Rangkaian Data Tentera Malaysia Jadi Sasaran Serangan Siber
2020.12.29
Kuala Lumpur
Angkatan Tentera Malaysia pada Selasa mengumumkan bahawa rangkaian datanya telah menjadi sasaran dalam serangan siber, tetapi pencerobohan tersebut gagal mengganggu operasi ataupun mengakses maklumat rahsianya.
Serangan itu mungkin bermula di negara jiran Indonesia dan terjadi setelah mesej ancaman dari negara itu dimuat naik ekoran isu memperolok lagu kebangsaan republik tersebut yang jelas dikatakan dihasilkan di Malaysia, kata pegawai pertahanan dan pakar keselamatan siber kepada BeritaBenar.
“Telah berlaku serangan siber terhadap rangkaian data milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata Pangliman ATM Jeneral Affendi Buang pada Selasa, dengan menambah yang serangan itu telah dikesan dan digagalkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.
“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah, seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam,” katanya dalam satu kenyataan media.
“Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar Tentera, sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi, tambahnya lagi.
Angkatan Tentera Malaysia juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan dan ATM, dan akan sentiasa memantau serta melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara, kata Affendi dalam kenyataannya itu.
Video lagu Indonesia Raya
Percubaan menggodam rangkaian siber pertahanan Malaysia berlaku beberapa hari selepas sebuah video sindiran menyanyikan lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, menjadi viral dan menimbulkan pergolakan dalam talian antara warga kedua-dua negara jiran.
Pihak berkuasa masih menyiasat asal penggodam dalam talian, tetapi bukti awal menunjukkan kearah Indonesia, kata sumber kepada BeritaBenar.
“Indikator kami menunjukkan Indonesia tetapi CDOC menunjukkan bahawa perkara itu dapat juga dilakukan dengan menggunakan IP palsu, untuk membuatnya kelihatan muncul dari Indonesia,” kata pegawai risikan pertahanan yang terlibat dalam menangkis serangan itu, sambil merujuk kepada alamat protokol internet.
“Sebab mengapa CDOC membenarkan penggodam untuk memasuki pelayan (server) khusus adalah supaya ianya boleh dikesan. Sejauh ini laporan terperinci dari jejak digital belum lagi diperolehi," kata pegawai yang bercakap dengan syarat anonimiti kepada BeritaBenar.
CDOC telah mengesan ancaman tersebut sebaik saja parodi lagu kebangsaan Indonesia itu tular, yang mendorong kepada penyediaan pelayan palsu sekiranya terdapat percubaan di rangkaian data pertahanan, tambah pegawai tersebut.
Ditanya sama ada tindakan penggodam benar-benar mahu mendapatkan dokumen klasifikasi pertahanan negara, sumber berkata percubaan tersebut adalah lebih kepada ‘menyampaikan mesej’.
“Penggodam biasa menyembunyikan jejak mereka, malah mereka akan berusaha menutupinya, tetapi yang ini seolah-olah membanggakan diri."
Serangan siber terhadap ATM itu bukan satu-satunya kejadian yang berlaku, sebaliknya terdapat panggilan daripada penggodam Indonesia untuk menggodam laman web Malaysia, sebagai balasan keatas parodi lagu kebangsaan negara itu, kata pakar keselamatan siber Malaysia, Razwan Mohktar kepada BeritaBenar.
"Banyak laman web tempatan dirosakkan sejak pengumuman ini," katanya, sambil memberitahu bahawa dalang di sebalik serangan godaman itu juga telah menyiarkan senarai laman web Malaysia untuk diserang di laman web.
Siasatan Polis
Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia memandang serius tindakan mengejek lagu kebangsaan Indonesia itu, yang didakwa dilakukan oleh warganegara Malaysia.
Ketua Polis Malaysia, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata kepada media tempatan bahawa pihaknya telah membuka siasatan mengenai kejadian tersebut di bawah Akta Hasutan dan siasatan dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Sekiranya didapati bersalah di bawah undang-undang, individu yang bertanggungjawab boleh dipenjara selama lima tahun. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab, dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang yang ada," katanya, seperti dipetik oleh akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.
Pada Ahad, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga telah mengeluarkan kenyataan yang mengecam tindakan tersebut, dan menekankan bahawa pihak berkuasa sedang berusaha untuk menyiasat klip video yang viral itu.
"Sekiranya didapati bahawa video itu disunting oleh warganegara Malaysia, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang," kata pegawai tersebut dalam satu kenyataan, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Bernama.
Pada Isnin semasa diminta untuk mengulas isu berkenaan, Teuku Faizasyah, jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia berkata, pentadbiran Jakarta akan menunggu hasil siasatan oleh Polis Malaysia.
Ronna Nirmala di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.