Bajet 2017: Lebih RM33 Bilion Untuk Keselamatan Dan Pertahanan

Hata Wahari
2016.10.21
Kuala Lumpur
161021-my-keluardewan2-620.jpg Sekumpulan anggota parlimen pembangkang dari DAP, PKR dan Amanah serta PPBM membantah sambil mempamerkan plakad pada pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Najib Razak di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur 21 Okt, 2016.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Malaysia memperuntukkan RM33.1 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM1.9 billion berbanding tahun lepas dalam usahanya untuk mengukuhkan pertahanan dan keselamatan negara itu bagi mengekang ancaman militan.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2017 yang bertemakan "Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh" dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM260.8 bilion di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen pada Jumaat.

Semasa pembentangan Bajet 2016, Najib memberitahu bahawa sebanyak RM31.2 bilion diperuntukkan dalam bajet itu bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan negara, termasuk melengkapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan penggunaan “Unmanned Airborne System”.

Najib berkata, sebanyak RM5.3 bilion daripada RM33.1 bilion yang diperuntukkan adalah untuk pembangunan keselamatan.

Ketika membentangkan bajet, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pertahanan mendapat sebanyak RM15.1 bilion, dengan RM1.8 bilion untuk menyelenggara aset-aset utama seperti pesawat, kapal peronda, peralatan komunikasi, bangunan dan senjata.

“Kementerian Dalam Negeri mendapat peruntukan sebanyak RM12.8 bilion di mana sebahagian besar iaitu RM8.7 bilion adalah untuk Polis DiRaja Malaysia,” Najib berkata semasa perbentangan Bajet 2017.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah dilaporkan meningkat di perairan antara Malaysia dan Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan mangsa culik selepas pihak mangsa gagal membayar wang tebusan.

Malaysia turut melaksanakan perintah berkurung di beberapa kawasan di Sabah selepas berlakunya peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013, dengan pasukan keselamatan negara itu berjaya mematahkan cubaan pencerobohan oleh kira-kira 200 pengganas yang menaiki bot dari Sulu, sebuah wilayah di selatan Filipina yang berjiran dengan Malaysia.

Selain itu, kerajaan negara berkenaan juga memberi amaran bahawa militan Negara Islam (IS) akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Menurut para pegawai, terdapat risiko yang generasi muda beragama Islam Malaysia direkrut melalui media sosial untuk menyertai perjuangan IS di Timur Tengah.

Penyokong IS dalam negara atau anggota IS yang pulang dari pertempuran di Syria atau Iraq, juga sedang merancang serangan ganas di tanah air.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Malaysia berkata mereka telah mematahkan rancangan penyokong IS untuk melancarkan serangan pada malam Hari Kebangsaan, yang jatuh pada 31 Ogos.

Manakala pada akhir Jun, IS mendakwa telah melancarkan serangan pertama di Malaysia apabila lapan orang cedera dalam serangan bom di sebuah kelab malam di Puchong, di pinggir Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melahirkan ucapan terima kasih kerana sektor keselamatan diberikan keutamaan dengan PDRM memperoleh jumlah peruntukan yang besar.

"Saya yakin melalui peruntukan [bajet 2017], tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia [ATM] dapat dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan negara terjamin," kata Panglima ATM Zulkifeli Md Zin.

Peningkatan ancaman

Penganalisa hubungan antarabangsa dan politik, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu BeritaBenar bahawa peningkatan bajet untuk keselamatan berkait rapat dengan usaha untuk menangani ancaman keselamatan di peringkat domestik dan global.

“Peruntukan ESSCOM berkait rapat dengan ancaman dari selatan Filipina, mengawal Kepulauan Spratly dan memantapkan pertahanan di Malaysia Timur daripada  ancaman geopolitik,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Mohd Azizuddin menegaskan, peruntukan ditambah berikutan ancaman dari militan Negara Islam (IS), usaha membasmi jenayah domestik serta jenayah rentas sempadan, seperti penyeludupan termasuk penyeludupan manusia, yang memerlukan pembangunan balai-balai baru serta pusat latihan.

Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri itu juga secara keseluruhannya memberi penekanan terhadap perbelanjaan inklusif berhemah ke arah mensejahterakan kehidupan seluruh rakyat ketika mendepani cabaran ekonomi yang diuji ketidaktentuan di peringkat global.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional telah berjaya mempertahankan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada purata enam peratus setahun dan pembentangan bajet kali ini adalah yang kelapan bagi beliau sejak menyandang jawatan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata, Bajet 2017 digubal dengan berpegang kepada lima prinsip dan falsafah kerajaan termasuk mengutamakan kesepaduan nasional dalam pembinaan negara bangsa dan memelihara kedaulatan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta keselamatan negara.

Pembangkang keluar Dewan

Semasa pembentangan Bajet 2017 oleh Najib, anggota parlimen pembangkang dari DAP, PKR dan Amanah serta PPBM membantah sambil mempamerkan plakad dan kemudiannya keluar dari Dewan Rakyat.

Hanya wakil Parti Islam Se-Malaysia tidak keluar semasa pembentangan itu kecuali ahli parlimennya dari Pokok Sena Mahfuz Omar.

Mereka memegang plakad yang tertulis [siapakah individu “MO1”] seperti dirujuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang telah memfailkan 12 tindakan undang-undang sivil untuk mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam aset-aset yang didakwa dibayar dengan wang 1Malaysia Development Berhad [1MDB] yang dicuri.

Pihak berkuasa AS mengaitkan Najib secara tidak langsung dengan urusan yang dipersoalkan berhubung dengan apa yang mereka namakan sebagai "konspirasi global" untuk mengubah wang yang dicuri daripada 1MDB.

Skandal 1MDB diperkatakan dengan hebat tahun lalu selepas Wall Street Journal(WSJ) mendedahkan pada Julai 2015 mengenai transaksi wang berjumlah ratusan juta yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Suasana kekecohan dipercayai mula tercetus apabila Najib menimbulkan tuduhan yang dibuat sesetengah pihak mengatakan Bajet 2017 adalah satu bikinan sandiwara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.