ASEAN Buat Persiapan Sidang Kemuncak, Namun Junta Myanmar Ancam Tidak Hadir

Staf BenarNews
2021.10.25
Manila, Jakarta & Kuala Lumpur
ASEAN Buat Persiapan Sidang Kemuncak, Namun Junta Myanmar Ancam Tidak Hadir Bendera kebangsaan Myanmar (tengah) disusun bersama-sama dengan bendera anggota lain Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Bangkok, Nov. 2019.
[AFP]

ASEAN akan memulakan sidang kemuncaknya minggu ini walaupun tanpa kepastian berhubung penyertaan Myanmar selepas badan serantau itu menghalang penyertaan ketua juntanya dan Naypyidaw mengancam untuk tidak menghadiri mesyuarat itu.

Kerajaan tentera Myanmar pada Isnin berkata bahawa ia belum memutuskan sama ada menghantar seorang diplomat kanan yang dijemput oleh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke sidang kemuncak itu sebagai "wakil bukan politik" negara berkenaan bagi menggantikan Min Aung Hlaing, jeneral kanan yang mengetuai rampasan kuasa dengan menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 1 Feb lalu.

ASEAN menjemput Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri yang dilantik oleh junta, kata jurucakap kerajaan tentera itu. Tetapi ramai rakyat Myanmar mengkritik ASEAN melalui media sosial kerana menjemput diplomat itu, dengan menyatakan bahawa beliau sememangnya "bukanlah wakil bukan politik."

“Sidang kemuncak seperti itu sepatutnya dihadiri oleh ketua negara atau ketua kerajaan sahaja,” kata Zaw Min Tun, jurucakap junta, kepada Radio Free Asia (RFA) yang merupakan entiti BenarNews.

“Seperti yang telah kami katakan, ini melanggar peraturan ASEAN serta dasar tidak campur tangannya. Kami percaya bahawa ini menjejaskan kedudukan dan kedaulatan negara kami. Oleh itu, kami tidak pasti sama ada kami akan menghadiri sidang kemuncak itu."

Sidang kemuncak ASEAN itu, yang bermula Selasa dan berlangsung sehingga Khamis, akan diadakan secara maya berikutan kebimbangan mengenai COVID-19.

Pada mesyuarat khas awal bulan ini, Menteri-menteri luar negeri ASEAN menghalang Min Aung Hlaing menghadiri sidang kemuncak itu selepas utusan khas badan serantau itu ke Myanmar berkata tiada kemajuan dicapai dalam konsensus lima perkara ASEAN bagi mengembalikan keamanan dan demokrasi ke negara bergolak itu.

Min Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa Myanmar dengan menggulingkan kerajaan Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), yang telah memenangi pilihan raya umum pada November 2020.

Badan serantau itu berkata ia sebaliknya akan "menjemput wakil bukan politik dari Myanmar" ke sidang kemuncak itu.

Bagaimanapun, ramai rakyat Myanmar menyatakan di media sosial bahawa Setiausaha Tetap di Kementerian Luar Negeri bukanlah wakil rakyat bukan politik kerana beliau menyandang jawatan itu di kementerian yang dilantik oleh junta.

“Sungguh mengecewakan kerana ASEAN menjemput setiausaha tetap MOFA SAC… sebagai wakil bukan politik bagi Myanmar,” kata Robert Minn, yang menurut biodatanya, beliau merupakan anggota sayap belia NLD. Beliau merujuk kepada Majlis Pentadbiran Negara iaitu nama rasmi untuk junta.

Pihak junta berkata bahawa ASEAN telah melanggar piagamnya apabila berbuat demikian.

Jemputan kepada "wakil bukan politik" bukanlah selaras dengan Piagam ASEAN, prosedur dan duluan ASEAN, menurut Kementerian Luar Negeri yang dilantik SAC dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

"Myanmar akan meneruskan proses sewajarnya mengikut Piagam ASEAN dan Protokol Piagam ASEAN mengenai Mekanisme Penyelesaian Pertikaian bagi menyelesaikan perbezaan pendapat berhubung wakil Myanmar pada Mesyuarat-mesyuarat ASEAN."

Jumaat lalu, kementerian luar negeri Myanmar berkata bahawa "perkara berhubung penyertaan pada sidang kemuncak itu sengaja dikaitkan dengan hal ehwal dalam negara Myanmar."

Kenyataan itu merujuk kepada prinsip tidak campur tangan ASEAN dalam hal ehwal dalaman negara anggota, yang merupakan prinsip asas badan serantau berusia 54 tahun itu selain daripada prinsip bahawa semua 10 negara anggotanya membuat keputusan secara konsensus.

Walaupun ASEAN tidak mendedahkan isu apa yang akan dibincangkan pada sidang kemuncak itu, situasi pasca rampasan kuasa di Myanmar pastinya menjadi satu daripada agenda perbincangan. Hampir 1,200 orang – yang kebanyakannya penunjuk perasaan pro-demokrasi - telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar sejak rampasan kuasa itu berlaku.

Pada Jumaat, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Myanmar Tom Andrews memberitahu Perhimpunan Agung PBB bahawa beliau bimbang "lebih banyak jenayah kekejaman besar-besaran" akan berlaku kerana junta Myanmar telah memindahkan puluhan ribu tentera dan senjata ke utara dan barat laut negara itu.

211025-MY-Inside-Bolkiah.jpg

Sultan Brunei Hassanal Bolkiah menghadiri sesi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Manila, 13 November 2017. Minggu ini, Brunei pula akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN. [Reuters]

Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu

Brunei, pengerusi penggiliran badan serantau itu bagi 2021, akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu.

Para peserta mesyuarat itu akan membincangkan hala tuju masa depan badan serantau itu dan usaha membina komunitinya, tindak balas COVID-19 serta pandangannya mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi tumpuan bersama, menurut kementerian luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin. Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah akan menghadiri sidang kemuncak itu.

Para pemimpin negara-negara ASEAN juga akan menghadiri sidang kemuncak ASEAN Campur Satu bersama-sama pemimpin AS, Australia, India, China, Jepun dan Korea Selatan, menurut kenyataan itu. ASEAN telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan peranan rantau ini dalam rantaian bekalan global.

Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo akan menghadiri sidang kemuncak ASEAN itu serta mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan, menurut Retno Marsudi, diplomat tertinggi Jakarta. Jokowi dijangka menghadiri 13 mesyuarat dan menyampaikan ucapan pada sidang kemuncak perniagaan dan pelaburan ASEAN (ABIS), katanya.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte juga akan menghadiri sidang kemuncak itu, kata jurucakapnya Harry Roque pada taklimat media pada Isnin.

"Seperti lazimnya, sidang kemuncak ASEAN ini adalah biasa," kata Roque ketika ditanya mengenai isu yang akan dibangkitkan negara tersebut pada mesyuarat itu.

AUKUS

Namun, sidang kemuncak itu tidak akan berjalan seperti biasa, menurut Chester Cabalza, penganalisis politik dan pertahanan di Kerjasama Pembangunan dan Keselamatan Antarabangsa iaitu badan pemikir di Manila.

"Nampaknya badan serantau itu mula mentakrifkan semula kerelevanan dan peranannya dalam [senario] perubahan keselamatan global," kata Cabalza kepada BenarNews, sambil mengalu-alukan perubahan itu.

Malah, sidang kemuncak ASEAN itu akan menjadi mesyuarat peringkat tinggi pertama badan serantau itu sejak Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia mengumumkan pakatan baharu yang dikenali sebagai AUKUS di mana Washington dan London akan mempersiapkan Canberra dengan teknologi bagi membina kapal selam berkuasa nuklear.

AUKUS telah memecahbelahkan ASEAN. Sesetengah negara anggota menyambut baik pakatan itu namun yang lain tidak.

Filipina dan Singapura berkata AUKUS akan membantu memulihkan "ketidakseimbangan" serantau dan membawa kepada kestabilan di Asia Tenggara.

Malaysia dan Indonesia, bagaimanapun, memberi amaran bahawa AUKUS mungkin mendorong perlumbaan senjata di rantau itu.

Pakatan baharu itu menjadikan ASEAN tidak relevan dan badan serantau itu dipersalahkan bagi perkara tersebut, kata beberapa penganalisis kepada BenarNews bulan lepas.

“Hakikatnya bahawa ia tidak dapat menyelesaikan isu Laut China Selatan, malah tidak dapat membawa China untuk bersetuju dengan Kod Tata Laku walaupun selepas 20 tahun… ini menunjukkan bahawa ASEAN tidak boleh dipandang serius berdasarkan rekod sejarahnya,” kata James Chin, seorang ahli akademik di Universiti Tasmania, kepada BenarNews pada ketika itu.

Jason Gutierrez di Manila, Ahmad Syamsudin di Jakarta, Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur, dan Shailaja Neelakantan di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.