Malaysia Akan Dapatkan Pandangan China Mengenai Perjanjian AUKUS Semasa Lawatan Menteri Ke Beijing
2021.09.22
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 10.30 malam waktu tempatan ETS - 2021-09-22
Menteri Pertahanan Malaysia memberitahu persidangan Parlimen pada Rabu bahawa beliau akan mendapatkan pandangan serta maklum balas Beijing mengenai perjanjian keselamatan di antara Amerika Syarikat-United Kingdom-Australia, semasa beliau mengadakan lawatan ke China kelak.
Perjanjian yang dikenali sebagai AUKUS itu telah membawa perpecahan dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan Malaysia dan Indonesia bimbang bahawa ia mungkin mencetuskan perlumbaan senjata di rantau berkenaan manakala Singapura dan Filipina mengalu-alukan pemeteraian perjanjian tersebut.
Sementara itu, penganalisis keselamatan memberitahu BenarNews bahawa tindakan Malaysia untuk mendapatkan pandangan China mengenai pakatan keselamatan itu adalah langkah yang "tidak sesuai."
"Kita perlu mendapatkan pandangan kepimpinan khususnya pihak pertahanan China, mengenai apa pandangan mereka terhadap AUKUS yang telah diumum tiga negara itu, dan apa agaknya tindakan mereka susulan daripada apa yang telah pun diumumkan," kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.
"Saya bercadang dalam masa terdekat ini untuk membuat lawatan kerja singkat ke China."
Hishammuddin berkata demikian ketika menjawab soalan di Parlimen mengenai sama ada Malaysia akan turut terlibat dengan pakatan baharu itu memandangkan ia adalah anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) – bersama-sama dengan Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.
Pakatan AUKUS antara tiga negara itu akan membolehkan Australia dilengkapi dengan teknologi untuk membina kapal selam nuklear. Ia dilihat sebagai satu tindakan yang bertujuan untuk mengekang pengaruh China yang semakin berkembang di Indo Pasifik khususnya di Laut Cina Selatan, di mana Beijing menuntut hak wilayah di perairan itu tetapi dibantah oleh negara-negara jirannya termasuk Malaysia.
China pula telah mengecam pakatan AUKUS tersebut.
Singapura dan Filipina bagaimanapun menyuarakan sokongan mereka terhadap AUKUS dengan menyatakan bahawa ia boleh membantu untuk memulihkan "ketidakseimbangan" serta membawa kepada kestabilan di rantau berkenaan.
Di bawah FPDA yang sudah pun menjangkau 50 tahun, negara-negara anggota seperti Malaysia dan Singapura akan ‘segera’ mendapatkan pandangan sesama sendiri sekiranya terdapat ancaman serangan bersenjata terhadap mana-mana anggota rantau itu. Rundingan sedemikian akan membantu mereka untuk memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil sama ada secara bersama atau bersendirian.
Walaupun adanya aturan seperti itu, Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa ia adalah negara berkecuali tetapi terus terperangkap dalam pertembungan antara dua kuasa besar dunia iaitu China dan AS dalam cubaan mereka untuk mendominasi Asia Tenggara. Negara-negara lain di rantau itu turut berada dalam situasi serupa.
Hishammuddin berkata bahawa beliau akan "cuba meneliti" untuk mengimbangi "dua kuasa besar" tersebut, dan menyatakan bahawa ia "bukanlah satu perkara yang mudah" untuk dilakukan. Beliau tidak menyebut sebarang nama kecuali ASEAN.
"Kekuatan kita bukan lagi secara bersendirian, kekuatan kita ialah 10 negara ASEAN ini bersatu untuk melihat bagaimana kedaulatan dan keselamatan kita di rantau ini dapat dipertahankan," kata Hishammuddin.
Perpecahan dalam badan serantau
Perjanjian AUKUS itu bagaimanapun telah mendedahkan perpecahan di dalam badan serantau ASEAN itu, menurut penganalisis hal ehwal Asia Tenggara, Richard Heydarian.
"AUKUS dengan jelas menunjukkan bahawa tiada pendirian ASEAN (sebagai badan serantau)," kata Heydarian dalam catatan Twitter.
"Ini bukanlah rantau yang monolitik, dengan Indonesia dan Malaysia dijangka mengambil pendirian neutral, Vietnam (dan kemungkinan Singapura juga) mengalu-alukannya dalam diam, dan Filipina pula secara terbuka menyokong (AUKUS)!"
Seorang lagi penganalisis serantau, Oh Ei Sun, berkata Malaysia memilih untuk mengekalkan hubungan kerja strategik dengan China, "walaupun China kerap mencerobohi kawasan perairan yang dianggap Malaysia sebagai wilayahnya" di Laut Cina Selatan.
"Malaysia perlu terus memikirkan semula pendiriannya yang terletak di persimpangan antara AUKUS dan China yang semakin cuba memperluaskan kuasa terutamanya di Laut Cina Selatan," kata Oh, yang merupakan felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura kepada BenarNews.
Menurut Kuala Lumpur, satu daripada pencerobohan terbaru yang berlaku ialah pada 31 Mei lepas apabila 16 pesawat tentera China memasuki ruang udara maritim berhampiran Borneo di Laut Cina Selatan.
Tahun lalu, Kuala Lumpur berkata bahawa kapal tentera laut serta kapal pengawal pantai China telah mencerobohi perairan Malaysia di wilayah yang menjadi pertikaian itu sebanyak 89 kali di antara 2016 dan 2019. Kapal-kapal China kerap berada di kawasan tersebut walaupun selepas Tentera Laut Malaysia mengarahkannya supaya meninggalkan Kawasan itu, kata kerajaan Malaysia.
Malaysia "tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk berasa gembira atau tidak gembira dengan perjanjian AUKUS kerana ia tidak jelas menjajarkan dirinya kepada pakatan yang diketuai AS itu," kata Oh.
Bagaimanapun, Malaysia akan menghantar mesej bahawa ia tidak lagi berkecuali sekiranya menteri pertahanan itu mendapatkan pandangan China mengenai perjanjian AUKUS, kata Azmi Hassan, seorang pakar strategi geopolitik.
"Untuk Malaysia mendapatkan pandangan China... ia mewujudkan satu keadaan yang tidak selesa kerana China bukanlah negara anggota pakatan AUKUS, dan sebaliknya merupakan negara yang berpotensi menjadi sasaran pakatan itu," kata Azmi kepada BenarNews.
"Ia akan membawa persepsi bahawa Malaysia menyebelahi China. Ia adalah amat tidak sesuai."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.