PM Muhyiddin Berdepan Desakan Baharu Teruskan Sidang Parlimen Tertangguh
2021.05.27
Kuala Lumpur

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berdepan dengan desakan terbaharu yang menggesa supaya Parlimen kembali bersidang dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada Khamis bertegas yang satu-satunya cara untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 adalah dengan membuat keputusan secara kolektif.
Pada hari yang sama juga pakar perubatan memberi amaran bahawa gerakan anti-vaksin boleh menjadi ancaman kepada sasaran Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok COVID-19 sekiranya kerajaan gagal menangani kekeliruan mengenai program imunisasi vaksin yang dijalankan oleh kerajaan.
Our World in Data pada Rabu melaporkan Malaysia telah mengatasi India berdasarkan bilangan jangkitan COVID-19 setiap satu juta populasi – dengan rekod 205.1 kes bagi setiap sejuta populasi berbanding India yang mencatatkan 150.4 kes sepanjang tempoh tujuh hari berturut-turut.
Timbalan Speaker Azalina Othman Said dalam kenyataan pada Khamis berkata Ahli Parlimen (MP) boleh menjadi agen komunikasi kesihatan awam dan membantu membanteras mitos yang telah mencetuskan penolakan vaksin pada tahap yang membimbangkan, dengan hampir 30,000 individu telah gagal hadir temujanji selepas mendaftar untuk mendapatkan vaksin sejak beberapa hari lalu.
“Untuk membina semula keyakinan dan kepercayaan rakyat, kerajaan perlu mengamalkan tiga dimensi kritikal: Prestasi, Profesionalisme dan Patriotisme. Apabila rakyat marah dan hilang keyakinan, jangan harap mereka akan berterima kasih.
“Satu contoh yang jelas adalah penolakan vaksin dan pendaftaran permohonan vaksin yang rendah, salah satu dari banyak lagi indikasi yang rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan.
“Defisit keyakinan perlu diatasi melalui perdebatan awam iaitu melalui sidang Parlimen,” kata Azalina yang juga Anggota Parlimen Pengerang.
Mantan menteri yang menjaga perihal undang-undang itu menegaskan tiada cara lain untuk negara mara ke depan selagi perintah Darurat berlangsung kecuali dengan meneruskan sidang Parlimen.
“Kerajaan boleh meletakkan rakyat di bawah perintah berkurung tetapi kerajaan tidak boleh meletakkan proses demokrasi di bawah perintah berkurung.
“Kita sedang berdepan dengan virus yang tidak mengenal sempadan dan strategi utama untuk memenangi apa jua peperangan adalah dengan mendapat keyakinan rakyat. Dengan menafikan hak Ahli Parlimen untuk berhubung dengan kerajaan secara yang bermakna, anda menafikan hak rakyat,” katanya.
Azalina berkata Ahli Parlimen seharusnya memainkan peranan penting sebagai agen komunikasi kerajaan dan menyebarkan maklumat tentang kesihatan awam kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Bekalkan kami dengan maklumat kesihatan dan data mengenai COVID-19, termasuk maklumat tepat mengenai vaksin supaya kami dapat membantu kerajaan untuk mencapai sasaran,” katanya lagi.
Azalina mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah tidak mempunyai halangan sekiranya Parlimen menyambung sidang secara maya, dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Pada Januari, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Darurat untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 sehingga 1 Ogos atau sehingga pandemik COVID-19 dapat dikawal.
Di bawah Perisytiharan Darurat, sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak berlangsung, sehingga pada satu masa yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Cadangan rasional
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berpandangan bahawa desakan Azalina supaya sidang Parlimen disambung semula sebagai cadangan yang rasional untuk meredakan kemarahan rakyat susulan situasi pandemik COVID-19 yang semakin buruk.
“Cadangan ini boleh dicapai jika ahli politik khususnya dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) berjiwa besar.
“Rakyat mahu penyelesaian dan kestabilan politik selain pemulihan ekonomi jadi ahli politik perlu mengetepikan permusuhan ideologi politik demi mengutamakan kepentingan rakyat.
“Musuh utama rakyat ialah pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi, maka dua aspek itu perlu diberikan perhatian oleh pimpinan elit politik,” katanya kepada BenarNews.
Dalam pada itu, pakar perubatan pada Khamis turut memberi amaran yang gerakan anti-vaksin mampu menjadi ancaman kepada Malaysia jika kerajaan gagal menangani mitos dan salah faham terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kalangan masyarakat luar bandar.
Pakar perubatan Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim yang juga Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi bagi Medical Mythbusters Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang digerakkan oleh pengamal perubatan bersetuju bahawa jika tidak dipantau golongan anti-vaksin boleh mendatangkan ancaman buruk kepada pelan kerajaan.
“Ya, saya rasa jika tidak diberikan perhatian, akan memberikan kesan yang buruk kepada program vaksinasi kerajaan. Sebagai contoh saya pernah terlibat dalam proses saringan COVID-19 melibatkan warga emas dan ada di antara mereka yang menolak vaksin.
“Semua pihak mempunyai peranan, di peringkat komuniti kita oleh membantu dengan menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih melalui aplikasi media sosial kerana ini memberi kesan kepada keyakinan terhadap vaksin.
“Saya fikir kerajaan perlu meningkatkan usaha mendidik warga luar bandar dengan mengadakan lebih banyak program ke peringkat akar umbi dan tindakan bersasar bagi mengatasi salah faham kepada program imunisasi COVID-19,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham pada Khamis melaporkan Malaysia mencatatkan kes jangkitan harian tertinggi dengan 7,857 kes dengan 59 lagi kematian menjadikan jumlah korban kumulatif sehingga kini menghampiri 2,500 pesakit.
Bilangan mereka yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 setakat ini adalah sekitar 11 juta, masih di bawah separuh daripada 25.6 juta yang disasarkan oleh kerajaan bagi mencapai tahap inokulasi 80 peratus daripada keseluruhan 32 juga populasi negara.
Gagal hadir temujanji vaksin
Pihak berkuasa kesihatan di negeri Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan mendedahkan hampir 30,000 individu yang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 telah gagal menghadiri temujanji sejak beberapa hari lepas.
Situasi ini bertentangan dengan jutaan rakyat di negeri-negeri lain di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang masih menanti giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan.
Jabatan Kesihatan Kelantan memberitahu pihak media bahawa data menunjukkan kebanyakan individu yang tidak hadir terdiri daripada golongan warga emas dan kebanyakan memberi alasan masalah peribadi.
Manakala di Kedah, Jabatan Kesihatan Negeri dilaporkan berkata antara alasan yang diberikan adalah bertukar fikiran disebabkan belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin, ada yang berkata mereka tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin serta berada di luar kawasan.
“Salah satu punca mengapa ramai warga emas luar bandar gagal hadir ke temujanji kerana tidak memahami SOP dan percaya yang mereka perlu mendapatkan kebenaran pihak polis untuk ke pusat vaksinasi dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) seperti di daerah Kota Setar.
“Selain itu, maklumat yang tidak tepat mengenai kesan sampingan vaksin yang tersebar di media sosial juga memberi kesan kepada keyakinan masyarakat luar bandar, jadi mungkin ramai yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum memberanikan diri menerima suntikan imunisasi,” ujarnya aktivis sosial Muhammad Nasir.
Beliau berkata kerajaan perlu menggerakkan semua lapisan pemimpin masyarakat di akar umbi dan masjid bagi membantu menyebarkan maklumat tepat mengenai vaksin COVID-19.
“Penduduk luar bandar khususnya warga emas lebih mudah menerima maklumat dan penjelasan daripada pemimpin komuniti setempat seperti ketua kampung, imam masjid, Pertubuhan Peladang Kawasan dan ketua kelompok padi.
“Penduduk luar bandar mempunyai akses yang terhad kepada penggunaan gajet dan telekomunikasi moden, jadi kerajaan perlu pertimbang kaedah dan kandungan maklumat yang sesuai dengan lokaliti setiap kawasan bagi mengawal penularan maklumat yang tidak tepat dari golongan anti-vaksin,” katanya kepada BenarNews.
Megat Mohamad Amirul Amzar pula berkata kerajaan perlu menggunakan kandungan makluman yang sesuai dengan setiap lokaliti, khususnya melibatkan golongan warga emas.
“Bagi Kelantan dan Kedah, kami percaya bilangan penolak vaksin agak tinggi, salah satu punca adalah salah faham hukum agama berhubung vaksin dan keberkesanan serta keselamatan penggunaan vaksin, diburukkan lagi dengan defisit kepercayaan kepada pihak berkuasa dan penyebaran maklumat salah oleh individu-individu anti-vaksin.
“Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi fokus kepada menjadikan pusat komuniti sebagai pusat informasi mengenai vaksin. Ini mampu membantu khususnya di kawasan luar bandar.
“Di negeri-negeri di mana populasi masyarakat Islam adalah majoriti, kerajaan perlu mendapatkan bantuan daripada imam dan jawatankuasa masjid bagi menyebarkan maklumat tepat mengenai vaksin dan pada masa yang yang sama mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang menyebarkan maklumat yang tidak benar mengenai COVID-19 dan vaksin,” katanya lagi.
Manakala Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Zainal Ariffin Omar pula berkata kerajaan perlu memikirkan lokasi pusat pengagihan vaksin yang lebih sesuai memandangkan ramai antara mereka yang tidak hadir disebabkan masalah teknikal seperti masa dan pengangkutan.
“Cadangan saya kepada kerajaan, ialah untuk melakukan outreach program untuk sampai kepada mereka ini serta mengadakan pusat vaksinani bergerak bagi lokasi-lokasi yang sesuai dan dikenalpasti,” ujarnya kepada BenarNews.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin, menteri yang bertanggungjawab ke atas PICK pada Khamis mengumumkan Menteri Kesihatan Adam Baba pada 21 Mei telah memeterai perjanjian dengan Pfizer untuk mendapatkan tambahan 12.8 juta dos vaksin menjadikan jumlah vaksin Pfizer yang ditempah oleh kerajaan adalah sebanyak 44.4 juta dos cukup untuk menampung vaksin kepada 70 peratus dari populasi Malaysia.
Menurut Khairy, 12 juta dos vaksin Sinovac akan tiba menjelang bulan Jun dan Julai manakala 1 juta dos AstraZenica lagi dijangka tiba pada Julai.
Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.