Malaysia Perlu Telus Terhadap Akses Maklumat TPP
2015.10.06
Kemaskini pada 10:54 p.m. ET - 2015-10-07
Kerajaan Malaysia perlu membenarkan rakyat mendapat akses kepada semua maklumat yang terkandung di dalam perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) hasil rundingan selama lima tahun.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Amir Hussin Baharuddin mencadangkan kepada kerajaan yang terlibat supaya mengambil pendekatan telus dengan membenarkan akses kepada semua maklumat yang termaktub dalam perjanjian itu.
Persetujuan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) oleh 11 negara bersama Amerika Syarikat (AS) yang dicapai di Atlanta pada Isnin, telah menimbulkan pelbagai pertikaian di tanahair kerana kandungan sepanjang proses rundingan itu dirahsiakan dan tidak pernah didedahkan.
Ia telah menimbulkan perasaan curiga dikalangan rakyat Malaysia yang mahu mengetahui apakah antara impaknya terhadap rakyat, ekonomi dan negara.
Malaysia pada Isnin telah mencapai kata sepakat dengan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam termasuk Amerika Syarikat berhubung rundingan TPP yang telah diadakan secara bersiri sejak sepuluh tahun lalu.
Bagaimanapun, penyertaan Malaysia dalam rundingan itu hanya bermula sejak lima tahun lepas.
TPP dijangka bakal memberi impak kepada 40 peratus ekonomi dunia, dan juga dikatakan bakal membuka laluan pasaran kepada 793 juta penduduk, dengan nilai keseluruhan Keluaran Negara Kasar (GDP) berjumlah US$27 trilion - jauh lebih besar dari pasaran tempatan yang terhad kepada 29.5 juta penduduk dengan GDP bernilai US$300 bilion.
Bahas
Amir Hussin turut meminta rakyat Malaysia memberi peluang antara enam bulan dan setahun untuk mengkaji dan membahaskan kandungan perjanjian TPP sebelum kerajaan boleh membuat sebarang keputusan.
“Rakyat juga perlu meyakinkan ahli-ahli Parlimen untuk menolak TPP sekiranya mereka berfikiran bahawa perjanjian itu tidak akan membawa manfaat yang lebih besar berbanding risiko yang ditanggung, selepas meneliti kandungannya.
"Di sini lah gerakan sivil memainkan peranan yang penting untuk menyedarkan 30 juta rakyat Malaysia tentang peri penting memahami perjanjian TPP ini secara keseluruhan," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed yang mewakili Malaysia dalam siri rundingan terakhir di Atlanta itu telah memberi jaminan bahawa keputusan Malaysia untuk terlibat dalam TPP akan menjadi "keputusan kolektif" dan berkata, teks rasmi mengenai perjanjian itu, sebaik disiapkan kelak, boleh diakses oleh orang ramai dan akan dibentangkan di parlimen bagi tujuan perbahasan.
Mustapa berkata, TPP yang dirumuskan itu bersetuju mempertimbang hampir semua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia termasuk industri pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan isu berkaitan kaum Bumiputera.
Manakala, Perdana Menteri Najib Razak pada Selasa mengesahkan beliau dan Kabinet telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Mustapa untuk mengetuai Malaysia di dalam rundingan perjanjian TPP itu.
"Adalah tanggungjawab kerajaan memastikan kepentingan ekonomi jangka panjang negara dipelihara dan pada masa yang sama, kepentingan domestik tidak dikompromi," katanya dalam akaun twitter beliau.
Implikasi
Pandangan Amir Hussin disokong oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M. Mohamed Idris yang mahu teks TPP yang masih rahsia dikeluarkan segera oleh kerajaan bagi membolehkan orang awam mengetahui apakah sebenarnya yang dikatakan dalam perjanjian itu serta implikasinya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa perjuangan mereka untuk membantah perjanjian TPP masih belum berakhir kerana ia belum ditandatangani.
“Orang awam dan Parlimen masih boleh mengemukakan pandangan mereka dan mempengaruhi kerajaan dalam hal itu,” katanya.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohammad Agus pula menegaskan, dua kebimbangan wujud dikalangan rakyat Malaysia mengenai pencapaian persetujuan perjanjian TPP itu.
Katanya, yang pertama ialah kerisauan sekiranya Malaysia berada di bawah telunjuk AS; dan kedua, kandungan dokumen TPP tersebut tidak didedahkan kepada umum terlebih dahulu.
Malaysia katanya, belum sah menyertai TPP atau terikat dengan persetujuan tersebut.
"Beberapa peringkat perlu dilalui negara sebelum ianya dapat dikuatkuasakan. - kerajaan telah berjanji untuk membawa hal berkaitan ke parlimen untuk kelulusan.
"Sekiranya parlimen meluluskan, maka kerajaan perlu menandatangani terlebih dahulu sebelum terikat dengan perjanjian itu… Sebelum sampai kepada semua proses berkenaan, inilah masanya untuk kita menyatakan pandangan dan memberi kritikan," ulas beliau.
Bagaimanapun, Mohammad Agus menambah, persetujuan TPP masih belum memberi kesan kepada negara kerana kesemua negara terlibat baru saja memuktamadkan persetujuan.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pula membidas Putrajaya sambil menegaskan perbahasan di Parlimen sudah tidak ada gunanya kerana ia tidak akan mengubah apa-apa dalam perjanjian tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mashar berkata, apabila TPP telah selesai dirumuskan, kerajaan tidak lagi boleh membuat perubahan dalam perjanjian kontroversi tersebut.
"Ia belum ditandatangani lagi tapi rundingan bertulis dan kandungan sudah dirumuskan. Ini bermakna tidak ada lagi perubahan yang boleh dibuat, sama ada Parlimen Malaysia bersetuju atau tidak dengannya," katanya seperti dilaporkan portal berita The Malaysian Insider pada Selasa.
Beliau berkata, “walaupun mungkin sudah terlewat, namun rakyat Malaysia tidak sepatutnya menyerah nasib begitu saja, segenap usaha haruslah digembleng bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terus tertipu dengan helah licik TPP,”.
"Kini terserahlah kepada 30 juta rakyat Malaysia, dengan mengharapkan kebijaksanaan ahli Parlimen yang dipilih untuk bertanyakan soalan bijak dan bermakna, tidak kiralah daripada parti politik mana pun mereka bersuara," katanya.