Malaysia: Dua Tawanan Abu Sayyaf Ditemui Masih Hidup
2017.03.23
Kota Kinabalu, Sabah
Dua rakyat Malaysia telah diselamatkan apabila mereka didapati hanyut dalam sebuah bot di selatan Filipina selepas lapan bulan sebagai tebusan militan Abu Sayyaf, Tentera Filipina berkata, pada Khamis.
Tetapi, tiga lagi rakan mereka yang diculik bersama mereka pada 18 Jul 2016 masih dipercayai berada dalam tawanan Abu Sayyaf.
Pihak berkuasa Malaysia berkata mereka sedang cuba mengesahkan mengenai laporan dua pelaut yang di selamatkan di wilayah Jolo yang diterima awal pagi Khamis.
Berita dua pelaut bernama Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Sumas, 62, yang terselamat itu menjadi malap dengan laporan terbaru yang menyatakan dua anak kapal warga Filipina diculik oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali dari sebuah kapal di sekitar perairan Basilan, wilayah selatan Filipina pada Khamis, menurut laporan berita daripada Filipina.
Ketua Polis Sabah, Ramli Din, memberitahu wartawan tempatan pada Khamis."Kami masih mengumpul maklumat dari rakan-rakan kami di Filipina serta mahu mengesahkan tentang ketepatan laporan berita berkenaan.”
Gustiah Sultan, 47, isteri kepada Tayudin, berkata beliau menunggu pengesahan daripada pegawai mengenai pembebasan suaminya.
“Saya masih belum menerima apa-apa berita rasmi daripada kerajaan selain daripada apa yang ditunjukkan di televisyen. Saya cemas menunggu kenyataan rasmi daripada mereka," katanya kepada BeritaBenar.
Walau bagaimanapun, apabila ditunjukkan gambar lelaki yang dicetak dalam laporan, Gustiah menjawab, "Ya, itulah suami saya. Yang memakai baju berwarna biru adalah suami saya. Saya berharap ini adalah benar. "
‘Semua baik’
Tayudin dan Abdul Rahim adalah antara lima anak kapal Malaysia yang diculik dari kapal tunda Serudung 3, yang sedang belayar di perairan Lahad Datu di timur Sabah. Tiga lagi yang masih hilang ialah Mohd Zumadil Rahim, 23, Fandy Bakran, 26, dan Mohd Ridzuan Ismail, 32.
Menurut laporan media Filipina, tiga lagi ditahan oleh komander Abu Sayyaf dari unit yang berlainan, dimana unit berkenaan dipercayai melarikan diri daripada serangan ketenteraan di selatan Filipina.
Kedua-dua lelaki yang diselamatkan itu kelihatan takut tetapi semua yang dalam "keadaan baik" selepas ditemui dalam bot, kata Kapten Jo-Ann Petinglay, jurucakap Western Mindanao Command (Westmincom), dalam satu kenyataan, menurut laporan media.
"Satu pasukan Fleet-Marine terdiri daripada kelasi dan askar marin di bawah Joint Task Force Sulu berjaya menyelamatkan dua tebusan Malaysia, yang ditawan oleh kumpulan Abu Sayyaf, pada jam 2 pagi hari ini (Khamis) di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran pulau Pata, Wilayah Sulu, " kata Petinglay.
"Pasukan marin telah melancarkan operasi menyelamat selepas menerima maklumat bahawa tebusan dipaksa mengikuti pemimpin Abu Sayyaf, Alhabsy Misaya dan 30 orang kuncu-kuncunya yang bersembunyi di kawasan bakau di Barangay Karudong dalam Kalinggalang Caluang, Sulu.
Kedua-dua pelaut itu dihantar ke sebuah kem tentera di Jolo untuk pemerhatian tentera sebelum diterbangkan ke Zamboanga City, Agence France-Presse (AFP) melaporkan.
Pasukan bersenjata Abu Sayyaf telah meninggalkan Tayudin dan Abdul Rahim sebelum subuh berhampiran tempat persembunyian di sebuah pantai di pulau terpencil Pata, kata laporan itu.
Penculikan terbaru
Kerja menyelamat itu berikutan satu operasi ketenteraan Filipina terhadap penculik di pulau-pulau berhampiran awal bulan ini yang menyebabkan lapan lelaki bersenjata mati, kata Maj. Gen. Carlito Gomez dalam satu kenyataan, menurut AFP.
Antara yang terbunuh termasuk pemimpin kumpulan militan Abu Sayyaf, Buchoy Hassan (alias Black atau Bocoi), yang berada dalam "Senarai dikehendaki” Malaysia kerana didakwa terlibat dalam kes penculikan warga Taiwan, Chang An Wei dan pembunuhan suaminya di Pom Pom Resort Island di Sabah, empat tahun lepas.
Selama bertahun-tahun, Abu Sayyaf telah menculik dan menahan tawanan untuk tebusan, dan membunuh sebahagian daripada mereka. Pada Februari lepas, kumpulan itu mengeluarkan satu video yang menunjukkan pemenggalan kepala tawanan warga Jerman, Jurgen Kantner, selepas tarikh akhir untuk membayar wang AS$600,000 (RM2.6 juta) berlalu.
Tahun lalu, pengganas militan ASG didakwa menyerang kapal-kapal di perairan antara pulau Borneo dan selatan Filipina dan menculik puluhan pelayar Indonesia dan Malaysia. Ramai yang telah pun dibebaskan tanpa dicederakan, tetapi tiga rakyat Malaysia dan dua warga Indonesia masih dipercayai berada didalam kurungan ASG. Tebusan lain termasuk 13 warga Vietnam, masing-masing seorang Belanda, Jepun dan tujuh rakyat Filipina.
Pada Khamis, dua anak kapal warga Filipina daripada sebuah tongkang - kapten dan ketua jurutera - telah diculik oleh lelaki bersenjata daripada Super Shuttle Tug 1 yang mengibarkan bendera Panama di perairan Basilan, tetapi penyerang meninggalkan sembilan kelasi lain dan 31 anak kapal, daripada kapal yang lain, agensi berita Associated Press memetik seorang pegawai pengawal pantai Filipina sebagai berkata.
Selepas berbulan-bulan rundingan, Malaysia, Filipina dan Indonesia pada bulan ini mengumumkan bahawa ketiga-tiga negara itu akan melancarkan rondaan tentera laut bersama pada awal April dalam usaha untuk menghentikan rampasan kapal, perlanunan dan penculikan maritim di laluan laut bersama mereka.
Dennis Wong turut menyumbang kepada laporan ini.