Kuala Lumpur Mahu Dapatkan Jaminan Bangkok Berhubung Bekalan Vaksin Pengeluar Thai

Ia susulan laporan berita yang memberikan indikasi Thailand mungkin menghadkan eksport vaksin AstraZeneca yang dijanjikan pengeluar tempatan.
S. Adie Zul & Noah Lee
2021.07.16
Kuala Lumpur
Kuala Lumpur Mahu Dapatkan Jaminan Bangkok Berhubung Bekalan Vaksin Pengeluar Thai Petugas kesihatan menyuntik seorang lelaki dengan vaksin AstraZeneca COVID-19 di pusat inokulasi di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, 5 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Thailand bagi memastikan bekalan vaksin AstraZeneca yang dipesan dari pengeluar produk tersebut di negara itu sampai seperti dijanjikan, kata menteri sains pada Jumaat, susulan laporan berita bahawa Bangkok berkemungkinan menghadkan eksport vaksin tersebut.

Akan tetapi, Menteri Khairy Jamaluddin berkata bahawa Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk memesan lebih banyak vaksin Sinovac buatan China sekiranya negara itu menghadapi kekurangan bekalan AstraZeneca.

Sehari sebelum itu, menteri kesihatan telah menyatakan bahawa Malaysia akan menghentikan penggunaan Sinovac bagi suntikan dos pertama selepas bekalan yang telah dipesan habis digunakan dan tiada penerangan lebih lanjut disebalik keputusan berkenaan.

"Kami sedang melihat perkembangan yang membimbangkan mengenai vaksin AstraZeneca di Thailand susulan laporan-laporan yang menunjukkan bahawa negara itu mungkin menghadkan eksport vaksin," kata Khairy, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertanggungjawab menyelia program imunisasi, pada satu sidang akhbar mingguan yang diadakan secara maya.

"Kita akan mengadakan perbincangan dua hala dengan jiran kita yang baik, Thailand, bagi memastikan tidak ada gangguan terhadap bekalan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand ke Malaysia."

AstraZeneca Thailand telah menghantar sebanyak 586,700 dos vaksin daripada 6.4 juta dos secara terus ke Malaysia pada 2 Julai lepas, kata syarikat itu awal bulan ini. Bilangan tersebut adalah sebahagian daripada 6.4 juta dos yang telah dijanjikan.

Akan tetapi, laporan berita awal minggu ini memberikan isyarat bahawa Thailand, yang kini sedang dilanda peningkatan mendadak jangkitan koronavirus, mungkin akan mengurangkan jumlah eksport vaksin AstraZeneca berbanding apa yang telah dijanjikan oleh syarikat pengeluar tempatan Siam Biosciences.

BenarNews telah menghubungi Institut Vaksin Kebangsaan Thailand untuk mendapatkan pengesahan samada negara itu merancang untuk mengurangkan atau menghentikan terus eksport vaksin, tetapi tiada respon pantas diterima daripada para pegawai di institut berkenaan.

"Kami akan berunding dengan syarikat bagi memastikan penghantaran secukupnya untuk menghadapi penularan tempatan," kata Nakorn Premsri, Pengarah Institut berkenaan dalam satu sidang media pada Rabu.

Thailand telah mempunyai perjanjian bahawa ia akan menerima satu pertiga bekalan vaksin daripada jumlah yang dikeluarkan pengilang itu, sementara Malaysia dan Taiwan telah membuat pesanan dengan syarikat tersebut. Berdasarkan laporan berita, Filipina juga memesan bekalan daripada syarikat sama.

Bulan lalu, Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dilaporkan berkata bahawa bekalan vaksin AstraZeneca telah lewat tiba ke negara berkenaan kerana Thailand mengutamakan bekalan yang dibuat di negaranya untuk kegunaan sendiri. Kata beliau, pesanan yang dibuat untuk bulan tersebut (Jun) tidak tiba seperti dijanjikan.

Sehingga 2 Julai, Malaysia telah menerima 2.14 juta dos vaksin AstraZeneca, termasuk yang dipesan dari pengeluar Thai dan bekalan dan sumbangan dari Fasiliti COVAX di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata AstraZeneca dalam satu kenyataan awal bulan ini.

Setakat Isnin, Malaysia juga telah menerima lebih 19 juta dos vaksin keluaran Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, termasuk bekalan yang didermakan oleh Amerika Syarikat, Jepun dan China, kata Khairy.

APEC janjikan perkongsian vaksin

Pada Jumaat, Malaysia merekodkan 12,541 kes jangkitan COVID-19 baharu - hari keempat berturut-turut negara itu mencatatkan bilangan kes harian dalam lima angka - menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu hampir kepada 900,000.

Bilangan kematian turut meningkat kepada 6,728 dengan pertambahan 115 pesakit meninggal dunia akibat pandemik yang telah direkodkan pada Jumaat.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin dari forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, atau APEC, pada Jumaat berjanji bahawa mereka akan bekerjasama untuk mempertingkatkan pengeluaran, penghantaran dan perkongsian vaksin COVID-19 di peringkat global.

Satu mesyuarat APEC secara maya yang dipengerusikan New Zealand telah dihadiri oleh pemimpin dari negara-negara Lingkungan Pasifik termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat, China dan Rusia.

"Kami mengenalpasti peranan imunisasi secara meluas bagi melawan wabak COVID-19 untuk kebaikan dunia," kata mereka dalan satu kenyataan bersama selepas mesyuarat tersebut.

"Oleh itu, kami akan mempertingkatkan usaha untuk memperluaskan pembuatan dan pembekalan, menyokong usaha perkongsian vaksin secara global, dan menggalakkan pemindahan teknologi pembuatan vaksin secara sukarela berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui bersama."

'Tiada isu mengenai keberkesanan Sinovac'

Sementara itu, Khairy menolak spekulasi bahawa keputusan Malaysia untuk menghentikan penggunaan vaksin Sinovac adalah disebabkan isu mengenai tahap keberkesanannya.

Khairy berkata negara itu telah memesan 12 juta dos vaksin Sinovac melalui syarikat Pharmaniaga, dan bekalan itu dijangka habis diterima akhir bulan ini.

"Saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa tiada isu berkenaan keberkesanaan vaksin Sinovac kerana kita akan menerima penghantaran bekalan lengkap dari Pharmaniaga," kata Khairy, sambil menambah yang Malaysia telah memesan 3 juta lagi dos tambahan dari syarikat itu, yang dijangka akan dibekalkan pada akhir Julai atau awal Ogos.

Menteri Kesihatan Adham Baba dalam satu kenyataan yang dibuat pada Khamis berkata vaksin Sinovac tidak lagi akan digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, tetapi hanya akan diberikan kepada mereka yang telah menerima suntikan pertama vaksin tersebut.

Thailand dan Indonesia baru-baru ini mengumumkan bahawa ramai rakyat mereka yang menerima suntikan Sinovac akan mengambil suntikan tambahan dari vaksin jenis lain, selepas beberapa kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan walaupun setelah menerima dua dos lengkap vaksin buatan China itu.

Khairy berkata lebih banyak pesanan mungkin dibuat dengan Sinovac sebagai rancangan "sandaran", kerana Pharmaniaga yang merupakan syarikat tempatan telah mempunyai perjanjian dengan pengeluar vaksin tersebut untuk membuat pengeluaran produk 'Fill and Finish' di dalam negara.

"Pharmaniaga tahu bahawa sekiranya terdapat keperluan, kami akan menghubungi mereka untuk membuat pengeluaran (vaksin) untuk kerajaan persekutuan," kata beliau.

Malaysia pada Jumaat juga telah memberikan kelulusan bersyarat kepada satu lagi vaksin keluaran negara China, Sinopharm, untuk pasaran swasta, dan vaksin dos tunggal keluaran Johnson & Johnson.

Sekiranya terdapat kekurangan bekalan AstraZeneca dari Thailand, Malaysia berkemungkinan akan membuat pesanan vaksin Sinopharm untuk kegunaan negara melalui pembekal tempatan Duopharma, kata menteri itu.

"Buat masa ini, vaksin Sinopharm adalah untuk pasaran swasta, akan tetapi sekiranya terdapat kekurangan bekalan untuk program imunisasi kebangsaan, kami mungkin akan mendapatkan bekalan melalui Duopharma," kata Khairy

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.