Polis: IS Latih Kanak-Kanak Di 12 Kem Di Libya

Fahirul N. Ramli & Nani Yusof
2016.01.19
160119-MY-IS620 Seorang petugas keselamatan sedang menjalankan tugasnya pada awal pagi di sebuah kawasan yang berlatarbelakang Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. 8 Januari 2016.
AFP

Kumpulan militan Negara Islam (IS) telah membuka sebuah pusat latihan yang mempunyai 12 kem di Libya untuk melatih kanak-kanak berusia antara 13 dan 15 tahun sebagai barisan pelapis dalam meneruskan ideologi mereka, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, kem itu dibuka khas untuk melatih kanak-kanak pada usia muda untuk berperang dengan harapan mereka bakal menyambung perjuangan militan.

“IS akan terus mengeksplotasi kanak-kanak kerana mereka ini yang akan dijadikan barisan pelapis untuk menggantikan anggota yang terkorban di medan pertempuran” kata beliau dalam rancangan Forum Ruang Bicara yang bertajuk Ancaman Militan Negara Islam, yang disiarkan oleh BernamaTV malam selasa.

Beliau bagaimanapun, tidak memberi butiran lanjut sama ada terdapat kanak-kanak Malaysia yang kini dilatih di kem-kem tersebut.

Mengulas mengenai kanak-kanak Malaysia yang terlibat dalam ideologi keganasan itu, Ayub berkata, kebanyakan mereka dipengaruhi oleh ibu-bapa yang tertarik dengan ideologi militan dan mahu berhijrah ke kawasan yang mereka percayai mengikuti ajaran Islam. Pada mereka, Malaysia telah menjadi sebuah negara kufur.

“Ada dua pusat latihan beroperasi di Syria, satu yang mengendalikan kanak-kanak daripada Asia Tenggara dan menggunakan Bahasa Indonesia sebagai bahasa penghantar,…. kita memang dapat mengesahkan bahawa ada kanak-kanak Malaysia yang mengikuti latihan di kem tersebut, dan satu lagi dikendalikan oleh rakyat Kazakhstan,” tambah beliau di forum berkenaan.

‘Senada’

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad, yang diminta mengulas sama ada kerajaan bercadang untuk membawa pulang kanak-kanak Malaysia itu berkata, tindakan terbaik yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah meminta negara di mana mereka [rakyat Malaysia] berada, membantu mengesan dan menghantar mereka pulang.

“Namun, kita mesti menghormati kedaulatan negara berkenaan ketika meminta bantuan,” katanya kepada BeritaBenar.

Beliau menambah, rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan pergi secara sukarela dan semestinya mereka menyedari risiko yang menanti kerana memasuki negara berkenaan secara haram.

Mengenai nasib kanak-kanak yang dibawa ibu bapa mereka ke negara berkenaan, Nur Jazlan berkata: “Jika mereka di bawah umur, maka mereka adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa dan bukannnya kerajaan.”

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar juga senada dengan Nur Jazlan mengenai tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap kanak-kanak yang sedang berada di kem latihan kumpulan militan berkenaan. Beliau berkata pihak polis tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membawa pulang kanak-kanak itu, kerana "terdapat beberapa halangan utama, seperti bidang kuasa, ideologi serta bahaya besar yang menanti.

"Sebab utamanya adalah sukar bagi kita,  dan (mereka) berada di luar kuasa polis,” jelas beliau.

Khalid menambah, IS adalah lebih daripada sekadar isu keselamatan, ia adalah masalah kepercayaan, kerana individu yang terlibat telah menerima dan menyesuaikan diri mereka dengan ideologi keganasan itu.

"Kami telah dan akan cuba untuk mempengaruhi mereka untuk keluar daripada misi itu dan kembali. Namun, ada perkara tertentu yang di luar batas kita. Ia tidak semudah pergi ke sana dan terus membawa mereka pulang," tegas beliau.

Beliau berkata, sebelum ini, polis juga telah berusaha membantu beberapa keluarga membawa ahli keluarga mereka yang berada di negara berkenaan, pulang dengan selamat ke tanah air.

Lebih daripada 120 rakyat Malaysia termasuk 23 wanita, telah menyertai IS di Timur Tengah, dan sekurang-kurangnya 16 individu telah terbunuh, termasuk dua yang meletupkan diri mereka dalam misi bunuh diri pada akhir Disember dan awal Januari, pegawai kerajaan mengesahkan minggu ini.

Dalam pada itu, Khalid turut menafikan adanya kem latihan militan IS di Malaysia walaupun terdapat dakwaan adanya pusat latihan di selatan Filipina yang menyokong kumpulan ideologi militan itu.

"Walaupun ada kemungkinan, dan juga hakikat bahawa orang di Malaysia boleh tertarik atau dipengaruhi oleh ideologi IS, tetapi tiada kem IS (terdapat) di dalam negara ini,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak membantu pihak berkuasa dalam memantau kumpulan militan agar keganasan tidak berkembang di negara itu.

“Ia adalah tanggungjawab bersama. Kita perlu bekerjasama untuk memastikan IS dan keganasan tidak subur di negara tercinta ini," kata Khalid dalam kenyataan kepada BeritaBenar menerusi aplikasi WhatsApp.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.