Malaysia Bimbang AUKUS Bakal Cetus Perlumbaan Tenaga Nuklear Di Indo-Pasifik

PM dan menteri Kabinet menyatakan kebimbangan itu ekoran perjanjian kerjasama antara Australia, UK dan Amerika Syarikat.
S. Adie Zul
2021.09.20
Kuala Lumpur
Malaysia Bimbang AUKUS Bakal Cetus Perlumbaan Tenaga Nuklear Di Indo-Pasifik Menteri Luar Australia Marise Payne (kiri), diiringi oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin, bercakap dengan wartawan di Jabatan Negara di Washington, 16 September 2021.
[AP]

Malaysia telah menzahirkan kebimbangan negara itu terhadap kerjasama pertahanan di antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS yang dilihat bakal menimbulkan provokasi terhadap kuasa-kuasa lain untuk bertindak dengan agresif terutama di Laut China Selatan, sekaligus mencetuskan perlumbaan senjata nuklear di wilayah Indo-Pasifik.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada hujung minggu memaklumkan bahawa Ismail Sabri Yaakob menegaskan pendirian Malaysia berhubung isu tersebut dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada Jumaat, manakala negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kecuali Singapura, dilaporkan mengambil pendirian berhati-hati dengan perkembangan berkenaan.

Dalam usaha meredakan kegusaran negara-negara wilayah itu, Duta Australia ke ASEAN Will Nankervis pada Isnin menyatakan komitmen negara itu untuk terus menyokong nilai-nilai ASEAN sambil menjelaskan cadangan pembelian kapal selam nuklear dengan kerjasama AS dan UK itu tidak akan melibatkan penggunaan senjata nuklear.

“Perdana Menteri Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS ini yang bakal menjadi pemangkin perlumbaan senjata nuklear di rantau Indo-Pasifik. Pada masa yang sama, ia akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

“Sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” menurut Pejabat PM dalam kenyataan dikeluarkan pada Sabtu.

AUKUS adalah perikatan pertahanan baru antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat di mana Australia bakal memperolehi teknologi kapal selam berkuasa nuklear yang ditandatangani oleh ketiga-tiga negara pada Khamis lepas, dengan pentadbiran AS dan UK akan membekalkan teknologi tersebut kepada Australia.

Pejabat Perdana Menteri berkata Ismail Sabri telah menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara itu.

“Ia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).”

Menurut kenyataan itu, Ismail Sabri dan Morrison turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa khususnya di rantau Indo-Pasifik.

"Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang pertahanan menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif," katanya.

Elak tindakan provokatif

Menteri Kanan Pertahanan Hishamuddin Hussein dalam satu kenyataan pada Ahad turut menyokong pendirian Ismail Sabri sambil menegaskan semua pihak perlu mengelak dari mengambil tindakan ketenteraan yang boleh dilihat sebagai perbuatan provokatif yang berpotensi meningkatkan ketegangan dan mencetuskan konflik di wilayah itu.

“Kementerian Pertahanan ingin menegaskan negara-negara lain perlu menghormati pendirian Malaysia dan mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan kapal selam yang dikuasakan dengan tenaga nuklear dan kehadiran kapal perang yang memasuki perairan antrabangsa Malaysia, sejajar dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

“Pendirian saya mengenai Laut China Selatan sentiasa konsisten – kita mesti mengelakkan sebarang pertembungan yang tidak dirancang, kesilapan perkiraan dan tindakan yang tidak diingini di laluan perairan yang penting ini, dan semua perkara dapat diselesaikan secara aman dan konstruktif,” Hishammuddin berkata dalam satu kenyataan.

Di sebalik perkembangan terbaru itu, Hishammuddin bagaimanapun berkata Malaysia akan tetap meneruskan kerjasama erat kententeraan dengan Australia.

Menteri Luar Malaysia yang berkongsi kegusaran Perdana Menteri pula berkata: “Malaysia tetap berpendirian teguh dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik, termasuk isu-isu yang berkaitan dengan perlucutan senjata nuklear, ketakcambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman."

“Pendirian ini telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu,” kata Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut meminta semua pihak yang berkenaan untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih aktif dalam mempertahankan rantau ASEAN sebagai rantau yang aman, stabil serta berkembang dan makmur, sebagaimana yang digariskan di bawah ‘ASEAN Outlook on Indo-Pacific’.

Menurut Saifuddin lagi, Menteri Luar Australia, Marise Payne telah memaklumkan kepada beliau bahawa Canberra akan menghantar pegawai-pegawai dari negara itu ke Malaysia bagi memberi penjelasan dan pemahaman lebih lanjut mengenai isu berkenaan.

Canberra cuba redakan kegusaran

Kerjasama tiga hala AUKUS dilihat sebagai langkah pentadbiran AS dan UK untuk mengekang pengaruh China yang semakin meningkat di Indo-Pacific khususnya di Laut China Selatan di mana negara itu mempunyai tuntutan bertindih yang dicabar oleh negara-negera jiran.

Dalam pada itu, China telah membidas kerjasama tiga hala tersebut dengan mendakwa ia akan mencetuskan ketegangan manakala kebanyakan anggota ASEAN, kecuali Singapura – salah satu 10 anggota ASEAN, telah menyatakan kegusaran mereka.

Selain Malaysia, kerajaan Indonesia dan Filipina turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap AUKUS.

Menyedari kegusaran negara-negara wilayah itu, Duta Australia ke ASEAN Will Nankervis segera menyatakan komitmen negara itu terhadap nilai-nilai ASEAN.

“Komitmen kami terhadap nilai-nilai ASEAN kekal teguh seperti sebelum ini susulan pengumuman bahawa kami akan membentuk kerjasama pertahanan lebih erat di antara Australia dengan United Kingdom dan Amerika Syarikat – AUKUS – membolehkan kami berkongsi teknologi dan kemampuan. Ini bukan gabungan atau pakatan pertahanan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, di bawah inisiatif pertama kerjasama AUKUS, Australia akan menubuhkan armada kapal selam berkuasa nuklear, dengan menggunakan kepakaran AS dan UK.

“Walaupun kapal-kapal selam itu dikuasakan dengan nuklear, ia tidak akan membawa senjata nuklear. Australia tidak memiliki dan tidak akan cuba mendapatkan jenis senjata seperti itu. Kami juga tidak bercadang untuk membentuk kemampuan nuklear sivil,” ujarnya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.