirnya dilantik," kata Eric Paulsen, wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN bagi Hak Asasi Manusia, dalam catatan Twitter beliau.
Seorang pemerhati lain pula mengkritik ASEAN kerana lewat melantik utusan khas ke Myanmar.
“[Pada] ketika ini jelas bahawa masalahnya bukanlah mengenai siapa yang akan menjadi utusan khas. Masalahnya ialah bahawa ASEAN sebenarnya tidak bertindak dengan niat yang baik,” kata Debbie Stothard, penyelaras Rangkaian ASEAN Alternatif mengenai Myanmar, kepada Perkhidmatan Myanmar RFA. "Ia dilakukan selepas seratus hari konsensus lima perkara itu diputuskan."
"Kami belum lagi melihat keganasan dihentikan terhadap orang awam. Sebenarnya, apa yang kita lihat adalah lebih banyak jenayah perang dan jenayah kemanusiaan berlaku di negara itu,” katanya.
‘Brunei tidak telus’
Seorang penganalisis lain, Lina Alexandra, yang merupakan penyelidik kanan bagi hubungan antarabangsa di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di Jakarta, pula mengingatkan supaya tidak meletakkan harapan tinggi susulan keputusan itu.
"Brunei tidak bersikap telus kepada menteri luar yang lain berhubung kunjungannya ke Naypyitaw [pada Mei] serta mengenai proses pelantikan utusan khas itu," katanya kepada BenarNews.
"Nampaknya, mereka membuat terlalu banyak kompromi dengan tentera Myanmar, yang merupakan punca masalah di negara itu."
Erywan dipilih sebagai utusan khas bagi memujuk anggota-anggota ASEAN yang tidak mahu menerima tentang hak asasi, kata Dinna Prapto Raharja, pakar hubungan antarabangsa di Synergy Policies, sebuah badan pemikir yang berpusat di Jakarta.
"Beliau dipilih bukan kerana kemampuannya untuk menangani masalah rumit di Myanmar, tetapi untuk memujuk anggota lain ASEAN yang tidak bersungguh dalam usaha mereka, atau sering menolak usaha untuk mencari penyelesaian yang berakar umbi kepada demokrasi dan hak asasi manusia," katanya kepada BenarNews.
Dinna tidak menyatakan sebarang nama tetapi dalam kalangan anggota badan serantau itu, Kemboja, Laos dan Vietnam adalah negara satu parti dan Brunei pula negara kesultanan.
Pemimpin Thailand Prayuth Chan-o-cha menjadi perdana menteri setelah menerajui rampasan kuasa pada 2014 semasa beliau mengetuai tentera. Bekas jeneral itu mengekalkan jawatan itu apabila memenangi pilihan raya 2019, dengan parti-parti pembangkang mendakwa ia dicemari penipuan pihak tentera.