Pengurusan lemah, tentera laut gagal guna alat ganti RM384 juta

Ketua Audit Negara tegur kelewatan perolehan aset baharu hingga lepasi jangka hayat lebih dua dekad.
Iman Muttaqin Yusof
2024.07.04
Kuala Lumpur
Pengurusan lemah, tentera laut gagal guna alat ganti RM384 juta Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama diapungkan di permukaan laut di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), Lumut, Perak, 23 Mei 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 11.55 pagi waktu tempatan ETS - 2024-07-09

Tentera laut Malaysia telah gagal menggunakan alat ganti bernilai RM384.49 juta (AS$81.6 juta) untuk kapal miliknya dengan beberapa peralatan berusia puluhan tahun menjadi usang akibat perubahan peralatan dan penyahtauliahan kapal, kata Ketua Audit Negara dalam laporan dikeluarkan pada Khamis.

Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam laporannya mengkritik pengurusan pengunaan alat ganti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kurang memuaskan ekoran peralatan bernilai ratusan juta ringgit itu tidak dimanfaatkan hingga mengakibatkan pembaziran.

Audit setebal 19 muka surat itu turut mendedahkan lebih separuh daripada 49 kapal armada itu telah melepasi jangka hayat dengan penggunaan secara 'high-tempo' selama sembilan hingga 25 tahun disebabkan kelewatan perolehan aset baharu hingga membuatkan enam daripada 10 sampel kapal tidak menjalani penyenggaraan kerana belum siap dan masih berada di limbungan.

“Semakan audit mendapati alat ganti bernilai RM384.49 juta (AS$81.6 juta) di Depot Bekalan Armada Barat [DBAB] dan Depot Bekalan Armada Timur [DBAT] tidak digunakan.

“DBAB mempunyai 1.62 juta unit alat ganti bernilai RM381.69 juta (AS$81 juta) yang tidak digunakan dan pengeluaran terakhir direkodkan antara 1969 dan 2017.

"DBAT mempunyai 6,040 jenis alat ganti bernilai RM2.80 juta (AS$595,744) yang tidak digunakan dan pengeluaran terakhir direkodkan antara 2017 dan 2021,” kata laporan yang dibentang di Dewan Rakyat pada Khamis.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa perubahan dalam peralatan di atas kapal TLDM yang ditukar kepada jenama lain menyebabkan beberapa alat ganti tidak dapat digunakan.

Selain itu, pemeriksaan audit mendapati Sistem Gudang dan Pengambilan Automatik di DBAT menghadapi masalah kerosakan panel monitor menyebabkan alat ganti tidak digunakan.

Kementerian Pertahanan dalam maklum balasnya berkata alat ganti kit rutin W6 Unit Transmisi Maksimum (MTU) Enjin Utama tidak digunakan kerana semua kapal peronda tentera laut yang tidak digunakan telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Dua kapal peronda yang sedia ada tidak lagi menggunakan kit rutin W6 yang sama kerana telah menjalani penjanaankuasa semula dan menggunakan jentera utama baharu," jelas maklum balas kementerian itu yang turut dinyatakan dalam laporan tersebut.

Laporan audit terhadap Kementerian Pertahanan Malaysia membabitkan pengurusan kapal TLDM itu menilai operasi tentera laut, termasuk kesediaan kapal, pencapaian operasi dan pengurusan sehingga 31 Disember 2022, dengan sekali lawatan ke depot bekalan pada Februari 2023.

Sebagai maklum balas kepada laporan audit tersebut, Kementerian Pertahanan telah mengakui kelemahan berkenaan dan mereka akan melaksanakan inisiatif baharu untuk mengelakkan perkara itu berulang.

“Perolehan baharu, termasuk alat ganti untuk kapal akan melalui jawatankuasa dan lembaga yang dipengerusikan oleh ketua dan timbalan ketua Tentera Laut,” kata kementerian itu dalam maklum balas pada 1 September 2023 dan 13 Disember 2023.

Kapal lepasi jangka hayat

Sementara itu, laporan audit itu juga menimbulkan kebimbangan bahawa 14 hingga 19 daripada 26 kapal yang diklasifikasikan sebagai “high-tempo” dan telah melepasi penetapan waktu operasinya sebanyak 60 hari setahun di laut dari 2020 hingga 2022.

“Dalam tempoh 2020 hingga 2022, bilangan kapal yang beroperasi secara "high-tempo" masing-masing 14 kapal (53.8%), 19 kapal (73.1%) dan 16 kapal (61.5%).

"Penggunaan kapal yang melebihi usia guna secara "high-tempo" antaranya disebabkan kelewatan pemerolehan dan penerimaan kapal baharu untuk menggantikan yang sedia ada," kata laporan itu.

Rancangan asal pelupusan kapal TLDM melalui pelan asal Transformasi #15to5 bagi meningkatkan keupayaan tempur dan menangani keusangan aset gagal diteruskan ekoran isu kelewatan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan faktor lain yang menjadi penghalang, kata maklum balas Kementerian Pertahanan dalam laporan itu.

Program itu membabitkan pengelasan semula pegangan kapal daripada 15 kelas sedia ada kepada lima kelas menjelang tahun 2050 iaitu Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), LCS, kapal selam, LMS dan Kapal Sokongan Pelbagai Fungsi (MRSS).

Kementerian itu pada mulanya menyasarkan pegangan kapal TLDM sebanyak 55 buah terdiri daripada 18 NGPV, 12 LCS, empat kapal selam, 18 LMS dan tiga MRSS, kata laporan itu,

Kata laporan tersebut berdasarkan program transformasi itu, sasaran pegangan kapal di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dan ke-12 adalah sebanyak 18 kapal merangkumi enam LCS, 10 LMS dan dua MRSS.

Namun katanya Jemaah Menteri pada April 2022 telah mengurangkan bilangan LCS daripada enam kepada lima bagi perolehan kontrak dari 2013 kepada Oktober 2023 yang sepatutnya diterima di bawah kedua-dua rancangan lima tahun itu setelah program tersebut terpaksa bergelut untuk mencapai objektifnya.

Laporan itu berkata, salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan mencapai sasaran perolehan kapal ialah kelewatan menyediakan lima LCS, yang pada asalnya dijadualkan untuk penghantaran antara 2019 dan 2022, namun sehingga Disember 2022, kapal itu belum diterima.

“Sehingga 31 Disember 2022, hanya empat kapal (LMS) telah diterima, mencapai hanya 22.2% daripada sasaran. Kekurangan ini menjejaskan kesediaan tentera laut dan menjejaskan matlamat Program Transformasi TLDM #15to5,” menurut penemuan audit.

Baru-baru ini, LCS pertama, sebahagian daripada projek kontroversi telah diluncurkan ke permukaan laut di Lumut, Perak pada 23 Mei. Ia menghadapi kelewatan kira-kira lapan bulan daripada jadual asalnya.

Menurut Menteri Pertahanan Mohamed Khaled pada Jun, kapal itu dijangka beroperasi sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM menjelang Ogos 2026.

Oktober lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara melaporkan bahawa kesemua lima kapal LCS diunjurkan siap menjelang 2029, bertahun-tahun selepas tarikh siap yang dijadualkan pada 2022.

Berikutan audit melibatkan 11 kementerian itu, Ketua Audit Negara menggesa tentera laut Malaysia melakukan penambahbaikan dari segi pelaksanaan perolehan, penyelenggaraan dan pengurusan sumber bagi mengelakkan pembaziran.

“Kementerian Pertahanan dan TLDM perlu memastikan programnya dilaksanakan mengikut perancangan supaya sasaran pegangan kapal menjelang tahun 2050 dapat dicapai dan kesediaan tentera laut kekal pada tahap tertinggi.

“TLDM juga perlu memastikan penyelenggaraan kapal dilaksanakan mengikut jadual keperluan sumber kewangan yang mencukupi supaya kapal sentiasa berada dalam tahap kesiagaan yang ditetapkan,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.